Bukan sengaja mengada-ngada minta bayi disendawakan selepas menyusu. Ia dilakukan bersebab. Jangan sekali-kali rasa menyusahkan. Selain mama, papa boleh bantu sendawakan bayi.
Papa boleh mengambil tugas untuk menyendawakan bayi setiap kali selepas penyusuan. Selalu ingatkan ahli keluarga dan penjaga bayi supaya memastikan bayi disendawakan setiap kali sesi penyusuan.
KENAPA IA PENTING?
Langkah untuk sendawakan si kecil ialah satu kewajipan setiap kali selepas penyusuan walau pun ia mengambil masa dan bayi susah disendawakan. Ada ibu bapa yang kurang cakna kepentingan sendawa pada bayi.
Perlu diingatkan agar jangan culas untuk sendawakan bayi. Lazimnya bayi baru lahir akan mudah tertidur semasa menyusu. Walaupun bayi sudah tertidur selepas menyusu, langkah menyendawakannya perlu diteruskan.
#1 SENDAWA BOLEH ELAK KEMBUNG PERUT
Sendawa penting untuk mengelak bayi kembung atau kolik. Ia bertujuan untuk mengeluarkan udara yang masuk ke dalam perut bayi semasa bayi menyusu atau menangis. Sekiranya bayi tidak disendawakan, udara akan terkumpul di dalam perut dan bayi akan berasa tidak selesa.
Tindakan sendawakan bayi boleh mengurangkan risiko berlakunya kolik. Walau pun kembung perut boleh dirawat, tapi langkah mengelakkannya dari awal adalah lebih baik. Tambahan pula, bahaya jika bayi dibiarkan menangis terlalu lama kerana ia mungkin akan mengundang risiko sawan tangis. Bayi juga akan keletihan dan tidak cukup tidur. Malah, mama papa juga akan keletihan setelah berjaga malam untuk meredakan tangisan anak.
#2 TIDUR LENA
Apabila angin dapat dikeluarkan, bayi lebih selesa dan tenang. Ini secara tidak langsung akan membantu mereka tidur lebih nyenyak.
#3 SENDAWA BOLEH BOLEH ELAKKAN TERSEDAK SUSU
Apabila bayi disendawakan, risiko terjadinya tersedak susu dapat dikurangkan. Mama dan papa amat tidak digalakkan meninggalkan bayi selagi masih belum sendawa selepas menyusu kerana bayi berkemungkinan akan memuntahkan susu/ muak susu selepas seketika selepas menyusu.
#4 BAYI LEBIH GEMBIRA
Dengan menyendawakan, bayi lebih ceria, selesa dan aktif. Maka dia boleh bermain dan melalui perkembangan yang baik seiring usianya. Jika tidak, rasa sebu akan menyebabkan mereka menangis, meragam dan rasa tidak selesa.