Mama perlu ketahui 5 tanda ini, ia bukan false alarm atau isyarat bersalin yang palsu lagi. Apabila ia muncul, ia bermakna anda akan bersalin tidak lama lagi.
Tanda bersalin setiap wanita tidak sama, bahkan tanda bersalin bagi setiap kelahiran untuk seseorang wanita itu juga berbeza! Sungguhpun anda tahu tarikh jangkaan bersalin (EDD) yang diberikan oleh doktor, tetapi tidak mustahil jika anda bersalin lebih awal ataupun lewat daripada tarikh yang diberikan. Jadi, apa petanda waktu bersalin anda sudah hampir? Awas! Usah terpedaya dengan tanda bersalin palsu.
#1 Rasa ringan
Ini bukan bermakna anda rasa berat badan anda semakin ringan! Sebaliknya, proses di mana kepala bayi turun ke bawah dan berada tetap pada posisi pelvis anda dinamakan ringan. Anda mungkin akan mengalami tanda ini beberapa minggu atau beberapa jam sebelum bersalin. Juga, anda akan rasa lebih kerap kencing ketika ini kerana uterus berada atas pundi kencing.
#2 Rembesan mukus
Rembesan mukus berkumpul di serviks semasa anda hamil. Namun, apabila serviks mula terbuka dengan lebih luas, rembesan mukus yang jernih, berlendir dan sedikit berdarah akan keluar pada faraj anda. Anda mungkin akan bersalin selepas seminggu atau dua minggu rembesan mukus keluar.
#3 Kontraksi
Semasa kontraksi berlaku, abdomen anda akan rasa keras. Semasa antara kontraksi pula, uterus akan rasa relaks dan abdomen jadi lembut. Walau bagaimanapun, rasa kontraksi bagi setiap wanita tidak sama. Lazimnya, anda akan mula rasa kejang perut dan tidak selesa serta sakit belakang sewaktu hampir bersalin. Kontraksi sebenar berbeza dengan yang palsu, di mana semasa kontraksi sebenar, anda akan rasa kontraksi tanpa henti walaupun semasa anda berubah posisi atau cuba untuk bertenang. Anda juga akan rasa kontraksi lebih kerap dan lebih sakit.
#4 Air ketuban pecah
Tanda bersalin yang paling kerap diperkatakan. Untuk mengenali air ketuban, selalunya ia tidak berbau dan jernih. Proses kelahiran hanya terjadi jika air ketuban anda pecah disertai dengan kontraksi yang membuka serviks anda.
#5 Mudah membuang air besar
Bukan sahaja otot pada uterus yang sedang bersedia untuk bersalin, otot-otot pada badan lain pun sama. Pergerakan usus anda juga longgar, jadi mudah untuk anda membuang air besar. Ini petanda baik kerana waktu bersalin anda makin hampir!
Sumber: Hello Doktor