Bukan Sekadar Seorang Anak, Tapi Jadikan Mereka Sahabat Mak Ayah. Baru Boleh Rapat!

Share

Personaliti Instafamous ini bersederhana dan dia juga sering berkongsi info di dalam penulisan blognya. Juga rajin membuat perkongsian melalui laman Instagram. Isteri kepada Dr. Anwar Fazal Abu Bakar ini juga sempat Pa&Ma dekati untuk mencungkil rahsianya mendidik anak-anaknya. Tidak lokek berkongsi ilmu, Dr. Fatin Liyana menceritakan kaedah yang dia dan suami gunakan untuk merangsang minat anak sulung mereka, Ajda Anwar Fazal, 3, untuk belajar.

 

Bagi merangsang kemahiran sensori Ajda, Dr. Fatin menggalakkan anaknya untuk lebih banyak terdedah kepada persekitaran yang mencabar dan free play. Dia dan suami membiarkan Ajda untuk menjelajah dan belajar perkara baharu setiap hari. Permainan sensori terdiri sentuhan, menghidu, merasa, pergerakan, keseimbangan, penglihatan dan pendengaran.

Untuk menjayakan kaedah free play ini, Dr. Fatin akan beri anaknya mandi di dalam tab mandi yang dipenuhi buih, biarkan anaknya meramas beras, bermain dengan tanah liat dan banyak lagi. Untuk meningkatkan deria rasa Ajda, Dr. Fatin suka memberi anaknya itu mencuba rasa minuman dan makanan yang mempunyai pelbagai rasa seperti manis, masam, masin, sejuk dan panas.

Ketika ditanyakan tentang penggunaan gajet dalam proses pembelajaran anak-anak, Dr. Fatin tidak menolak kaedah ini. Katanya, dia tidak kisah anaknya bermain dengan gajet. Dia tidak mahu anaknya ketinggalan dan tidak tahu apa-apa yang mengikut peredaran masa jika semua rakannya bercerita tentang perkara baharu yang dipelajari melalui gajet.

Tambah Dr. Fatin lagi, dia sudah mula menghantar Ajda ke sekolah sejak anak sulungnya itu berusia setahun enam bulan. Katanya, Ajda banyak menghabiskan masa dengan aktiviti sekolah. Untuk me time Ajda, Dr. Fatin akan membenarkan anaknya menonton Youtube selama satu jam. Setelah itu, Dr. fatin akan bertanya semula kepada Ajda apa yang dipelajarinya hari itu menerusi Youtube. Kata Dr. Fatin, teknologi sebenarnya bagus asalkan ia tidak digunakan secara berlebihan.

Dr. Fatin dan suaminya lebih selesa jika boleh menjadi seperti sahabat dengan anak-anak mereka. Tambah Dr. Fatin, mereka banyak bercerita dengan anak-anak. Pasangan ini juga sering menjelaskan setiap apa yang dibuat supaya anak-anak dapat belajar. Mereka berdua banyak berkongsi minat dengan anak-anak dan memandang mereka seperti orang dewasa.

Dengan cara ini, anak-anak lebih rasa dihargai dan mempercayai ibu bapa mereka. Dr. Fatin dan suaminya menggalakkan Ajda untuk bercerita apa sahaja dengan mereka. Tidak mahu membebankan anak-anak untuk menjadi pelajar cemerlang, harapan Dr. Anwar hanya untuk melihat ada di antara anak-anak mereka yang akan mendalami ilmu agama.

Memandangkan Dr. Fatin dan Dr. Anwar adalah SBP-breed, jadi mereka mengharapkan perkara yang sama untuk anak-anak. Belajar di sekolah berasrama penuh dapat mendidik anak-anak bergaul, berkongsi dan belajar mengawal emosi dengan baik. Mereka juga menerapkan ilmu survival skill daripada ilmu between 4 walls.

Untuk cita-cita anak mereka, Dr. Fatin tidak kisah apa sahaja minat Ajda mahupun adiknya, Hail Nolan Anwar Fazal, 4 bulan. Selagi ia bagus dan berpandukan syariah, Dr. Fatin dan Dr. Anwar sentiasa bersikap terbuka dengan pilihan anak-anak.

Setiap ibu dan ayah pasti mahukan yang terbaik buat anak-anak. Masing-masing mempunyai cara didikan tersendiri untuk membentuk peribadi dan akhlak si manja. Asalkan tidak memberi beban kepada emosi si anak dan kaedah yang digunakan tampak berkesan, Pa&Ma berpendapat tidak salah untuk teruskan cara begitu.

Semoga Dr. Fatin Liyana sekeluarga diberkati Allah SWT sentiasa dan anak-anaknya juga dikurniakan kesihatan serta keperibadian yang baik. Buat Papa Mama yang masih mencari kaedah didikan yang boleh diikuti, anda boleh cuba teknik pasangan doktor ini. Semoga berjaya!

Sumber foto: Dr.Afl

Published by
Emy H