Menyambut hari kelahiran anak yang sudah kembali ke rahmatullah seakan menjadi satu trend buat mak ayah yang menyambutnya di tanah perkuburan. Hal ini sudah semestinya mendapat perhatian dari para ulamak.
Adakah hal ini tidak menyentuh mana-mana sensitiviti dan dibolehkan? Berikut merupakan penjelasan dari Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai masalah yang semakin menular ini.
Telah sampai kepada kami satu soalan berkenaan ibu bapa yang telah membawa kek ke kubur anaknya yang sudah meninggal dunia, di samping menyanyikan lagu “Happy birthday.”
Persoalan seperti ini sentiasa berlegar dalam khalayak masyarakat sama ada dibolehkan atau tidak dan adakah termasuk dalam perbuatan yang bercanggah dengan akidah, atau ia tidak dibolehkan dalam Islam.
Untuk menjawab masalah ini dengan lebih terperinci, kami noktahkan kepada beberapa noktah. Kematian merupakan hal yang pasti berlaku kepada setiap manusia yang bernyawa.
Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”-(Surah Ali ‘Imran: 185)
Dan kita sudah tentu akan kembali kepadanya kerana kita adalah milik-Nya.
Firman Allah SWT:
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”- (Surah al-Baqarah: 156)
Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka kewajipan kepada yang hidup adalah untuk memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan mengebumikannya di tanah perkuburan, bahkan ia menjadi fardhu kifayah kepada mereka yang masih hidup untuk melakukannya.
Manakala bagi mereka yang sudah pergi meninggalkan kita, ketika itu mereka berada dalam hukum alam barzakhiyyah yang berbeza dengan alam dunia ini.
Justeru, cara untuk kita berinteraksi dengan alam barzakh atau mereka yang ada dalam alam kubur, telah diajar oleh Rasulullah SAW. Di antara adabnya ialah, mengucapkan salam kepada mereka; penghuni kubur dengan lafaz:
السَّلاَمُ عَلَى أهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الـمُؤْمنِيْنَ وَالـمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ، نَسْأَلُ الله لَنَا وَلَكُمُ العَافِيةَ
Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kampung (kubur), daripada kalangan orang-orang Mukmin dan Muslim. Sesungguhnya kami dengan izin Allah akan mengikuti kamu. Kami memohon kepada Allah kesejahteraan bagi kami dan juga kamu.”
Atau lafaz:
السَّلاَمُ علَيْكُمْ يَا أهْلَ القُبُورِ، يَغْفِرُ اللهُ لَنا وَلَكُمْ، أنْتُم سَلَفُنَا، وَنَحْنُ بِالأَثَرِ
Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni kubur. Semoga Allah mengampuni kami dan juga kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan menyusul.”
-Mendoakan si mati seperti mana nas doa dan salam di atas.
-Sebahagian ulama mengharuskan untuk bersedekah dengan bacaan ayat al-Quran seperti yang disebutkan dalam sebahagian riwayat.
Justeru, menziarahi kubur tujuannya adalah tidak lain tidak bukan adalah untuk mengingatkan kita kepada kematian dan hari akhirat dan bukannya berkenaan kehidupan mahupun kelahiran.
Berdasarkan nas di atas, kubur merupakan tempat yang luar biasa. Oleh itu, Islam menggalakkan umat islam untuk menziarahi kubur dengan tujuan untuk mengingati mati.
Kesimpulannya, kami katakan bahawa perbuatan tersebut adalah lebih baik jika ditukar dengan menjamu makan kepada anak-anak yatim dan juga memberi makan kepada fakir miskin kerana manfaatnya jauh lebih besar buat dirinya, di samping memohon keampunan buatnya.
Maka, tindakan sedemikian hendaklah dihentikan dan digantikan dengan doa dan begitu juga digantikan dengan sedekah kepada si mati. Inilah yang dianjurkan dalam Islam.
Menarik: “Impian Hari Lahir Ke-45” Mahu Sambut Di Mekah, Siti Nurhaliza Bawa Anak-Anak Tunai Umrah!
BK Solat Kembali lagi. Sambut bulan Ramadan dengan persiapan yang sempurna di Kem Solat kami!
Hubungi kami hari ini untuk maklumat lanjut di 019 622 2989 atau boleh daftar terus di
https://toko.ideaktiv.com/product/kem-solat/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!