Bukan 4 Tapi Terima 41 Kes Covid-19 Dalam Masa Satu Hari, Dr Ni Rayu Jangan Pentingkan Diri Sendiri!

Share

PKP yang memasuki fasa ketiga ini sebenarnya sudah pun membuatkan kita redha malah semakin kuat semangat untuk membantu kerajaan menangani wabak jangkitan Covid-19 ini. Pun begitu masih ada di kalangan masyarakat kita yang bersikap mementingkan diri dan tidak ambil kisah akan arahan yang dikeluarkan kerajaan untuk berada di rumah. Hal ini pastinya tambah memburukkan keadaan.

Sikap sebegini yang membuatkan rasa kurang senang terutama di kalangan pekerja barisan hadapan yang bertungkus lumus saban hari malah terpaksa berpisah dengan keluarga demi menyelamatkan insan lain. Perkongsian Dr Ahmad Luqman Bukhari di facebooknya yang berdepan dengan jumlah kes yang tiba-tiba meningkat sepatutnya membuka mata semua.

Rakyat perlu kekal di rumah sebagai tanda menyokong para pekerja barisan hadapan sekaligus membendung usaha kerajaan dalam membendung wabak ini. Itu yang sewajarnya kita lakukan.


 

Saya perasan ramai yang duk cerita banyak kereta mula membanjiri Bandar Seremban sejak awal pagi tadi. Hingga ada yang beritahu PKP seolah-olah dah makin longgar.

Mulalah seharian hati ni rasa tak sedap. Serba serbi tak kena.

Tup-tup sekejap tadi dapat berita 41 kes baru positif dikesan kat Seremban ni!

Bukan 4 kes. 41 woih!

Lemah seluruh sendi badan lalu tersandar ke kerusi masa mula mula tahu berita ni tadi. Satu demi satu wajah rakan-rakan sekerja dekat hospital sana tiba-tiba menerpa ke dalam fikiran.

Ada antara kami yang dah sebulan terpisah dengan isteri.

Ada yang baru seminggu menimang cahaya mata.

Ada yang isterinya sedang sarat mengandung.

Walaupun begitu, mereka tetap cekalkan hati.

Walaupun berada dalam suasana kerja berisiko tinggi untuk terkena jangkitan maut, mereka cekalkan hati.

Walaupun ada yang diarah untuk jalani kuarantin, mereka cekalkan hati.

Walaupun risau setiap kali tiba waktu pulang, takut takut terbawa pulang bencana ke rumah, mereka cekalkan hati.

Malangnya kecekalan tu dibalas dengan sampah busuk oleh sebahagian manusia degil yang tak reti patuh arahan berkurung!

 

260 kes positif di Seremban, 2 zon merah

Kawan-kawan,

Di Seremban ni sahaja kita dah ada 260 orang pesakit positif. Dua kawasan diletakkan dalam zon merah. Manakala 2 lokasi lagi dah dikategorikan sebagai zon jingga. Lain-lain lokasi hampir kesemuanya termasuk dalam kategori zon kuning.

Sekiranya masih lagi bersikap sambil lewa dan bangga dengan sikap pentingkan diri sendiri, ketahuilah yang kita akan menzalimi lebih ramai orang lebih lebih lagi petugas kesihatan.

Bersedialah untuk menerima lebih banyak kes positif, dikenakan perintah berkurung yang lebih keras serta melihat pertambahan jumlah kematian di kawasan kita ni.

KKM dah berusaha sehabis baik. Namun kita hanya boleh menang jika semua kelompok berikan kerjasama serta patuhi arahan.

Tolong kongsikan pesanan ini pada ahli keluarga dan sahabat agar mereka terus beringat dan berhati-hati. Bukan nak menakutkan,tetapi saya harap kita sama-sama jangan ambil mudah.

Dr Ahmad Luqman Bukhari,
Seremban.

Published by
SRM