Ibu bapa mana yang tak pernah menengking anak? Rasanya kalau sudah bergelar ibu ayah, sekurang-kurangnya mesti ada sekali anda akan ‘tertengking’ anak walaupun dalam hati sudah berazam tak mahu lagi jerit dan tengking anak.

Sebenarnya semua ibu adalah hebat. Bukan mudah tugas membesarkan seorang anak cuma kadang kala sebagai insan biasa ibu juga pernah membuat silap.

Bagaimanapun seorang ibu akan seboleh mungkin memperbaiki dirinya supaya menjadi ibu yang terbaik kepada anak-anak. Biasanya lepas tengking atau marah anak, ibu akan menyesal atas keterlanjurannya. Kalau sudah terpukul anak, ada juga yang bukan sahaja rasa menyesal tetapi senyap-senyap menangis kerana rasa bersalah.

Untuk semua ibu yang berhati mulia, berusahalah untuk hilangkan rasa kesal dan bersalah selepas anda menengking anak kerana sebenarnya tidak ada ibu yang mahu berbuat demikian terhadap anak sendiri, tetapi kebanyakan ibu yang baik mesti akan melakukannya kerana mahu yang terbaik buat si anak.

Jika anda tanpa rela kerap menengking Si Manja, maka diharap beberapa tip ini dapat membantu diri anda.

1. Tanamkan azam untuk tidak marah anak bila bangun dari tidur

Sebelum tidur sentiasa sematkan dalam diri anda untuk menjadi ibu yang lebih baik hari esok berbanding hari ini. Sebaik bangun tidur, cakap pada diri sendiri yang hari ini anda nak jadi ibu yang paling baik dan tak marah anak. Permulaan yang baik di pagi hari akan mengurangkan risiko anda cepat ‘naik angin.’

2. Tanya diri sendiri, “Seronok ke terjerit-jerit kat anak depan orang lain”?

Ia memang agak memalukan diri sendiri kalau kita hilang kawalan diri dan naik angin depan orang lain. Bayangkan ada orang lain dalam bilik bersama anda dan anak, ini membantu meredakan kemarahan anda.

IKLAN

3. Tahu had sempadan anda

Tetapkan had sempadan pada diri sendiri supaya anda tidak menengking anak. Bila anda menghampiri garisan had itu cepat-cepat ingatkan diri sendiri dengan cara beredar dari situasi tersebut. Seminit dua ‘keluar’ dari zon marah membantu anda mengelakkan tingkah laku yang hanya akan membuatkan anda menyesal selepas itu.

4. Fikirkan persoalan ini, “Berbaloikah menjadi perengus dan pemarah?”

Kalau asyik marah dan menjerit saja, mesti kita rasa cepat letih. Jadi memang tak berbaloi kalau asyik nak marah anak-anak sahaja. Kalau anda boleh kawal marah sebelum ia muncul, sudah tentu anda boleh ‘selamatkan’ hari anda menjadi lebih tenang dan bermakna.

Bukan Tak Cuba Nak Jadi Ibu Yang Tak Tengking Anak Tapi Sukar Dielakkan

IKLAN

5. Minta bantuan suami

Menguruskan hal anak-anak bukan hanya tugas ibu sahaja. Jangan lupa libatkan sekali teman hidup anda! Beritahu suami anda supaya segera mengambil alih urusan anak-anak bila anda sudah bertukar menjadi ‘singa lapar’. Ia sangat membantu! Ibu yang sedang naik angin memang cenderung menengking dan mungkin naik tangan pada anak-anak. Buat juga perkara yang sama jika suami anda sedang marahkan anak-anak.

6. Penuhkan hari dengan perkara positif

Mulakan hari dengan solat dan doa. Sentiasa mohon kepada Tuhan agar memberikan anda kesabaran dan kekuatan untuk berhadapan dengan kerenah anak-anak. Semoga perjalanan kita seharian membesarkan anak dipermudahkan oleh Allah SWT.

7. Bayangkan perkara buruk

IKLAN

Sentiasa bayangkan benda buruk kalau anda jenis ibu yang akan menjerit dan menengking anak bila marah. Risiko untuk anda hilang kawalan diri bila marah iaitu akan pukul anak sampai lembik atau tercedera. Memang minta dijauhkan. Bila fikir perkara buruk sudah tentu anda tak mahu jadi ibu yang kuat menengking.

8. Jadilah seperti guru dengan murid

Memang geram kalau kena ulang cakap perkara yang sama banyak kali. Tapi, sentiasa ingat yang anak anda adalah insan kecil yang sedang belajar tentang kehidupan dan menjadi insan yang baik satu hari nanti. Jadi jangan harapkan mereka boleh jadi sempurna dalam masa sehari dua. Bila anda anggap mereka sedang dalam proses belajar maka terasalah seperti seorang guru sedang mengajar anak murid dan bukan ibu yang keletihan berhadapan dengan anak yang nakal.

9. Dengar perkara yang menenangkan

Bila rasa marah, orang kata dengarlah bunyi-bunyian yang mampu memberi ketenangan seperti alunan muzik, zikir, bacaan al-Quran. Ia mampu memberikan magis kepada diri anda yang sedang menahan kemarahan.

10.Banyakkan berzikir & beristighfar

Bagi yang muslim, eloklah banyakkan berzikir dan beristighfar apabila anda rasa hendak marah dan menengking anak.

Paling penting, jangan hilang sabar dengan diri sendiri. Sama seperti anak anda, proses ini juga satu pengalaman belajar bagi diri anda.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI