Ibu bakal bersalin biasanya dah tak mampu nak buat apa-apa bila sedang menahan contraction, hinggakan waktu solat pun terlepas begitu sahaja. Ini kerana dalam keadaan tersebut semua itu dah tak boleh nak fikir.
Malah ada yang beranggapan solat boleh qadar semula. Mungkin ya tapi adakah kita pernah terfikir ada cara mudah boleh dilakukan selagi belum sampai waktu untuk melahirkan anak.
Perkongsian dari Dr Nur Hanisah ini benar-benar bermanfaat dan memberi satu gambaran jelas mengenai situasi solat perlu dijaga selagi kita belum melahirkan anak.
Doktor bercakap kepada pesakit.
“Puan, kita nak tolong pecahkan air ketuban ya. Sebabnya, kita nak bila pecah, kepala baby mudah turun. Jalan pun makin buka nanti.”
Dia mengangguk.
Sebelum doktor sempat memasukkan jari, matanya mengerling ke arah jam pada dinding. Kemudian memandang wajah pesakit yang sedang berbaring. Rupanya dia teringat sesuatu.
“Eh. Puan dah solat Zuhur?”
Pesakit itu menggeleng.
“Oh. Puan solat dulu lah kalau macam tu. Saya buat lepas puan solat, boleh?”
Berkerut dahi pesakit yang sememangnya sudah sarat untuk bersalin.
“Boleh qadha’ nanti kan, doktor?”
Doktor terdiam sejenak.
Selagi Belum Bersalin Wajib Solat
“Oh. Hmm. Tapi selagi puan belum bersalin lagi, kira wajib lagi untuk solat, puan. Lagi pun, puan baru 4cm ni.”
“Tapi tadi dah keluar darah, doktor. Boleh ke solat?”
Terukir senyuman di bibir doktor itu.
“Boleh… Tak ada masalah.”
“Nak ambil wudhu’ macam mana doktor?” Soal dia lagi. Kurang yakin dengan arahan yang didengari. Asing barangkali.
“Kat sebelah ni ada toilet. Boleh ambil wudhu’. Lepas tu, boleh solat kat tepi katil ni je. Kalau tak larat, solat atas katil sambil duduk pun boleh.” Doktor tetap cuba meyakinkan lagi dan lagi.
Pesakit itu sudah mula duduk. Tapi masih tidak berganjak daripada katil. Riak wajahnya kelihatan teragak-agak. Entah apa yang bermain dalam fikirannya.
Doktor yang seakan memahami, menyoal sekali lagi.
“Sakit kuat ya, puan?”
Dia mengangguk.
Ambil Wuduk Guna Spray
“Ok. Tak apalah kalau macam tu. Kita ambil wudhu’ pakai spray je. Sekejap puan, ya.”
Doktor berlalu keluar daripada langsir yang menutupi katil pesakit itu tadi. Dia mendekati misi yang sedang sibuk menulis di atas meja.
“Kak, patient ni nak solat. Ada spray wudhu’ tak kat sini?”
“Ada, doktor. Kejap. Kak pergi ambil.”
“Telekung dengan sejadah ada, kak?”
“Ada. Doktor pergi ambil kat almari dalam bilik tu,” tuding dia ke arah satu bilik lain pula.
“Ok. Terima kasih, kak.”
Sudahnya, doktor sendiri membantu pesakit itu untuk mengambil wudhu.
“Kesian doktor. Basah baju doktor.”
“Eh tak apa. Sikit je ni.”
“Saya tak pernah lagi ambil wudhu’ macam ni.”
“Yeke? Takpe, takpe. Kita belajar sama-sama.” Senyum doktor itu sambil galak menekan spray, mengenakan air pada setiap anggota wudhu’ pesakit.
“Puan kalau tak boleh solat duduk, solat sambil baring pun tak apa. Kiblat arah sana, ya. Doa banyak-banyak. Minta Allah mudah proses bersalin.”
Sebelum doktor beredar, sempat lagi dia berpesan,
“Oh ya, puan. Jamak sekali ya solat Zuhur dengan Asar. Buat empat rakaat, empat rakaat.”
“Baik, doktor.”
Dan akhirnya, satu gambaran suasana yang cukup indah berlaku di hadapan mata saya.
Pesakit yang tadinya ragu, kemudian terbaring di atas katil dengan badan yang dibaluti telekung putih.
Subhanallah. Mudah-mudahan, solat itu menbuahkan khusyuk buat dirinya. Mungkin solat itu juga yang paling bermakna dalam seumur hidupnya.
MashaaAllah!
Saya yang menyaksikan kejadian pada hari itu berasa begitu terharu. Jarang jumpa doktor yang betul-betul menitikberatkan soal solat pesakit.
Mungkin boleh kata, tak pernah dijumpa. Tetapi rupa-rupanya, masih ada.
Ya Allah. Rahmatilah dirinya. Jadikanlah dia seorang doktor yang bermanfaat buat ummat. Jadikanlah lebih ramai doktor yang arif dan cakna tentang solat.
Doakan saya juga, agar dapat menjadi salah seorangnya.
Update:
Baca sambungan cerita SARAT (Bhg. 2) di sini >> https://www.facebook.com/100000873558802/posts/2006114496094316/
WAJIB baca yang ini juga! >>https://www.facebook.com/100000873558802/posts/2006322772740155/
Sumber: Dr Nur Hanisah