‘Bye abang’ itu kata-kata terakhir adik kepada Ku Adib, pelajar UiTM Dungun maut dirempuh SUV. Perkhabaran tentang pemergian abangnya dalam kemalangan berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu diterima oleh Ku Adni Ku Azmi ketika baru sahaja pulang dari sekolah.
Abang sulungnya yang menuntut di kampus itu dan juga satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, Ku Adib Aizad, 20, terkorban bersama dua lagi rakannya, manakala seorang lagi parah.
Ku Adni, 14, berkata, keluarga mereka mengetahui kejadian itu selepas rakan arwah Ku Adib hadir ke rumah dan memaklumkan berita mengejutkan terbabit.
“Mereka beritahu abang terbabit kemalangan dan saya sangat terkejut.
“Mereka beritahu lagi abang meninggal dunia. Saya tanya lagi ‘sumpah lah? (Betul-betul ke) dan mereka jawab benar.
“Saya beritahu opah (nenek Puziah Osman) dan dia menangis,” katanya.
Ibu bapa Ku Adib Aizad iaitu Hafizah Iszahanid yang juga Penolong Pengarang Berita Harian (BH) dan Ku Azmi Saad, kakitangan Print Tower Sdn Bhd (PTSB) iaitu syarikat di bawah The New Straits Times Press (M) Bhd dalam perjalanan ke Jeddah menunaikan umrah apabila kejadian berlaku.
Pasangan itu kemudiannya mengambil penerbangan pulang ke Kuala Lumpur sejurus tiba di Jeddah pada awal pagi hari ini.
Sementara itu, adik bongsu arwah Ku Awfa, 12, berkata, kali terakhir dia bertemu abangnya pada Sabtu lalu ketika menghantar abangnya pulang ke kampus selepas tamat cuti semester.
“Kata-kata terakhir saya kepadanya, ‘Bye Abang’,” katanya.
Puziah, 67, yang berada di rumah mereka untuk menjaga cucunya sepanjang ibu bapa mereka menunaikan umrah berkata, seorang bapa saudara Ku Adib yang ketika itu dalam perjalanan pulang selepas program di Terengganu, berpatah balik untuk ke Dungun bagi menguruskan jenazah.
Jenazah Ku Adib akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul A’liyah Saujana Utama, di sini, selepas ketibaan ibu bapanya.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Imam Maut Kemalangan Jalan Raya, Sempat Iqamat, Cium Anak Perempuan Baru Lahir
Sempat Lawat Isteri Bersalin Di Hospital, Imam Maut Kemalangan Jalan Raya
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my