Menjadi seorang ibu bekerja bukanlah satu tugas mudah. Anda perlu lebih menjaga diri atau ada 8 risiko masalah kesihatan yang mungkin akan dialami. Jom ketahuinya.
Bukan mudah tugas seorang ibu bekerja
Memegang tugas seorang ibu dan memiliki kerjaya bermakna anda akan berdepan dengan banyak isu tentang anak-anak selain tugasan hakiki kerja, sudah pasti ia menyebabkan tekanan. Sekiranya ibu bekerja yang sibuk berasa tertekan, ini akan menyebabkan timbul isu kurang fokus dalam pekerjaan.
Keadaan tersebut pastinya cenderung menurunkan kadar produktiviti. Tanpa sedar, tuntutan kerja dan tanggungjawab keibuan akan memberikan kesan kepada badan. Selain tekanan, ketidakseimbangan ini boleh sebabkan masalah kesihatan seperti penyakit fizikal.
Masalah kesihatan mempengaruhi ibu bekerja
Sebagai ibu, pasti anda mahu menjadi yang terbaik buat anak-anak. Tetapi dalam masa yang sama, anda tetap perlu menjaga kesihatan diri.
Berikut 8 masalah kesihatan yang berisiko untuk anda alami:
Sakit belakang
Duduk berjam-jam di meja kerja boleh menyebabkan ketegangan otot leher, belakang dan bahu. Balik ke rumah, perlu mendukung anak pula. Itu antara punca sakit belakang yang anda alami.
Kurangkan risiko anda daripada mengalami sakit belakang dengan bergerak sebanyak mungkin. Sekurang-kurangnya, setiap jam, bangun dan berjalan-jalan di sekitar kawasan kerja anda. Lakukan regangan pada bahagian bahu dan leher. Untuk meregangkan bahagian belakang, angkat dan pegang antara kedua belah tangan ke belakang badan.
Sakit kepala
Ini antara masalah kesihatan yang paling kerap menyerang. Biasanya disebabkan kurang tidur, tekanan, kurang penghidratan yang banyak menjejaskan ibu yang mempunyai kerjaya. Sebaiknya, anda perlu menjaga kadar pengambilan cecair agar mencukupi. Sentiasa pastikan anda mendapat rehat dan tidur yang mencukupi. Jika sakit kepala menyerang sewaktu di tempat kerja, urut dengan perlahan bahagian sisi kepala. Masih tidak baik? Apa kata anda rehat beberapa minit dengan mencari tempat yang tenang daripada bunyi bising, ini antara pencetus masalah sakit kepala.
Ketidakselesaan usus
Antara masalah kesihatan berkaitan ketidakselesaan usus atau irritable bowel syndrome (IBS) yang sering melanda ibu bekerja adalah seperti sembelit atau cirit-birit. Ia boleh berlaku disebabkan dehidrasi, tabiat pemakanan yang tidak baik dan sudah tentu, tekanan.
Elakkan masalah ini dengan memperbanyakkan pengambilan probiotik yang baik untuk kesihatan usus dan serat daripada buah, sayuran dan bijirin. Banyakkan minum air sepanjang berada di pejabat dan pastikan anda meluangkan masa beberapa minit untuk berehat daripada menghadap skrin.
Kegelisahan
Memikirkan banyak tugasan kerja dan rumah yang perlu dilakukan akan membuatkan anda berasa terbeban dan gelisah. Keadaan tersebut boleh mengakibatkan badan sukar berehat dan menjejaskan proses pencernaan. Kerja dan tugas seorang ibu tidak akan pernah terhenti. Jadi berikan sedikit masa untuk diri anda sendiri. Anda boleh biarkan si kecil bermain di laman rumah sambil anda menikmati minum petang bersama pasangan.
Untuk elakkan wujud rasa gelisah ketika di tempat kerja, senaraikan isu penting yang perlu diutamakan dan letakkan had untuk perkara lain.
Saluran susu tersumbat
Bagi ibu yang lakukan penyusuan eksklusif, mungkin sukar untuk mengepam susu pada waktu bertugas. Payudara yang tidak dikosongkan dengan betul boleh sebabkan masalah bengkak susu, saluran susu tersumbat dan masititi iaitu jangkitan bakteria pada tisu buah dada. Berbincanglah dengan pihak pengurusan tempat kerja anda tentang keperluan anda untuk memperuntukkan masa mengepam susu atau ia boleh menyebabkan masalah kesihatan.
Jika masalah bengkak berlaku di tempat kerja, urutkan payudara sekitar saluran susu tersumbat.
Sakit pelvis
Otot ligamen serta tisu penghubung yang meregang semasa proses bersalin mengambil masa lama untuk pulih kepada keadaan asal dan boleh sebabkan kesakitan. Keadaan itu pastinya menyebabkan ketidakselesaan buat ibu bekerja yang perlu duduk di meja kerja selama berjam-jam.
Hindari masalah kesihatan ini dengan meluangkan 10 minit untuk melakukan senaman Kegel dan senaman abdomen bagi menguatkan otot bahagian tersebut.
Sindrom terowong karpal
Carpal tunnel syndrome berlaku apabila tisu penghubung menjadi longgar. Ia boleh menjejaskan keseluruhan badan. Buat ibu yang menyusu, anda akan lebih terdedah untuk mengalami masalah ini. Biasanya sindrom ini wujud kesan daripada pergerakan berulang, seperti menaip.
Kurangkan risiko dengan elak meletak pergelangan tangan di papan kekunci semasa menaip. Perbuatan itu memerlukan anda melentur pergelangan tangan ke atas. Sebaliknya biarkan pergelangan tangan anda berada pada kedudukan yang sama di atas meja dan letakkan pelapik jika perlu. Jika perlu semasa di tempat kerja, pakai pembalut pergelangan tangan untuk memastikan ia berada pada kedudukan neutral semasa menaip.
Kekurangan nutrien
Kekurangan nutrien seperti zat besi dan vitamin B12 buat ibu bekerja boleh menyebabkan keletihan. Keadaan ini akan lebih kronik buat ibu menyusu badan dan berkerjaya. Disarankan untuk anda memperbaiki diet pemakanan harian anda atau mengambil suplemen multivitamin dengan zat besi setiap hari.
Sentiasa menjadi yang terbaik
Setiap ibu yang bekerja akan menghadapi cabaran unik. Sudah tentu sebagai ibu, anda mahu memberikan yang terbaik buat anak-anak dan keluarga. Tidak salah jika anda sentiasa cuba bahagikan masa, tenaga, serta pemikiran antara tanggungjawab di rumah dan tempat kerja dengan sebaiknya.
Namun ibu-ibu semua, kesihatan diri tetap perlu diutamakan, okay?
Kredit: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI