Bukaan 3cm-10cm Sejam Lebih. Baby Keluar Doktor Tak Sempat Sambut. Mudah Ayu Raudhah Bersalin

Share

Pelakon Ayu Raudhah selamat melahirkan bayi keempatnya di salah sebuah pusat perubatan swasta pada pagi 14 Februari.

Isteri kepada pemain bola sepak, Zaquan Adha itu telah menimang cahaya mata lelaki ketiga selepas mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan.

Menerusi Instagram Ayu Raudhah, dia sangat bersyukur dengan kelahiran anak keempatnya kali ini kerana sangat mudah dan sekejap.

“Rezeki kali ini rasa sakit bersalin sekejap sangat dan doktor pun tak sempat nak sambut. Kali ini juga baru rasa betul-betul turun tanda, pecah ketuban dan rasa kontraksi.

“Bayangkan dari bukaan 3cm hingga 10cm hanya dalam tempoh satu jam lebih sahaja. Rasa sekejap sangat.

“Sebelum ini masa lahirkan anak ketiga pun mudah juga tapi untuk anak pertama dan kedua tak sempat rasa sakit betul-betul kerana ambil epidural.

“Kalau ikutkan suami, semua anak dia nak suruh ambil epidural kerana tak sanggup tengok saya sakit tapi sebagai wanita nak juga rasa sakit bersalin itu,” kongsinya.

Suami Dan Mama Bergilir Jaga

Ayu Raudhah juga mengakui dalam keadaan sakit bersalin, suami dan mama yang bergilir-gilir jaga dan bagi semangat sepanjang berada di labour room.

“Rasa terharu sangat dengan sokongan dan kata semangat dari suami dan mama. Baru tahu pengorbanan mama. Sejak kecil hinggalah sakit nak bersalin pun mama sanggup ada bersama.

“Betullah orang kata mak ni sanggup buat apa sahaja untuk anak tapi kita sebagai anak belum tentu dapat buat yang terbaik untuk mak,” katanya.

Tak Merancang

Ayu juga mengakui dia dan suami tak pernah merancang untuk memiliki berapa orang anak. Jika Allah nak bagi akan terima dengan hati terbuka. Sesungguhnya rancangan dan kurniaan Allah yang terbaik.

“Jika dapat lagi sentiasa bersyukur. Paling penting doa untuk anak-anak biarlah mereka akan menjadi soleh dan solehah serta lading pahala dan rezeki dalam keluarga kami,” jelasnya.

Sumber: ig Ayu Raudhah & Zaquan Adha

 

Published by
Wan Amy