Boleh Menitik Air Mata Tiap Kali Anak Kena Kemo, Tapi Ibu-ibu Ini Tetap Kuat & Positif

Share

Hati mana yang tegar apabila mendengar perkhabaran cahaya mata yang disayangi sepenuh jiwa dan raga tiba-tiba disahkan menghidap penyakit serius yang sering menjadi igauan ngeri setiap orang. Tambah pilu ia adalah penyakit yang boleh membawa maut.

Tapi siapalah kita untuk mempersoalkan semua itu. Meskipun berat hati untuk rasa reda dengan apa yang berlaku, tapi itulah yang perlu dilalui kerana pasti ada hikmah disebalik setiap dugaan yang mendatang.

Dalam sebuah laporan akhbar Berita Harian, dua orang ibu yang ditemui di Wad Kanser Pediatrik Hospital Wanita dan Kanak-kanak, HKL dalam satu sesi ziarah dan penyampaian sumbangan daripada Hong Leong MSIG Takaful, keduanya sentiasa berfikiran positif kerana ramai ibu bapa dan kanak-kanak lain yang telah sekian lama berjuang melawan kanser. Namun mereka langsung tidak pernah mengalah kerana percaya akan Kebesaran Sang Pencipta yang Maha Mengetahui Segalanya.

Khaira, Hidap Kanser Saraf Tahap Empat

Bagi ibu empat cahaya mata dari Seremban, Nur Izrah Abu, 32, antara insan yang melalui senario itu, namun perlu tabah apabila anak bongsunya, Nur Sakinah Khaira Mohd Fairil, 20 bulan, disahkan mengidap kanser saraf tahap empat, kira-kira empat bulan lalu.

“Pada usia setahun lebih, Sakinah sudah boleh berjalan tetapi secara tiba-tiba kesihatannya merosot hanya terbaring tidak berdaya berdiri memperlihatkan sesuatu yang luar biasa.

“Pelbagai ujian dan pemeriksaan dijalankan dan akhirnya kesnya dirujuk di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sejak daripada itu sudah lapan kali menjalani rawatan kemoterapi.

“Saya sering keluar masuk hospital, namun di sebalik saya bersyukur keadaan terkininya semakin beransur baik,” katanya.

Positif Bila Lihat Ibu Bapa Lain Yang Tidak Pernah Mengalah

Nur Izrah yang juga suri rumah berkata, beliau berfikiran positif apabila menemui ramai ibu bapa dan kanak-kanak lain yang sekian lama berjuang melawan kanser tetapi mereka langsung tidak pernah mengalah kerana percaya Allah sebaik-baik tempat memohon pertolongan.

“Berikutan keperluan Sakinah yang sering berulang-alik ke hospital ini, saya dan suami menghantar dua anak kami ke kampung untuk dijaga keluarga termasuk memindahkan persekolahan mereka di Chini, Pahang untuk memberikan sepenuh tumpuan penyembuhan si adik manakala seorang lain dijaga suami.

“Harapan kami adalah mengembalikan kehidupan biasanya dan berharap tidak akan berhenti berikhtiar kerana yakin dia akan kembali pulih, membesar dengan kakak dan abangnya,” katanya.

Ikhwan disahkan hidap Kanser Limfoma awal tahun ini

Bagi seorang lagi ibu, Nor Ikma Shida Wahidon, 35, yang setia menemani anaknya, Muhammad Ikhwan Hafiq Abdul Rasyid, 7, reda dengan ketentuan takdir selepas mengetahui anaknya menderita kanser limfoma, awal tahun ini.

“Saya bersyukur di sebalik dugaan ini, suami, keluarga tidak putus-putus memberikan semangat, sokongan supaya tidak lemah ditenggelami beban emosi kerana saya perlu kuat untuk menjaga anak ini.

“Sejujurnya sebagai ibu yang melihatnya membesar dengan sihat, bagaimanapun akur dengan ketentuan Allah SWT yang tidak akan menguji hamba-nya di luar kemampuan,” katanya.

Setiap ujian dan dugaan pasti ada hikmahnya. Sebagai hamba kita perlu reda dan sabar dalam menghadapi semua ini. Terus berdoa dan berserahlah PadaNYA kerana pasti akan ada hikmah atau Keajaiban dari Sang Pencipta. Moga anak-anak ini dipermudahkan rawatan dan diberi kesembuhan. Buat ibu dan bapa mereka, semoga kalian semua terus tabah dan kuat menghadapi ujian ini!

Sumber: Berita Harian

 

 

Published by
SAHR