Seluk atau pemeriksaan faraj semasa proses kelahiran penting, perlu dilakukan untuk menjamin proses kelahiran lancar. Bukan saja-saja nak seluk!
Kebanyakan ibu mengadu pemeriksaan faraj atau vaginal examination amat menyakitkan hingga ada ang kecut perut. Malah ada yang mengatakan lebih sakit daripada sakit bersalin!
Dr Siti Aishah Daud, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Subang Jaya Medical Centre berkata pemeriksaan faraj adalah prosedur yang wajib bagi setiap kelahiran.
Ia merupakan pemeriksaan dalaman untuk vagina (rahim) dan pintu rahim. Ia juga dipanggil pemeriksaan dalaman atau internal examination.
Pemeriksaan ini melibatkan seorang pengamal perubatan (jururawat atau doktor) yang membuka pintu bibir faraj (labia) dan memasukkan dua jari (jari telunjuk dan jari hantu) yang telah diletakkan jeli atau pelincir ke dalam vagina.
Sehelai kain akan diletakkan pada bahagian atas pesakit daripada bahagian perut ke lutut. Hanya bahagian lutut ke bawah sahaja yang akan kelihatan. Sebelum pemeriksaan ini dilakukan, doktor akan menerangkan tentang cara prosedur ini dan prosedur ini boleh dihentikan bila perlu.
Pemeriksaan faraj mustahak bagi membantu pengamal perubatan dan pesakit melalui proses kelahiran yang lebih lancar. Antaranya ialah;
#1. Menilai perubahan bukaan pintu rahim.
#2. Menilai sejauh mana bayi telah turun ke ruang pelvis ibu.
#3. Menentukan kedudukan muka bayi sama ada mendongak atau sujud.
#4. Bagi memastikan kedudukan tali pusat, lebih-lebih lagi bila air ketuban sudah pecah. Keadaan ini boleh menyebabkan tali pusat terkeluar dahulu (cord prolapse).
#5. Menilai kemajuan (progress of labour) semasa bersalin. Walau bagaimana pun, bukaan pintu rahim tidak boleh menentukan waktu tepat wanita tersebut bersalin.
#6. Memberikan keyakinan dan motivasi kepada ibu bahawa dia sedang melalui proses kelahiran secara normal sekiranya kemajuan bukaan pintu rahim berada pada bacaan yang positif.
Prosedur ini tidak akan menyakitkan sekiranya ibu dalam keadaan relaks dan tenang. Ibu boleh memastikannya dengan melakukan perkara berikut;
BERAPA KEKERAPAN BUKAAN FARAJ DIPERIKSA?
Sehingga kini masih belum ada kajian yang memberitahu secara tepat kekerapan pemeriksaan faraj yang perlu dilakukan semasa proses bersalin. Ia disarankan setiap empat jam sekali atau semasa doktor atau jururawat merasakan ia perlu dilakukan bergantung kepada keperluan dan mengikut situasi semasa.
Pemeriksaan faraj yang pertama selalunya akan dilakukan semasa pesakit tiba di hospital. Ia bertujuan untuk memastikan atau menentukan tahap kemajuan kelahiran sama ada pada tahap aktif atau awal kelahiran.
Pemeriksaan faraj dan stretch and sweep ialah dua prosedur yang berbeza walau pun kedua-duanya melibatkan ‘selukan’ pada faraj.
Stretch and sweep sama konsepnya dengan pemeriksaan faraj, cuma ia diikuti dengan pergerakan jari secara berputar (circular movement) untuk memisahkan selaput amnion yang mengandungi bayi dari pangkal rahim(cervix)
Stretch and sweep ialah satu cara yang mudah untuk memulakan proses bersalin. Ia mengurangkan risiko bayi lahir lebih hari ( overdue). Ia biasanya dicadangkan oleh doktor selepas kandungan mencecah 38 minggu sebagai salah satu cara sebagai induksi bagi mencetuskan proses bersalin (induce labour).
Di sesetengah hospital, doktor mencadangkan prosedur stretch and sweep kepada ibu-ibu yang sudah hamil melebihi 40 minggu sebagai induksi di mana bayi berisiko tinggi untuk mengalami keadaan tertentu.
Stretch and sweep dengan pergerakan jari secara berputar (circular movement) pada pangkal rahim akan melepaskan hormon prostaglandin yang akan menyediakan serviks untuk bersalin dan mengaktifkan atau mencetuskan kelahiran. Jika pintu rahim masih tertutup, kebiasaannya ia hanya akan digosok.
Sekiranya anda merasakan proses ini menyakitkan, maka bolehlah meminta doktor atau jururawat berhenti melakukannya. Selepas pemeriksaan faraj atau stretch and sweep, ibu selalunya akan berasa tidak selesa, rasa sakit atau pedih yang kuat, sedikit pendarahan, timbulnya kontraksi bersalin dan kekejangan pada perut.
Ibu yang melalui prosedur stretch and sweep boleh mengambil pil penahan sakit iaitu paracetamol atau mandi air suam jika berasa sakit. Anda dinasihatkan segera berjumpa dengan doktor sekiranya air ketuban pecah atau berlaku pendarahan yang banyak.
Kira-kira 25% ibu yang melalui prosedur ini (sekali atau lebih) akan bersalin dalam masa 48 jam.
Prosedur stretch and sweep mempunyai banyak kelebihannya kepada ibu dan anak. Antaranya ialah seperti berikut;