Mempunyai dua orang anak istimewa yang menghidap autisme dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tentunya bukan sesuatu yang mudah buat pelakon Zarina Zainuddin.
Pasti sahaja kedua anak kembarnya Azil dan Azal yang merupakan anak istimewa menghidap autisme tidak mengerti mengenai situasi di luar sana yang kini merbahaya untuk semua orang.
Zarina terpaksa melakukan pelbagai helah demi memastikan kedua anaknya itu kekal duduk di rumah bersama ahli keluarga yang lain.
Antara alasan yang sering digunakan adalah membuat kerja rumah dan bermain badminton di halaman rumah mereka.
“Azil kerap berkeras mahu keluar kerana sudah terbiasa dengan rutinnya membeli barang sendiri sebelum ini. Dia tidak mahu kami yang pergi belikan untuknya. JIka dihalang, dia akan mengamuk dan mula mencederakan dirinya. Ketika itu saya perlu memujuknya dengan betul dan menerangkan mengenai bahaya di luar sana,” katanya.
Walaupun ada kelonggaran terhadap anak-anak autisme sepanjang tempoh PKP ini, namun Zarina lebih suka jika mereka duduk di rumah demi keselamatan masing-masing dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama.
“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mereka bosan duduk di rumah dan melakukan sesuatu. Biasanya, saya akan suruh mereka buat kerja bersihkan rumah. Kami juga lakukan aktiviti seperti bermain badminton di halaman rumah,” katanya.
Bagaimanapun, sekali-sekala Zarina tetap membawa mereka keluar berdekatan kawasan rumah. Dia juga lega kerana dua anaknya itu patuh apabila diminta memakai penutup muka, mencuci tangan dan menjaga kebersihan serta mengambil langkah berjaga-jaga yang lain.
Tabah berdepan karenah anak-anak, Zarina memohon orang ramai mematuhi arahan kerajaan agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan segera dan kehidupan biasa diteruskan.
Sumber: Hmetro
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI