“Botol Air Hilang, Ayah Pun Boleh Hilang Nyawa.” Kisah Lucu 2 Beranak Tertinggal ‘Harta’ Si Ibu

Share

Minat seorang isteri jangan dipandang ringan. Apabila mereka sukakan sesuatu, pasti mereka akan usahakan walau dengan cara bagaimana sekalipun. Begitu jugalah kegilaan para isteri dengan sebuah jenama bekas makan yang terkenal. Dek kerana kualitinya yang bagus, biarpun sedikit mahal para isteri sanggup ‘berhabis’ untuk melengkapkan koleksi mereka.

Para suami dan anak-anak pula cukup gerun jika dibekalkan makanan dalam bekas ini. Biarlah guna bekas biasa, janganlah yang jenama ini. Takut kalau hilang! Hilang bekas ini, umpama hilang nyawa. Begitulah yang dikongsikan oleh seorang suami, Mohd Fadli Salleh, melalui laman Facebooknya.

CERITA TERTINGGAL BOTOL AIR

Pergi ambil anak kat sekolah tadi dah jam 6:30 dah pun. Sampai kat jaga, Asyraff naik motor aku. Baru nak gerak, dia cakap,

“Ayah. Beg duit adik tertinggal kat kelas. Ada duit RM8 lagi dalam tu untuk untuk belanja esok dan lusa.”

“Biar la beg duit tu. Esok pagi ayah pergi tengok.”

Aku malas nak masuk dalam sekolah dah. Jauh juga pagar ke kelas dia. Kami pun bergerak pulang. Baru sekejap bergerak, Asyraff cakap lagi,

“Botol air pun tertinggal ayah.”

“Sreeettttt!”

Terus aku brek emergency.

“Kenapa tak cakap? Duit hilang ayah boleh niatkan sedekah. Kalau botol air hilang, bukan setakat Adik kena marah. Ayah pun mungkin hilang nyawa. Tupperware ke dik?”

“Tak tahu jenama apa.”

Ah, Tupperware ke, Tipuware. Kalau tinggal botol air kat sekolah boleh hilang nyawa woih.

Yang kelakarnya, waktu anak aku masuk kelas, ada seorang lagi lelaki di temani anaknya baru keluar dari kelas darjah 3 tingkat atas. Dari jauh aku laung,

“Kenapa tu bang?”

“Tertinggal botol air cikgu!” Balasnya dari kejauhan.

“Tupperware ke?” Jerit aku lagi.

“Yaaaaa!”

“Kahkahkah.”

Kami gelak bersama. Laju dia gerak balik. Tak sempat nak ambil gambar bukti. Lewat balik pun boleh kena soal siasat juga weh. Bahaya main dengan kaum wanita ni. Seram. 😅

Waktu keluar pintu sekolah, guard pula tegur,

“Tertinggal apa cikgu?”

“Nyawa.”

Senyum je guard dengar jawapan aku. Entah dia faham entah tidak. Lantakkan.

Gitu je aku jawab lantas pecut balik rumah dengan penuh kelegaan.

#MFS
– Wanita bukan makhluk bumi –

Lucu perkongsian dari suami ini, tapi tidak boleh dinafikan kebenarannya. Jangan dibuat main, kerana bekas makanan ini sangat penting buat pengumpulnya. Yang tahu, pasti tahu akan hakikat ini.

Published by
Emy H