Mesti ramai ibu hamil keliru bolehkah pakai tudung masa nak bersalin. Sebagai wanita muslimah kita dituntut untuk menutup aurat. Ia adalah satu kewajipan yang tak boleh dipertikaikan dengan apa alasan sekalipun.
Dengan kata lain dalam apa keadaan sekalipun, seseorang wanita muslim wajib menutup auratnya termasuklah ketika sedang bertarung dalam bilik bersalin untuk melahirkan anak.
Mungkin selama ini, isu memakai tudung masa bersalin kurang diberi perhatian tetapi tak boleh diabaikan sama sekali. Berapa ramai di kalangan ibu hamil yang sangat menjaga dan prihatin tetang bab menjaga aurat ketika melahirkan bayi?
Sebagai suami, anda sepatutnya faham tanggungjawab yang patut dijalankan mengikut garis panduan Islam dalam hal menjaga maruah dan aurat isteri.
1. Suami WAJIB pelihara aurat dan maruah isteri dalam apa jua keadaan.
2. Sejak awal disahkan hamil, bab pemeriksaan PERLU dijaga terutama dalam hal aurat.
3. Suami WAJIB mendahulukan doktor perempuan.
4. MENTAATI Allah dengan sebaiknya dan meninggalkan segala yang terlarang.
5. JANGAN ambil mudah dalam soal proses kelahiran.
Sebenarnya ibu hamil yang beragama Islam tidak seharusnya dihalang daripada memakai tudung masa melahirkan anak. Para kakitangan perubatan patut lebih peka dan menghormati ketegasan pesakit dalam bab menjaga aurtanya. Sepatutnya dalam bab ini suami mestilah memastikan isteri menutup aurat.
Kita sedia maklum dalam keadaan kesakitan menanti kelahiran bayi sudah tentu ibu hamil berhadapan dengan situasi yang mungkin tidak diduga, hilang kewarasan untuk berfikir dengan normal dan sebagainya. Ini kerana dalam keadaan darurat sedang bertarung nyawa untuk melahirkan bayi sudah tentu wanita berisiko tudung tertanggal, kain terselak, lengan baju tersingkap dan sebagainya lagi maka ketika ini suami sebagai ketua keluarga perlu memainkan peranan menjaga maruah dan aurat isteri.
Selain itu suami juga wajib menjaga dan memelihara aurat isteri ketika dalam wad dan bilik bersalin (sebaiknya pilih hospital yang membenarkan suami masuk sekali) terutama jika sedang menyusukan bayi di wad yang terbuka dan menjadi tumpuan orang ramai keluar masuk menziarahi pesakit serta kakitangan hospital di kalangan lelaki yang bertugas di wad berkenaan.
Sebaiknya ketika proses melahirkan anak dalam bilik bersalin, ibu hamil wajib ada mahram untuk menemankannya ketika adanya keadaan darurat yang mengizinkan auratnya terbuka. Turutan mahram yang dibenarkan ada bersamanya iaitu
* Pertama adalah suami
* Kedua adalah saudara perempuan iaitu kakak, adik perempuan, ipar perempuan
* Ketiga adalah jururawat perempuan terutama sekiranya doktor lelaki yang bertugas mengendalikan proses bersalin itu
Semoga Allah memudahkan urusan bersalin semua ibu hamil dan terus memelihara aurat dan maruah kita untuk proses kelahiran. Kepada yang sebelum ini telah melalui proses bersalin dalam keadaan tidak mampu bertegas, tidak cukup bersedia memelihara aurat dan sebagainya lagi maka hanya keampunan dari-Nya sahaja yang mampu dilakukan. Semoga Allah menerima taubat kita kerana sesungguhnya Dia Maha Pengampun.
Sumber: Facebook Semanis Kurma TV9
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI