Masalah buasir biasanya kerap terjadi kepada ibu selepas melahirkan anak. Semua ini berpunca daripada masalah sembelit yang dialami ibu berpantang ketika berpantang. Pun begitu buasir juga tidak kurang dialami ibu hamil. Sakitnya usah cakaplah bila sembelit mula menghantui.

Ada ibu hamil yang mengalami masalah sembelit dan tidak membuang air besar selama berbelas hari. Bayangkan bagaimana ibu hamil menahan semua ni? Sudahnya buasir muncul bila sembelit kerap terjadi.

Menurut Dr Noorintan Zainal Shah daripada Hospital Colombia Asia, penyebab utama masalah buasir pastinya adalah masalah sembelit yang terjadi secara serius kepada wanita hamil.

Sembelit yang berpanjangan akan mengakibatkan makanan disimpan lebih lama di usus dan ini membuatkan wanita hamil semakin sukar untuk membuang air besar.

Saiz rahim yang semakin membesar dan berat badan ibu yang semakin bertambah menyebabkan perut dan rahim terhimpit dan menyukarkan pergerakan zat-zat makanan dalam badan. Apabila pergerakan fizikal semakin terbatas, ini tambah memburukkan lagi masalah sembelit.

Dan masalah terbesar bagi sembelit pastinya buasir, yang cukup ditakuti sebilangan wanita hamil. Buasir merupakan salur darah yang  terbonjol keluar daripada lubang dubur dan membentuk buasir. Hal ini terjadi apabila otot di kawasan ini berubah menjadi lembut.

Redakan Dengan Kaedah Warm Bath


Jika buasir mula membengkak dan sakit, wanita hamil disyorkan menggunakan krim seperti Xyloproct dengan menyapunya di kawasan buasir. Krim Xyloproct mengandungi dua bahan utama yang membantu melegakan buasir yang dialami wanita hamil.

Kandungan bahan Lignocaine di dalam krim ini berfungsi sebagai ubat yang melalikan rasa sakit yang berlaku apabila buasir membengkak. Manakala Hydrocortisone pula merupakan bahan kedua yang terdapat di dalam krim xyoproct yang bertindak mengurangkan masalah radang dan bengkak.

Selain penggunaan ubat bersesuaian, aspek kebersihan haruslah diberikan keutamaan dalam merawat masalah buasir. Setelah membuang air besar, haruslah dicuci dengan bersih dan dilapkan hingga kering di kawasan ini. Ini bagi mengelakkan sebarang rasa ketikdakselesaan yang membolehkan jangkitan lain berlaku.

Jika buasir masih sakit selepas diberikan ubat sapu, penggunaan air batu yang dibungkus di dalam kain tuala misalnya adalah pilihan lain yang dapat melegakan ibu hamil. Ia dilakukan dengan cara ditekap di kawasan dubur.

Ada juga pihak yang menyaran penggunaan ‘warm bath’, yang dikatakan begitu melegakan. Begitu juga penggunaan tuaman air panas yang dikatakan dapat meredakan buasir.

‘Thrombosed piles’ adalah istilah bagi buasir yang berada di paras yang agak teruk. Masalah ini biasanya memerlukan pembedahan yang dikenali sebagai hemorrhoidectomy. Pesakit biasanya akan diberikan bius ( spinal anaesthesia) dan doktor akan memotong kawasan sekeliling buasir.

Buasir akan dibuang dan salur darah yang ada akan diikat supaya tidak berdarah dan tidak terkeluar semula daripada dubur.  Namun begitu, selepas pembedahan, buasir masih boleh berlaku semula jika amalan pemakanan yang sihat masih tidak diamalkan.

Amalan diet yang seimbang dan berserat tinggi adalah pilihan paling tepat dalam pencegahan sembelit dan buasir. Pastikan pengambilan air yang mencukupi di sertakan dengan senaman ringan seperti berjalan kaki dan sebagainya. Elakkan duduk atau berdiri di satu tempat dalam masa yang terlalu lama.

Amalan pemakanan yang sihat dan aktiviti ringan pastinya membantu ibu hamil tampil lebih ceria tanpa kerunsingan.

Tinggalkan Komen