Buang Lampin Pakai Buang Anak, Tak Sedar Terbuang Sekali Barang Kemas!

Share

Jika masih ada rezeki kita, apa sekalipun jadi tetap dapat. Tapi andai kata memang tak ada rezeki, apa yang di tangan kita pun boleh terlepas. Begitulah yang berlaku pada Puan Rohaya Ismail, 31, anggota polis di Balai Polis Telok Ayer Tawar, Butterworth apabila dapat semula dompet barang kemasnya yang terbuang dalam tong sampah.

Menurut laporan Harian Metro, kejadian bermula apabila Rohaya yang membuang lampin pakai buang anaknya tidak menyedari turut terbuang sekali satu beg kecil mengandungi sejumlah emas miliknya yang dibeli dan disimpan sejak berusia 18 tahun.

“Barang kemas itu sangat bermakna kerana saya bukan berasal dari keluarga senang. Ayah meninggal dunia masa usia saya 14 tahun dan saya cuba mengumpul emas itu sedikit demi sedikit semasa bekerja kilang untuk kegunaan masa terdesak.

“Saya tidak tahu macam mana boleh terbuang, sebaliknya sedar beg kecil itu hilang pada 7.45 pagi semalam dan masa itu memang rasa hendak menangis sebab emas itu begitu berharga.

“Kebetulan abang saya ingin pergi buang sampah pada 9 pagi hari sama dan saya minta dia tolong cari, tetapi tidak jumpa. Abang pergi berjumpa lori Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tidak jauh dari kuarters yang saya didiami yang mereka (pekerja) minta pergi ke depo pembersihan di Tasek Gelugor,” katanya.

Tak menaruh harapan jumpa semula

Menurutnya, dia tidak menaruh harapan tinggi sama ada barang kemas miliknya itu ditemui semula, tambahan pula bukan mudah untuk mencarinya disamping tidak boleh sewenang-wenangnya kerana perlu mengikut prosedur.

Katanya, dia reda jika tiada rezeki serta serahkan semua urusan kepada Allah.

“Saya tidak sangka MPSP dari pihak atasan sehingga bawah sanggup berkorban masa dan tenaga untuk turun mencari dalam timbunan sampah yang begitu banyak.

“Tidak lama kemudian abang saya menghubungi menerusi panggilan video menunjukkan barang kemas saya ditemui semula dalam satu beg plastik hitam. Syukur dan terima kasih tidak terhingga buat sekumpulan Wira Oren dan perasaan ini tidak terungkap dengan kata-kata.

“Walaupun pekerjaan mereka (Wira Oren) ada yang pandang serong, tetapi bagi saya mereka adalah wira negara yang ikhlas serta jujur apabila sanggup berkorban mencari barang kemas saya sehingga jumpa,” katanya yang merahsiakan nilai keseluruhan barang kemas miliknya itu.

Terdahulu, hantaran wanita itu tular di media sosial dengan mendapat ribuan tanda suka dan dikongsi ratusan pengguna FB.

Menurut posting itu, wanita terbabit turut memberikan sedikit sagu hati kepada pekerja MBSP berkenaan sebagai tanda penghargaan selepas bertungkus lumus menggeledah, mengorek dan mencari emas miliknya dalam timbunan sampah sehingga ditemui.

Kredit: Metro

Buat mama papa yang mahu anak lancar bahasa Inggeris, jom sertai e-workshop Panduan Ajar Anak Pandai English, Mudah Sangat! Bersama barisan panel berkredibiliti seperti Dr Azu, Dr Fie serta penampilan istimewa Dato Dr Sheikh Muzaphar. E-workshop ini PERCUMA dan anda berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa baucer barangan bernilai hampir RM1000! Jom, daftar  sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/panduan-ajar-anak-pandai-english/

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)

 

Published by
Wan Amy