Bukan Simpanan Biasa, Ganjaran Lebih Untuk Anak-Anak, PTPTN Umum Dividen SSPN 4 Peratus!

Share

Bagi ibu bapa yang memiliki akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) buat anak-anak pastinya merasa lega dan gembira dengan pengumuman dividen akaun itu pada awal Februari lalu.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun 2019 untuk dua produknya iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus sebanyak empat peratus.

Pemberian ini melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM147.25 juta yang memberi manfaat kepada lebih 4.39 juta pendeposit SSPN seluruh negara.

Kadar dividen 4 peratus yang diberikan kepada pendeposit SSPN adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang telah diterima oleh PTPTN.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan turut mengumumkan Ganjaran Kesetiaan tahun 2020 sebanyak 1 peratus sebagai penghargaan kepada kesetiaan pendeposit SSPN-i yang telah membuka akaun untuk jangka masa panjang iaitu sebelum tahun 2017 dan menambah simpanan mereka sepanjang tempoh promosi (5 Februari 2020 hingga 30 April 2020).

Keuntungan  Dan Prestasi Tertinggi Dalam Sejarah PTPTN

Tahun 2019 merupakan tahun yang begitu membanggakan dalam sejarah PTPTN menguruskan instrumen simpanan pendidikan melalui produk penabungan SSPN.  Malah PTPTN juga berjaya mencapai kutipan deposit SSPN bagi tahun 2019 berjumlah RM1.37 bilion.

“Ini merupakan jumlah tertinggi yang pernah dicapai oleh PTPTN semenjak produk SSPN diwujudkan pada tahun 2004.

Alhamdulillah, dengan kesungguhan dan hasil kecekapan pengurusan dan pegawai-pegawai menguruskan dana ini, PTPTN dapat memberikan kadar dividen SSPN sebanyak 4% walaupun dalam suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan.”

Katanya lagi, pada 2019, PTPTN berjaya mencapai peningkatan tertinggi jumlah simpanan SSPN dengan keuntungan pelaburan mampan hingga mampu memberikan dividen kompetitif kepada pendeposit SSPN.

“Bagi tahun 2019, SSPN memperoleh keuntungan pelaburan berjumlah RM205.27 juta. Ia menunjukkan peningkatan RM41.73 juta (25.52 peratus) berbanding RM163.54 juta pada tahun 2018, “katanya lagi.

Menariknya kesemua agihan keuntungan telah pun selesai dikreditkan ke akaun pendeposit pada Sabtu, 8 Februari yang lalu. Semak akaun anda dan nikmati hasilnya.

Bagi yang belum pernah membuka akaun ini buat anak-anak kecil anda, jadikan ia sebagai pemangkin dan semangat untuk menyimpan demi masa depan anak-anak dengan ganjaran hebat yang tidak pernah mengecewakan.

SSPN bukan sekadar simpanan biasa bahkan ia merupakan skim simpanan pendidikan yang wajar dimiliki oleh setiap isi rumah. SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan serta manfaat yang baik dan menyeluruh. Masyarakat Malaysia perlu merebut peluang menyimpan di dalam SSPN kerana SSPN mampu merealisasikan impian dan harapan anak-anak ke menara gading kelak.

Jadilah ibu bapa yang bijak dalam merancang masa depan anak-anak.

 

Published by
SRM