Cabaran Kembali Bekerja Selepas Cuti Berpantang. 6 Perkara Ini Boleh Timbulkan Stres

Share

Usai sahaja tempoh cuti bersalin tidak kiralah dua bulan ataupun tiga bulan, anda yang bekerjaya kembali bekerja semula. Rutin kerja yang dilalui sebelum ini tentu sahaja berubah.

Hal ini berikutan anda memikul satu lagi tanggung jawab yang membabitkan si kecil yang ditinggalkan di rumah pengasuh. Kehidupan selepas mempunyai bayi kecil pastinya akan membawa perubahan dalam rutin harian anda.

Masa peralihan adalah satu fasa yang tidak mudah untuk dilalui. Tidak mudah, bukan? Rasa stres, risau, dan suasana kelam-kabut pasti akan terjadi.

Disenaraikan cabaran-cabaran yang perlu anda tempuh selepas kembali bekerja. Biarpun begitu, percaya dan yakinlah anda mampu melakukannya. Lama-kelamaan, anda pasti terbiasa dan dapat mengendalikannya dengan lebih lancar setiap hari.

Memilih pakaian bersesuaian

Untuk mendapat mood baru sebelum kembali bekerja, anda pasti mahu satu atau dua pasang pakaian baru untuk ke tempat kerja. Tambahan pula, mungkin baju yang sedia ada tidak sesuai atau membuat anda tidak selesa untuk menjalankan rutin pengepaman payudara. Kini, anda perlu cenderung mendapatkan pakaian yang memudahkan anda mengepam susu.

Selain itu, perubahan fizikal yang dialami mungkin memerlukan anda mendapatkan pakaian baru yang lebih kemas dan selesa untuk digayakan. Barulah anda boleh tampil segak dan berkeyakinan.

Selaraskan masa hantar dan ambil anak

Memandangkan perlu singgah ke rumah pengasuh ataupun Taska untuk meninggalkan bayi, anda perlu bangun awal. Hal ini penting bagi memastikan perjalanan ke tempat kerja berjalan lancar, lebih-lebih lagi jika anda perlu melalui kawasan yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas.

Untuk itu, biasakan diri untuk menyiapkan semua keperluan diri dan anak pada waktu malam sebelumnya. Tempatkan semua keperluan itu berhampiran dengan pintu keluar-masuk rumah anda. Kalau tidak dibuat begini, bimbang anda tertinggal benda-benda yang penting pula.

Selepas habis waktu kerja, anda perlu segera pulang untuk mengambil anak. Setiap minit sangat bermakna kerana bayi anda itu mungkin sedang menunggu untuk menyusu susu ibu secara langsung.

Teringatkan bayi

Hari pertama masuk kerja, pasti anda terkenangkan bayi yang ditinggalkan. Perasaan sebegini memang normal kerana sebelum ini, 24 jam anda bersama bayi.

Bila kali pertama meninggalkan dia untuk dijaga oleh orang lain, tentu akan ada sedikit rasa risau. Untuk mengatasi kebimbangan yang dialami, anda bolehlah menelefon pengasuh tetapi janganlah terlalu kerap pula hingga mengganggu rutin kerjanya.

Rutin mengepam payudara

Anda perlu bijak mengurus kerja dan pada masa yang sama menyelitkan tempoh waktu yang bersesuaian dengan jadual mengepam payudara. Ingat! Anda perlu konsisten mengepam agar bekalan perahan susu ibu mencukupi untuk memenuhi keperluan bayi sepanjang anda meninggalkannya di bawah asuhan orang lain.

Mengantuk semasa bekerja

Ada waktunya, bayi meragam di waktu malam. Secara tidak langsung, ia mengganggu rutin tidur anda. Masalah ini boleh berlaku tidak kira masa terutamanya apabila bayi tidak sihat.

Apa-apa pun, anda masih perlu ke tempat kerja keesokannya dan terpaksa berhadapan dengan masalah tidak bermaya, hilang fokus, mengantuk mahupun pening kepala.

Mudah keletihan

Semua perubahan yang dinyatakan ini pastinya akan menjadikan anda sangat penat. Keletihan yang dirasakan bukan sekadar di pejabat, tetapi juga di rumah. Maklum sahajalah anda perlu uruskan kerja di pejabat dan juga di rumah.

Untuk itu, mintalah pertimbangan suami untuk sama-sama mengagihkan tanggung jawab dalam menguruskan kerja-kerja di rumah.

 

Published by
Intan Jastina