Gigi susu anak sudah bergoyang sedikit dan ibu bapa ambil keputusan untuk mencabutnya. Tahukah anda ia akan menyebabkan gigi kekal tumbuh lambat?
“Mama tengok ni. Ada gigi baru tumbuh kat belakang gigi Aira,” kata Aira sambil mengangakan mulut ke arah ibunya. Setelah diteliti, memang ada gigi baru kekal tumbuh di belakang gigi kacip bawah. Memang sudah agak panjang dan tumbuhnya menyenget. Gigi kacip susunya itu juga sudah mula bergoyang apabila ditolak lembut dengan jari. Timbul kekeliruan pada fikiran si ibu sama ada ingin mencabut gigi susu tersebut untuk memberi laluan kepada gigi kekal tumbuh atau membiarkan sahaja gigi susu tersebut tercabut sendiri. Mama dalam dilema…
Situasi begini biasa terjadi pada kanak-kanak yang mula melalui fasa tumbuh gigi kekal seawal usia enam tahun. Bagaimana untuk membuat keputusan sama ada perlu mencabutnya atau tidak? Sekiranya dibiarkan adalah gigi kekal tersebut akan tumbuh senget dan bertindan.
GIGI SUSU TUMBUH SEPENUHNYA PADA USIA 2 TAHUN SETENGAH-3 TAHUN
Menurut pandangan profesional pergigian, Dr Mazleen Abdul Rahman dari Klinik Pergigian Dr. Leen dilema ini biasa berlaku terutama sekali bagi ibu bapa dan anak pertama mereka. Katanya ramai yang mendapatkan perkhidmatan untuk mencabut gigi apabila gigi susu anak mereka mula bergoyang.
“Gigi susu pertama biasanya akan tumbuh apabila umur kanak-kanak berusia sekitar enam bulan dan biasanya apabila kanak-kanak berusia dua setengah hingga tiga tahun, semua gigi susunya telah tumbuh sepenuhnya.
Biasanya gigi kacip akan tumbuh terlebih dahulu, diikuti dengan gigi geraham pertama, kemudian gigi taring dan gigi geraham kedua. Gigi bawah akan tumbuh dulu diikuti dengan gigi atas mengikut urutan tetapi ada juga yang sebaliknya gigi atas tumbuh dulu.
Kanak-kanak akan memiliki 20 batang gigi susu. Warnanya putih dan akan mula luruh apabila mencecah usia lima tahun ke atas dan diganti dengan gigi kekal.
GIGI SUSU MULA GOYANG
“Apabila umur kanak-kanak sekitar enam tahun, biasanya gigi kacip bahagian bawah akan mula bergoyang. Hal ini terjadi kerana akar gigi susu tersebut telah dihakis oleh gigi kekal yang mula bergerak ke permukaan gusi. Jika gigi yang bergoyang dicabut terlalu awal, maka gigi kekal yang bakal tumbuh akan menjadi makin lambat tumbuh kerana akar gigi yang menjadi rujukan telah tiada. Biasanya gigi yang bergoyang akan tanggal dengan sendirinya apabila tiba masanya,” kata Dr Mazleen
5 KEADAAN GIGI SUSU PERLU DICABUT OLEH DOKTOR
Dr Mazleen memberitahu beberapa keadaan yang memerlukan gigi si manja dicabut oleh doktor pergigian iaitu:
1. Apabila gigi kekal telah tumbuh di bahagian belakang gigi susu pada bahagian rahang bawah atau gigi kekal telah tumbuh di bahagian hadapan gigi susu bagi rahang atas sedangkan gigi susu masih belum tanggal lagi.
2. Gigi susunya si manja boleh dicabut apabila ia telah rosak teruk dan selalu menyebabkan gusi bengkak dan bernanah serta sakit yang menyebabkan kanak-kanak sukar makan walaupun pernah dirawat beberapa kali oleh doktor gigi.
3. Keadaan gigi susu yang menyekat pertumbuhan gigi kekal atau menghalang gigi kekal dari tumbuh ke tempat sepatutnya.
4. Apabila sudah sampai masanya untuk gigi itu tanggal tetapi tidak tanggal juga pada usia lapan tahun. Hal ini kerana biasanya bila gigi kekal tidak kelihatan kerana berada di bawah gigi susu.
5. Sekiranya ibu dan bapa tidak mampu dan atau tidak berani untuk mencabut sendiri gigi anak yang sudah bergoyang
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI