Anak pandai sebut nama objek tetapi tak pandai minta, tak pandai tanya dan jawab soalan, tak pandai ikut arahan dan macam-macam lagi. Kenapa ini terjadi?

Ini adalah kerana, bertanya dan menjawab soalan, meminta, berbual dan mengikut arahan, semua itu adalah merupakan komunikasi dua hala. Menamakan objek dan berkomunikasi adalah dua kemahiran yang berbeza.

Berdasarkan perkongsian dari Patologis Pertuturan Bahasa, Aishah Kassim diterangkan bagaimana untuk mengetahui perbezaannya.

Sama ada kita sedar atau tidak, apabila kita berkomunikasi contohnya seperti ketika berbual, kita sebenarnya sedang mengambil giliran untuk bercakap. Contohnya seperti:

  • Seorang bercakap dan yang lain akan mendengar
  • Seorang bertanya soalan dan seorang menjawab soalan
  • Seorang tunjuk dan seorang melihat

Jadi samalah juga seperti kita, kemahiran mengambil giliran adalah penting untuk kanak-kanak berkomunikasi. Tapi bagi kanak-kanak, mereka perlu belajar perkara asas dalam kemahiran mengambil giliran. Antara contoh-contoh kemahiran mengambil giliran adalah seperti berikut:

  • Semasa bermain bola, kita membaling bola pada kanak-kanak dan mereka membalingnya kembali pada kita
  • Beratur dan menunggu giliran untuk membasuh tangan
  • Bergilir-gilir meletakkan barang di dalam bekas
  • Memasukkan bola ke dalam bakul secara bergilir-gilir
  • Berkongsi mainan seperti puzzle dan memasukkannya secara bergilir
  • Dan macam-macam perkara atau aktiviti yang mereka boleh lakukan secara bergilir.

Kemahiran mengambil giliran ini boleh melatih kanak-kanak untuk menunggu dan memberi respon pada sesuatu (situasi, perbualan dan aktiviti) dan juga penting untuk mereka belajar berkongsi.

Bagaimana Mengajar Kanak-Kanak Mengambil Giliran

  1. Lakukan aktiviti yang melibatkan giliran seperti:

– Bermain bola – membaling dan menangkap bola secara bergilir. Bantu kanak-kanak jika mereka tidak tahu membaling semula bola kepada anda.

– Memasukkan bola ke dalam bakul secara bergilir

– Meletakkan puzzle secara bergilir

– Memasukkan manik pada tali secara bergilir

– Memasukkan duit ke dalam tabung secara bergilir

  1. Bantu anak anda sekiranya mereka tidak tahu untuk melakukannya
  2. Sebut nama mengikut giliran seperti “giliran mama, giliran adik”
  3. Lakukan aktiviti sehingga kanak-kanak tahu yang mereka perlu menunggu giliran secara spontan
  4. Anda juga boleh menggunakan aktiviti harian seperti mencuci tangan, menyuap makanan dan lain-lain lagi

Kemahiran untuk mengambil giliran dalam melakukan sesuatu aktiviti adalah penting untuk membentuk komunikasi dua hala di kalangan kanak-kanak. Jadi selalulah untuk melatih kanak-kanak demi mengasah kemahiran mengambil giliran mereka!

Sumber: Aishah Kassim