Paracetamol adalah ubat yang dapat menurunkan suhu badan ketika demam dengan selamat. Ia boleh diambil oleh kanak-kanak, orang dewasa, ibu yang hamil dan ibu yang menyusukan anak, mengikut dos yang diberikan.
BOLEHKAH SAYA MENGAMBIL PARACETAMOL SEMASA MENYUSUKAN ANAK?
“Adakah ibu demam yang menyusu anak mengambil paracetamol untuk redakan demam? Berapa biji yang selamat diambil ya doktor. Mohon pencerahan doktor sebab penerangan sebelum ini tidak cukup meyakinkan?”
Nasihat saya adalah ambil paracetamol bila perlu, mengikut dos yang ditetapkan dan untuk jangka masa yang pendek saja. Dos yang biasa diberikan untuk orang dewasa sama ada hamil, menyusukan anak atau tidak ialah satu atau dua biji tablet 500mg, setiap 4-6 jam.
Dos maksima yang dibenarkan untuk orang dewasa adalah 8 biji tablet 500mg (jadi jumlah dos 6 g) dalam 24 jam. Dos yang berlebihan memberikan kesan buruk pada hati dan ginjal.
Walau bagaimana pun sedikit dos yang diambil oleh ibu yang menyusukan anak akan masuk ke dalam air susu ibu, tetapi masih dalam kuantiti yang selamat.
Walau bagaimana pun, saya menasihatkan agar lebih berhati jika:
1. bayi lahir secara pramatang
2. bayi lahir tidak cukup berat (kurang 2.5kg)
3. bayi lahir dengan masalah kesihatan yang serius
4. Mengambil paracetamol bersama ubat lain kerana gabungan ubat-ubatan ini masuk ke dalam susu ibu dan memberikan kesan pada bayi yang menyusu.
Boleh rujuk pada doctor atau farmasis bagi mengetahui dos yang lebih tepat, jika ada masalah kesihatan yang menghalang pengambilan ubat.
Sumber: Facebook Dr Zubaidi Hj Ahmad
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Setiap Kelahiran Adalah Pada 6 September. Tular Kisah Keluarga Ni, Memang Special!
Sesuatu yang menakjubkan! Mungkin itu yang dapat digambarkan bagi keluarga yang berasal daripada negara Singapura ini apabila dianugerahkan empat orang cahaya mata berkongsi tarikh lahir yang sama.
Pasangan suami isteri Salihin Ahmad Perbah, 49 tahun dan Khairunnisa Abdul Karim, 39 tahun ini tidak sama sekali menyangka setiap kelahiran adalah pada tarikh 6 September. Malah apa yang lebih istimewa, anak pasangan ini bukannya kembar dan dilahirkan secara normal.
Ini sebagaimana memetik berita yang dikongsikan oleh mediacorp.sg. Difahamkan empat orang anaknya itu adalah Shahin Khalish 12 tahun (2011), Sairish Khaila 10 tahun (2013), Shaila Kheisha lapan tahun (2015) dan yang terbaru Shaira Khaira.
“Memang tak sangka. Tarikh lahir asal dijangka 24 September. Bila isteri ada temu janji pemeriksaan pada minggu ke-36 atau ke-37 kehamilan, Dr Jazlan ada katakan ada kemungkinan besar isteri saya akan lahirkan sama tarikh dengan anak-anak kami yang lain.
“Rasa terperanjat dan kegembiraan kerana lepas lapan tahun, Alhamdulillah tarikh pun masih sama,” cerita Encik Salihin mengenai anak keempat dengan berat 2.91 kilogram yang dilahirkan pada pukul 12.18 tengah hari.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Jazlan Joosoph, merupakan doktor yang menyambut kelahiran semua empat anak Encik Salihin dan Cik Khairunnisa di Hospital Raffles.
Sambutan Hari Lahir, Meriah
Bagi tiga anak Encik Salihin dan Cik Khairunnisa, kelahiran adik bongsu mereka ibarat hadiah hari jadi yang tiada tolok bandingnya.
Manakan tidak, mereka “memang selalu minta nak adik” dan dapat adik pula pada tarikh yang sama dengan hari lahir mereka.
“Mereka kata semua hadiah yang mereka dapat nak beri ‘baby’ baru sebab mereka sudah puas dengan semua hadiah,” kongsi Encik Salihin mengenai telatah anak-anaknya itu.
Menceritakan tentang sambutan hari jadi mereka, Encik Salihin menyifatkannya sebagai “memang meriah”.
“Setiap kali kami menyambut hari lahir memang meriah, terutama sekali (selepas anak) yang ketiga. Hadiah yang kami dapat hampir-hampir setengah bilik mereka,” cerita Encik Salihin lagi.
Dengan kehadiran anak keempat, yang sama tarikh lahir, Encik Salihin merancang untuk pergi bercuti sekeluarga pada hari lahir mereka.
“Insya-Allah (dengan anak) yang keempat ini mungkin kami nak pergi bercuti sahaja. Memang saya rancang nak bercuti untuk hari jadi anak-anak tahun ini. Tapi bila dapat tahu isteri mengandung, saya tunda tahun depan,” cerita Encik Salihin.
Menarik: “Ikut Muka Mommy, Sebiji Sama”, CP Juliana Evans Kongsi Wajah Anak Kedua, Comelnya!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents atau channel Telegram Pa&Ma sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sakit Sangat-Sangat Bila Jahitan Luka Bersalin Terbuka Balik! Tapi Jangan Panik, Lakukan Perkara Ini
Episiotomi adalah pemotongan yang dilakukan ketika proses kelahiran normal dan akan dijahit. Tetapi bagaimana jika jahitan bersalin terbuka?
Adakah ia berbahaya?
Prosedur episiotomi
Istilah episiotomi merujuk kepada pemotongan yang dilakukan pada bahagian pembukaan faraj untuk mempercepatkan atau mengelak mahupun mengurangkan risiko pengoyakan berlebihan.
Ia adalah 1 prosedur biasa dalam bidang kebidanan moden pada masa kini.
Ia bukan 1 proses rutin, tetapi hanya dibuat apabila berdepan keadaan tertentu dan dilakukan oleh doktor yang mahir.
Antara sebab prosedur episiotomi dilaksanakan:
-Proses kelahiran yang berpanjangan
-Ketegangan pada janin
-Kelahiran faraj memerlukan bantuan menggunakan forsep atau vakum
-Bayi dalam posisi songsang
-Kelahiran bayi kembar atau berganda
-Bayi bersaiz besar
-Kedudukan kepala bayi yang tidak normal
-Ibu mempunyai sejarah pembedahan pelvis
Selepas prosedur episiotomi, proses jahitan dilakukan bagi memulihkan dan mencantumkan semula bahagian tersebut.
Namun adakalanya, tekanan pada jahitan atau jangkitan pada sekitar bahagian faraj boleh mengakibatkan jahitan bersalin terbuka.
Adakah keadaan ini berbahaya? Apa yang perlu dilakukan?
Sudah sakit akibat proses kelahiran dan episiotomi, jadi bagaimana untuk mengetahui jika jahitan tersebut mungkin terbuka?
Sekiranya keadaan ini berlaku, rasa sakit yang anda alami akan meningkat.
Terdapat juga risiko untuk berlakunya pendarahan baharu atau wujud cecair seperti nanah. Anda juga mungkin akan berasa tidak sihat.
Terdapat sesetengah wanita yang berdepan masalah jahitan bersalin terbuka akan menyedari terdapat benang yang terkeluar atau melihat sendiri jahitan yang terbuka.
Jika keadaan ini berlaku kepada anda dan wujud kebimbangan dalam diri, anda boleh melakukan pemeriksaan dengan doktor.
Mereka boleh memeriksa keadaan jahitan episiotomi dan melihat jika terdapat tanda jangkitan.
Kebanyakan wanita yang mengalami masalah ini akan diberikan ubat antibiotik dan disarankan mengambil ubat tahan sakit seperti ibuprofen kerana ia selamat untuk ibu yang menyusu badan.
Sekiranya masalah yang berlaku disebabkan jangkitan dan membuatkan ibu tidak sihat, anda mungkin perlu dimasukkan ke wad untuk diberikan antibiotik intravena (melalui saluran darah).
Perlukah dijahit semula?
Jika terdapat jangkitan, luka bersalin tersebut tidak akan dijahit semula.
Ia boleh memerangkap jangkitan di dalamnya dan keadaan ini akan mengakibatkan tisu tidak akan bercantum dengan baik.
Manakala jika keadaan sebaliknya, sama ada tiada jangkitan atau jangkitan sudah dirawat, luka akibat episiotomi mungkin akan dijahit semula.
Anda akan diberikan nasihat oleh doktor bagi membuat pilihan terbaik.
Bolehkah jahitan bersalin terbuka sembuh?
Proses penghasilan tisu baru akan berlaku setiap hari dan keadaan ini akan mengisi jurang jahitan tersebut.
Walau bagaimanapun, tempoh untuk jahitan tersebut pulih adalah berbeza bagi setiap wanita dan ia bergantung kepada beberapa faktor seperti:
-Kedudukan luka tersebut
-Kedalaman bukaan episiotomi
-Tempoh jangkitan sudah berlaku
-Keadaan tisu baru mungkin akan tampak kemerahan dan berdarah sedikit.
Selalunya apabila luka sembuh, akan terdapat bekas luka sementara dan ia akan pudar seperti parut kulit yang lain.
Luka bersalin yang dijahit semula mungkin akan sembuh dengan lebih cepat tetapi wujud risiko kecil untuk dijangkiti kembali.
Menyembuhkan luka jahitan bersalin
Sama seperti luka biasa pada mana-mana bahagian badan, jahitan bersalin terbuka juga memerlukan penjagaan rapi untuk memastikan ia sembuh dengan segera.
Ini tip penjagaan luka bersalin:
-Pastikan bahagian sekitar faraj sentiasa dalam keadaan bersih dan kering.
-Cuci dan basuh bahagian tersebut dengan menggunakan air sahaja.
-Elakkan daripada mengelap atau menggosokkan bahagian tersebut dengan tuala.
-Sebaiknya biarkan ia kering secara semula jadi.
-Usah gunakan sebarang sabun mandian, meletakkan minyak atau krim pada luka jahitan itu.
-Pastikan anda menukar tuala wanita dengan kerap.
-Jika pendarahan selepas bersalin sudah berhenti, anda digalakkan untuk tidak memakai pakaian dalam pada waktu malam bagi memberikan pengudaraan.
Kesan jahitan bersalin terbuka
Biasanya individu yang mengalami situasi ini tidak berdepan sebarang masalah selepas luka ini dirawat dan sembuh.
Malahan, tidak ada risiko untuk jahitan kembali terbuka disebabkan senaman atau seks.
Namun, jika anda berdepan sebarang masalah atau mempunyai kebimbangan, dapatkan rundingan dan pemeriksaan daripada doktor.
Penjagaan jahitan bersalin
Aspek penjagaan jahitan bersalin bermula sebaik sahaja anda selesai menjalani proses bersalin.
Ia melibatkan perihal penjagaan luka dan pengurusan kesakitan.
Dalam tempoh 12 jam pertama selepas bersalin, penggunaan pek ais mungkin dapat membantu mengurangkan rasa sakit dan bengkak.
Bahagian jahitan bersalin perlu sentiasa dipastikan dalam keadaan bersih.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Berpantang Selepas Bersalin? Karut Atau Patut
Budaya berpantang selepas bersalin merupakan tradisi turun temurun yang kebiasaannya diamalkan wanita di Asia, Afrika, Timur Tengah dan sebahagian Eropah dan biasanya melibatkan waktu rehat untuk si ibu selama 30 hari. Kerja-kerja rumah diagihkan kepada keluarga terdekat atau pengurus profesional yang memasak, membersih dan membantu penjagaan bayi.
Fahaman berpantang dalam tradisi dunia
Fahaman tentang kestabilan ‘panas dan sejuk’ adalah konsep dalam teori kesihatan kuno yang didapati wujud dalam budaya tradisional Latin Amerika, Asia dan Afrika. Dalam perubatan Yunani, teori humoral yang menyebut tentang empat elemen tubuh manusia juga membincangkan kestabilan ‘panas dan sejuk’.
Disebabkan darah dilihat sebagai ‘panas’, wanita yang baru melahirkan dan telah banyak kehilangan darah dianggap sebagai berada dalam keadaan ‘sejuk’. Disebabkan itu, berpantang selepas bersalin dilihat sebagai bertujuan untuk memastikan si ibu dihangatkan dengan mencukupi untuk kestabilan elemen humoral badan.
Di pedalaman Guatemala contohnya, bidan akan mengarahkan ibu yang baru melahirkan mandi dengan air panas untuk menghangatkan badan mereka di samping membantu penyusuan susu badan. Keutamaan makanan panas ini juga dapat dilihat dalam masyarakat Timur Tengah yang beranggapan bahawa makanan sejuk selepas bersalin meningkatkan risiko mendapat artritis atau rehumatisme.
Budaya berpantang masyarakat Asia
Meskipun terdapat beberapa perbezaan dalam tempoh masa, diet dan pantang-larang yang diamalkan, konsep berpantang antara kumpulan etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India adalah lebih kurang sama. Pada asasnya berpantang selepas bersalin dalam masyarakat ini dilihat bertujuan untuk mengeluarkan angin daripada badan selepas bersalin, menggalakkan peredaran darah, menguatkan sendi dan menggalakkan susu ibu di samping mengelakkan makanan yang menyejukkan.
Keterbatasan ilmu tradisional dan sains moden
Pantang-larang dan makanan yang disarankan sewaktu berpantang tidak disokong dengan kajian saintifik yang menyeluruh. Bahkan terdapat pantang-larang yang sebenarnya boleh memudaratkan si ibu. Pengambilan air yang mencukupi, contohnya, merupakan suatu keperluan penting untuk ibu menyusu.
Terdapat amalan berpantang yang mungkin mempunyai rasional suatu masa dahulu tetapi perkembangan dalam prosuder kelahiran dan teknologi yang digunakan membuatkannya tidak relevan lagi. Sebagai contoh, benang jahitan masa kini tidak lagi menggunakan bahan yang boleh menyebabkan keradangan sehingga para ibu perlu berpantang makanan untuk mengelakkan kegatalan dan berpantang daripada hubungan kelamin untuk tempoh sehingga 100 hari.
Meskipun tidak disokong oleh kajian saintifik, ini tidak bermakna amalan berpantang selepas bersalin adalah karut semata. Salah satu aspek dalam amalan berpantang, iaitu persoalan pemakanan ialah persolan yang sangat mengundang debat walaupun dalam kalangan pakar. Kompleksiti setiap makanan yang bukan sekadar terdiri daripada makronutrien (karbohidrat, protein, lemak) serta perbezaan metabolisme dan mikroorganisme dalam sistem pencernaan manusia bererti terdapat perbezaan luas dalam kesan pengambilan makanan terhadap individu.
Patutkah saya berpantang?
Dalam satu perbandingan kajian yang mengkaji kaitan risiko kemurungan dalam wanita Cina yang berpantang, 8 kajian mendapati berpantang membantu mengurangkan risiko manakala 4 kajian mendapati berpantang boleh meningkatkan risiko.
Jelasnya, terdapat aspek amalan berpantang yang mengurangkan tekanan bagi si ibu, manakala aspek lain seperti konflik dengan ibu mertua, pantang-larang yang memudaratkan si ibu boleh memburukkan keadaan.
Oleh itu, jadilah lebih fleksibel dengan membentuk amalan berpantang yang sesuai dengan anda. Kebanyakan ibu baru akan berasa gembira dimanjakan dengan sistem sokongan sosial yang mengambil alih tugas-tugas rumah dan memberikannya peluang untuk menumpukan perhatian kepada bayi yang baru lahir.
Anda berhak untuk berpantang dengan erti kata diberi peluang untuk pulih dan fokus kepada bayi, bukannya berpantang dengan erti kata mengikuti senarai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan secara membuta tuli.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI