Perkongsian seorang lelaki di laman Facebooknya menarik perhatian penulis. Dalam penulisannya itu, Najmi Nawawi bercerita tentang emosi wanita yang sentiasa berubah dan seharusnya suami memahami situasi tersebut. Berikut apa yang ditulis Najmi:
IANYA NORMAL : PEREMPUAN MEMANG BEGITU
Orang lelaki jangan cepat terasa atau ‘triggered’ sangat dengan ‘bad mood’ pasangan. Otak perempuan dan otak lelaki berfungsi dengan berbeza, dan ini telah dibuktikan oleh ramai pakar psikologi dunia.
Kita orang lelaki memang boleh cakap ‘memang la bad mood bila datang bulan, tetapi janganlah jadikan alasan untuk layan sahaja emosi itu’.
Tetapi ianya tidak semudah itu untuk mereka kawal emosi. Tidak dinafikan kadang-kadang memang boleh, namun kadang-kadang juga mereka akan jadi sangat sensitif. Memang tidak boleh kawal.
Seorang isteri sangat mudah mengalami perubahan mood. Mood yang kurang stabil pada wanita boleh disebabkan oleh apa sahaja. Mungkin kerana tekanan fizikal, keletihan, metabolisme, dan mungkin juga kerana perubahan mendadak hormon estrogen dan progesteron dalam badan si isteri.
p/s : Orang cakap kalau isteri bad mood kena pujuk dan peluk isteri. Tapi kau tahu-tahu sahajalah, bukan senang untuk peluk isteri kalau dia tengah bad mood. Macam peluk biawak hidup.
Ada benarnya apa yang dikatakan oleh Najmi. Sebenarnya perubahan emosi wanita berlaku tanpa disedari. Sebagai wanita, penulis juga ada masanya mengalami keadaan ini. Suami tak buat salah pun habis dihamburnya, hanya kerana dia tersilap membeli barang yang penulis pesan. Lebih ketara apabila dating haid, perubahan hormon membuatkan kita sering naik angin tanpa sebab.
Mewakili kebanyakan wanita di luar sana, ingin penulis katakan tidak pernah terlintas mahu marahkan pasangan tanpa sebab. Perasaan itu cuba dikawal, tetapi kadang kala ia gagal. Stres, letih dan banyak perkara harus difikirkan kadang-kadang menjadi faktor mengapa kami naik angin tiba-tiba. Percayalah, selepas itu para isteri pasti akan merasa bersalah.
Sebenarnya wanita perlukan sedikit masa untuk memproses setiap perkara yang dilakukan ketika sedang marah tadi. Berikan kami sedikit masa sebelum datang bertanya apakah masalahnya. Jika ditanya pada waktu itu juga, memang kami akan jadi ‘biawak hidup’. Dalam rumah tangga, kita saling berkongsi, jadi sebaik-baiknya cubalah fahami pasangan anda dan hargai setiap apa yang mereka lakukan untuk kita.
Sumber: Najmi Nawawi