Anak pandai sebut nama objek tetapi tak pandai minta, tak pandai tanya dan jawab soalan, tak pandai ikut arahan dan macam-macam lagi. Kenapa ini terjadi?
Ini adalah kerana, bertanya dan menjawab soalan, meminta, berbual dan mengikut arahan, semua itu adalah merupakan komunikasi dua hala. Menamakan objek dan berkomunikasi adalah dua kemahiran yang berbeza.
Berdasarkan perkongsian dari Patologis Pertuturan Bahasa, Aishah Kassim diterangkan bagaimana untuk mengetahui perbezaannya.
Sama ada kita sedar atau tidak, apabila kita berkomunikasi contohnya seperti ketika berbual, kita sebenarnya sedang mengambil giliran untuk bercakap. Contohnya seperti:
- Seorang bercakap dan yang lain akan mendengar
- Seorang bertanya soalan dan seorang menjawab soalan
- Seorang tunjuk dan seorang melihat
Jadi samalah juga seperti kita, kemahiran mengambil giliran adalah penting untuk kanak-kanak berkomunikasi. Tapi bagi kanak-kanak, mereka perlu belajar perkara asas dalam kemahiran mengambil giliran. Antara contoh-contoh kemahiran mengambil giliran adalah seperti berikut:
- Semasa bermain bola, kita membaling bola pada kanak-kanak dan mereka membalingnya kembali pada kita
- Beratur dan menunggu giliran untuk membasuh tangan
- Bergilir-gilir meletakkan barang di dalam bekas
- Memasukkan bola ke dalam bakul secara bergilir-gilir
- Berkongsi mainan seperti puzzle dan memasukkannya secara bergilir
- Dan macam-macam perkara atau aktiviti yang mereka boleh lakukan secara bergilir.
Kemahiran mengambil giliran ini boleh melatih kanak-kanak untuk menunggu dan memberi respon pada sesuatu (situasi, perbualan dan aktiviti) dan juga penting untuk mereka belajar berkongsi.
Bagaimana Mengajar Kanak-Kanak Mengambil Giliran
- Lakukan aktiviti yang melibatkan giliran seperti:
– Bermain bola – membaling dan menangkap bola secara bergilir. Bantu kanak-kanak jika mereka tidak tahu membaling semula bola kepada anda.
– Memasukkan bola ke dalam bakul secara bergilir
– Meletakkan puzzle secara bergilir
– Memasukkan manik pada tali secara bergilir
– Memasukkan duit ke dalam tabung secara bergilir
- Bantu anak anda sekiranya mereka tidak tahu untuk melakukannya
- Sebut nama mengikut giliran seperti “giliran mama, giliran adik”
- Lakukan aktiviti sehingga kanak-kanak tahu yang mereka perlu menunggu giliran secara spontan
- Anda juga boleh menggunakan aktiviti harian seperti mencuci tangan, menyuap makanan dan lain-lain lagi
Kemahiran untuk mengambil giliran dalam melakukan sesuatu aktiviti adalah penting untuk membentuk komunikasi dua hala di kalangan kanak-kanak. Jadi selalulah untuk melatih kanak-kanak demi mengasah kemahiran mengambil giliran mereka!
Sumber: Aishah Kassim
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rupanya Green Smoothie Bantu Atasi Masalah Ekzema Dan Kulit Sensitif Anak. Antara 5 Petua Yang Mesti Ibu Ayah Cuba!
Masalah kulit sensitif dan ekzema memang boleh membuatkan anak-anak sentiasa menggaru malah hingga berdarah! Ibu bapa yang mempunyai anak ekzema mesti tahu bagaimana perasaannya. Kegatalan kulit yang kemerah-merahan dan bersisik boleh menyebabkan bayi menangis tidak selesa. Selain berjumpa doktor untuk rawatan lanjut, anda boleh cuba petua untuk mengatasi masalah ini.
Biasanya masalah ekzema berlaku disebabkan alahan pada pemakanan dan persekitaran yang berhabuk. Apabila anak mengalami masalah ekzema, segera buat rawatan sendiri di rumah secara natural ways sebelum ia melarat ke anggota badan lain.
Ini antara bahan-bahan di rumah telah terbukti dapat membantu mengurangkan dan melegakan masalah masalah kulit sensitif dan ekzema.
1.Green smoothie
Ibu boleh membuat green smoothie dengan kombinasi sayur-sayuran dan buah-buahan yang dikisar menjadi hancur seperti smoothi. Antara pilihan sayur-sayuran dan buah-buahan seperti bayam atau sawi (asalkan hijau), pisang dan strawberi. Kisar bersama air atau susu. Minum dua kali seminggu. Lakukan selama dua minggu atau sebulan secara konsisten untuk hasil yang berkesan. Misalnya khasiat pisang sememangnya kaya dengan kalium, mengandungi nutrien yang menurunkan aras histamina, magnesium, dan vitamin C. Yang pasti sayur-sayuran dan buah-buahan adalah pembekal utama bahan antioksida. Nyata, minuman ini dapat membantu kulit si manja kembali ‘subur’ dengan nutrien yang betul supaya dapat berfungsi dengan baik.
2.Minyak zaitun
Apa yang perlu ibu lakukan kepada anak adalah menyapu minyak zaitun pada bahagian ekzema. Ia akan bertindak melembutkan kulit yang kering dan mengawal rasa kegatalan. Untuk kadar penyerapan yang lebih baik, lakukan sapuan pada kulit selepas mandi. Di samping itu, boleh dijadikan sebagai mandian dengan campurkan dua sudu besar minyak zaitun dan satu cawan susu untuk mandian anak anda. Selain minyak zaitun, anda boleh mengunakan sebarang minyak sayuran lain.
3.Lidah Buaya
Mula-mula pastikan lidah buaya tersebut bersih, kemudian buang lapisan luar. Ambil lendiran daripada tumbuhan tersebut dan sapu pada bahagian ekzema. Lendiran lidah buaya pada bahagian ekzema anak. Amalkan petua ini sentiasa kerana ia ternyata memberi kelegaan kepada anak. Mulai hari ini bolehlah tanam lidah buaya di rumah kerana tumbuhan ini mudah dijaga. Tanam dalam pasu pun boleh.
4.Kunyit
Ambil kunyit hidup dan tumbuk sedikit dengan lesung sehingga mengeluarkan sedikit air daripada kunyit hidup itu. Sapu pati kunyit pada bahagian ekzema yang dikatakan mampu menyembuhkan luka ekzema. Jika tiada kunyit hidup boleh cuba menggguna debu kunyit. Campurkan debu kunyit dengan air ke dalam besen. Anda boleh jadikan ia sebagai mandian buat anak. Untuk kesan yang lebib baik gosok pada bahagian ekzema semasa mandi. Tahukah anda, kajian mendapati sejenis bahan antioksida iaitu curcumin yang terdapat dalam kunyit, dikatakan mampu melindungi dan memelihara kulit serta mempercepatkan proses penyembuhan luka pada kulit.
5.Serbuk penaik
Baking soda atau serbuk penaik ini dikatakan melembutkan kawasan kulit yang kasar dan mengurangkan kegatalan. Hanya campurkan baking soda dengan air kemudian disapu ke kawasan yang bermasalah. Namun cara ini sesuai untuk ekzema yang sudah kering . Jika masih ada kesan luka ia akan menyebabkan rasa pedih kepada anak. Ini kerana ia berfungsi sebagai pengelupas semulajadi dan dikatakan mampu menghilangkan parut ekzema.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ini 6 Teknik Rangsang Minda Untuk Anak 4 Tahun. Bukan Tumpuan Aktiviti Akademik Sahaja!
Hakikatnya anak-anak pada usia empat tahun masih belum bersedia untuk memberi fokus terhadap sesuatu perkara di dalam kelas. Justeru, kelas untuk kanak-kanak di bawah empat tahun masih menumpukan sepenuh masa dengan aktiviti bermain sambil belajar.
Kanak-kanak di peringkat usia begini tidak sesuai ditumpukan masanya dengan perkara akademik yang lebih kepada abstrak tetapi lebih kepada aktiviti yang konkrit atau maujud.
Mereka melakukan penerokaan menggunakan deria menggunakan motor kasar dan motor halus. Contohnya bermain bongkah atau lego, kanak-kanak menggunakan deria sentuhan motor kasar dan motor halus.
Malah, mereka kurang fokus di dalam kelas dan tumpuan terhadap sesuatu perkara tidak lama iaitu dalam masa lima minit diberi tumpuan sepenuhnya kemudian perlahan-lahan beralih kepada perkara yang lain.
Bagaimana hendak didik anak ini bermain sambil belajar cara yang betul? Ini caranya!
1.PELBAGAI AKTIVITI
Perlu memberi perhatian dengan mengalihkan aktiviti yang berlainan setiap kali anak-anak beralih tumpuan. Tanya dengan anak-anak terhadap aktiviti yang digemari dan berikan peningkatan cabaran dari mudah ke sukar. Contohnya bermain puzzle atau cantuman yang mudah kepada aras yang mencabar minda anak-anak. Kemahiran penyelesaian masalah menerusi bermain puzzle dapat meningkatkan kereativiti kanak-kanak dalam menyelasaikan masalah dalam situasi tertentu. Beri penghargaan pujian untuk memberi galakkan kepada kanak-kanak meneruskan aktiviti selanjutnya.
2. IBU BAPA TURUT SERTA
Ibu bapa digalakkan memberi ruang masa untuk bersama-sama dengan anak-anak semasa di rumah. Maksudnya semasa anak-anak melakukan aktiviti ibu bapa digalakkan berada di sampingnya. Terdapat peningkatan jika anak-anak diberi tumpuan oleh ibu bapa. Kajian menunjukkan semakin banyak penumpuan ibu bapa terhadap anaknya, perkembangan kognitif dan sosialnya lebh baik. Kajian lain juga menunjukkan banyak kemahiran yang diperolehi oleh anak-anak seperti kemahiran bahasa, penerokaan, penyelesaian masalah, pembelajaran akademik, interaksi sosial, kerjasama, permainan kompleks, kebaikan terhadap keupayaan untuk memberi tumpuan.
3. NO HOMEWORK!
Anak-anak di peringkat usia empat tahun tidak sesuai untuk diberikan kerja rumah sebagaimana kanak-kanak sekolah yang formal. Masalahnya perspektif orang dewasa yang terlalu cepat inginkan kejayaan akademik sehingga terlupa akan fitrah mereka yang masih di peringkat deria konkrit. Mereka masih lagi dalam proses penerokaan deria konkrit untuk melengkapkan diri dengan kemahiran domain seperti bahasa, fizikal, kognitif, sosio emosi dan estetika.
4. MASA YANG SINGKAT
Anak-anak yang berusia empat tahun sebagaimana yang telah dinyatakan di atas minat dan tumpuan terhadap sesuatu perkara adalah singkat iaitu hanya 5 minit sahaja! Mereka akan duduk sekejap sahaja melakukan sesuatu perkara. Jika memberi aktiviti membuat latihan tentunya tidak sesuai bagi diri anak-anak ini.
5. JENIS PERMAINAN
Sediakan permainan yang berbentuk konkrit iaitu permainan yang melibatkan sentuhan, gerakan motor halus dan kasar. Anak-anak di peringkat deria konkrit, fitrahnya memang banyak bermain. Bermain dalam peringkat ini adalah belajar. Mereka menggunakan alat permainan untuk meneroka kehidupan sebenar. Baginya bermain merupakan media pembelajarannya untuk mengetahui sesuatu perkara dan berimaginasi. Menerusi main mereka belajar menyelesaikan masalah, berbahasa, bersosialisasi dengan rakan sebaya, belajar mematuhi peraturan bermain dan mempertingkatkan kemahiran kognitif.
6. RAKAN SEBAYA
Semasa bermain anak memerlukan rakan. Peranan ibu bapa hendaklah membimbing cara mereka bersosialisasi. Setiap perkara yang negatif perlu ditegur dan diperbetulkan pada masa itu juga. Umpamanya jika anak-anak cuba mengusik kawan, ibu bapa perlu mendampingi anak dan cuba berbincang dan menyelesaikan masalahnya. Memupuk sikap positif memerlukan kesabaran. Mendenda anak-anak tanpa berbincang dan memperbetulkan kesalahannya adalah jalan yang singkat dan menghasilkan kesan negatif.
Kesimpulannya anak-anak berusia empat tahun masih lagi di peringkat pemikiran deria konkrit. Aktiviti berbentuk akademik tidak sesuai untuk diberikan kepada anak-anak ini. Berikan mereka aktiviti yang sesuai dengan tahap usianya seperti aktiviti berbentuk konkrit yang menggunakan bahan maujud.
Aktiviti bermain sambil belajar merupakan teras kaedah pembelajaran untuk anak-anak berusia empat tahun.
Ibu bapa malah guru tadika dan pengasuh taska perlu menyedari akan tahap usia dan fitrahnya yang tidak boleh disamakan sebagaimana pemikiran orang dewasa semasa mendidik anak-anak ini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Tak Dengar Cakap Dan Tak Ikut Arahan Bukan Sebab Degil Tetapi Rupanya Kesilapan Komunikasi Ibu Ayah
Bila suruh tolong kemas barang permainan, anak buat tak dengar cakap atau tak ikut arahan je, memang buat hilang sabar sehingga rasa anak seorang yang degil . Mana taknya hari-hari kena buat perkara yang sama. Hakikatnya, begitulah kanak-kanak, namun pada usia dua hingga lima tahun mereka sedang meneroka persekitarannya termasuk cara komunikasi.
Jadi, jangan labelkan seorang yang tidak mendengar kata atau degil. Sedangkan tanpa kita sedari bahawa terdapat konflik komunikasi antara kita dengan anak.
Puan Ayu Amir kongsi pengalaman mengenai hal ini dalam mendidik anaknya. Moga ia menjadi panduan berguna buat kita semua.
Syu dulu pun mempunyai masalah komunikasi dengan Ahmad. Maklumlah Ahmad masa tu di fasa ‘exploration’. Syu cakap apa pun dia tak nak dengar. Kalau Syu suruh tutup game yang dia tengah main, mesti Ahmad marah-marah. Last-last, Syu terpaksa ambil je dan biarkan Ahmad menangis. Kesian dan sedih masa tu Allah je yang tahu. Syu rasa masa tu Syu adalah ummi yang paling jahat dalam dunia.
Lama Syu stuggle nak buat Ahmad ikut arahan. Syu cuba macam-macam cara tapi tak berjaya. Sampailah satu ketika Syu jumpa teknik-teknik yang boleh diguna pakai. Teknik-teknik ini bukanlah datang dari satu sumber sahaja, tapi bermacam-macam sumber yang Syu cuba jaya. Alhamdulillah, Ahmad sekarang lebih mendengar dan kurang dah tantrumnya.
- Jadilah Kawan Anak
Pertama sekali sebelum kita mengharapkan anak ikut arahan kita, kita sebagai ibu ayah mestilah mendengar kata anak terlebih dahulu. Bukan maksudnya ikut telunjuk anak, tapi dengarlah anak kita bercerita pasal hari mereka, pasal permainan mereka, pasal apa-apalah. Jadilah pendengar yang baik kepada anak sebelum kita nak anak kita mendengar kata kita pula.
Sekarang ini, ramai ibu ayah yang tak larat pun nak melayan kerenah anak sebab dah penat bekerja. Bila anak nak bercerita, ibu ayah layan tak layan ataupun terus tolak anak ke tepi. Kalau anak kacau, kita marah-marah. Sedih anak sebab tiada orang nak dengar cakap mereka. Jadi, salah siapa sebenarnya kalau anak tak dengar cakap dan ikut arahan? Kita pun tak tunjuk contoh yang baik untuk mereka ikut, jadi jangan salahkan mereka.
Jadi, lepas nie, jadilah kawan anak. Kerapkan melayan mereka bercerita dan keraplah bercerita kepada mereka. Anak kita akan gembira bila kita beri perhatian kepada mereka. Mereka kecil hanya sekejap. Nanti dah mula sekolah dan ada kawan baru, takut nanti mereka nie tak nak langsung bercakap dengan kita. Masa tu nanti baru la kita tercari-cari nak cakap dengan anak kita. Janganlah menyesal nanti.
2 Gunakan Nada Suara Yang Baik
Apabila ibu ayah bercakap dengan anak-anak, gunalah nada suara yang baik. Bukannya terjerit-jerit marah-marah anak. Bila anak buat salah, jangan terus melenting nak marah “itulah kan ummi dah cakap pegang cawan tu elok-elok barulah tak tumah. Sekarang nie siapa yang susah? Ummi juga nak kena lap kan?”, tapi cakap elok-elok dan terangkan cara yang betul melakukan sesuatu perkara.
Sebagai contoh, anak kita tumpahkan air. Jangan terus marah anak kita. Nanti mereka akan takut dengan kita dan takut nak bawa air lagi sebab takut tumpah dan kena marah. Bila mereka takut, secara tak langsung kita sebenarnya dah matikan sifat suka mencuba mereka. Kalau selalu sangat kena marah, lama-lama nanti anak kita jadi penakut. Mesti ibu ayah tak nak kan anak kita jadi begitu?
Sepatutnya, kita tunjukkan contoh macam mana nak pegang cawan supaya tak jatuh lagi lain kali. Selain itu, kita tunjukkan juga apa yang perlu buat bila air dah tumpah tu – ambil kain, tunjukkan cara lap air tumpah, dan sambil lap tu cakap dengan anak “lain kali kakak hati-hati ye, barulah rumah kita sentiasa bersih”. Akhir sekali, peluklah anak dan cakaplah, “tak apa, kakak masih belajar nak kuatkan tangan. Lain kali kakak cuba pegang cawan kuat-kuat ye. Ummi sayang kakak.”
Bila ibu ayah menggunakan nada suara yang baik, senanglah anak kita nak mendengar dan mengikut arahan kita. Kalau kita marah dan meninggi suara, lagi anak kita buat keras kepala dan memberontak tak nak dengar cakap. Nanti kita yang sakit kepala asyik marah-marah je.
- Mata Bertentang Mata
Masa kita bercakap dengan anak, pastikan kita rendahkan badan kita sampailah ke paras mata anak kita. Kita boleh membongkokkan badan ataupun kita boleh letak anak kita atas pangku. Pastikan kita memandang mata mereka ketika berrcakap dan pastikan anak kita juga fokus kepada apa yang kita tengah katakan. Jangan kita bercakap dari jauh, “Abang tolong ambilkan baju untuk adik”. Bila anak kita tak buat, kita marah padahal kita tak pasti pun anak kita sebenarnya dengar ataupun tak.
Bila kita nak anak kita buat sesuatu, kita kenalah dapatkan perhatian anak kita dahulu. Jangan main sedap mulut je terus cakap. Mungkin otak anak kita tak fokus untuk terima arahan kita. Pastikan anak kita pandang kita dulu barulah bagi arahan. Selagi dia tak pandang, jangan cakap apa-apa. Buat penat je sebab mereka tak dengar.
4 .Guna Bahasa Mudah Difahami
Budak kecil masih belum boleh memahami arahan yang panjang lebar. Kalau kita guna ayat yang panjang, mereka takkan dapat tangkat apa yang kita nak mereka lakukan.
Ibu ayah kenalah guna bahasa yang mudah difahami oleh anak. Kena straight to the point. Contohnya:
Untuk anak berumur 2 tahun: “Adik, tuala” (sambil tunjuk ke arah tuala).
Untuk umur 3 -4 tahun: “Adik, ambilkan tuala” (menggunakan ayat penuh tapi masih pendek)
Elakkan dari menggunakan ayat panjang lebar. Otak mereka masih belum boleh nak proses ayat panjang-panjang nie. Yang penting, anak-anak faham.
- Ulang Arahan Beberapa Kali
Ibu ayah mestilah ulang arahan beberapa kali sehingga anak faham, barulah boleh harapkan anak kita buat. Ulang depan mata dia. Tanya anak kita semula apa yang kita nak dia lakukan pada masa itu. Contohnya, lepas bagi arahan, tanya semula “Ummi nak kakak buat apa?” Kalau anak kita jawab dengan betul, barulah bagi dia buat. Takut nanti, kita suruh buat lain, anak kita buat lain.
6.Set Masa
Apabila kita nakkan anak kita buat sesuatu, kita kena set masa. Janganlah beritahu masa tu, masa tu juga kita harapkan anak kita buat. Contohnya:
Ummi: Abang, dah petang ni. Cukup main game. Pergi mandi ok?
Anak: Nanti la ummi.
Ummi: Ummi bagi abang main lagi 10 minit ok? Lepas 10 minit ummi nak abang mandi.
Anak: OK.
Lepas 10 minit, arahkan anak untuk mandi. Jika masa nie dia tak ikut, tutupkan game yang dia tengah main. Pada awalnya, anak kita akan marah dan menangis, tapi kita kena tegas supaya anak kita tahu yang kita tak main-main. Kalau kita ikutkan kata anak, nanti anak kita hilang hormat dan kepercayaan mereka kepada kita. Nanti mereka akan fikir, “ala ummi nie, bukannya boleh percaya. Tadi kata 10 minit lagi, lepas tu bagi lagi aku main”. Anak kita takkan percaya apa yang kita cakap nanti.
Nak suruh anak dengar dan ikut arahan bukannya sesuatu yang mudah, tapi dengan sabar dan konsisten, anak akan dengar. Ibu ayah janganlah melenting marah-marah tak tentu pasal bila anak tak nak dengar arahan kita. Cakap je ulang kali. Biar mereka tahu yang kita serius dengan apa yang kita katakan.
Zuhayr dulu pun sama. Memang asyik marah-marah je bila Syu suruh buat sesuatu. Syu cuba cara-cara nie tapi lama juga baru berjaya.
Yang penting kena buat juga. Jadikannya rutin, baru mereka mudah untuk ikut. Jangan sekejap buat sekejap tidak. Takut nanti anak kita keliru mana yang boleh sebenarnya.
Jadi, lepas ni cubalah untuk buat sehabis baik untuk menjadi kawan anak kita, tapi pada masa yang sama jadi contoh yang baik supaya anak kita boleh ikut. Moga anak kita jadi anak yang mendengar kata dan mengikut arahan. Amin.
Sumber:ummuzuhayr.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI