Tak lengkap rasanya kalau kita tak amalkan budaya kunjung mengunjung di hari raya nanti.
Amalan mulia ini memang perlu diajar dan didedahkan pada anak-anak kita yang masih kecil supaya mereka akan terus mewarisinya.
Amalan kunjung mengunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai di hari raya dapat mengeratkan silaturahim dan merapatkan hubungan yang lama terputus kerana tidak berjumpa.
Bagi yang sudah mempunyai anak terutama yang masih kecil, sambutan hari raya akan bertambah meriah dengan kehadiran mereka.
Bagaimanapun dalam keseronokan pergi beraya dengan si kecil jangan lupa untuk memastikan keselesaan anak supaya mereka tak meragam di rumah orang nanti.
Sebelum pergi beraya ke rumah orang pastikan anda lakukan beberapa cara ini ya.
1. Bagi anak makan dulu
Antara masalah utama menyebabkan anak mudah meragam iaitu bila perut mereka lapar. Bila si kecil lapar maka mereka mudah mengamuk tanpa mempedulikan di rumah sendiri atau rumah orang.
Oleh itu sebelum keluar beraya pastikan anda sudah bagi anak makan cukup-cukup. Jangan anggap anak kecil seperti kita yang boleh menahan lapar kerana hendak merasa hidangan di rumah orang.
2. Tidurkan dulu si manja
Tolong elakkan bawa anak keluar beraya di waktu tidur mereka. Anda hanya akan menyebabkan anak meragam dan merengek kerana rasa mengantuk.
Oleh itu seeloknya rancang masa untuk pergi berziarah supaya anak sudah tidur terlebih dahulu.
3. Pakai pakaian yang selesa
Kadangkala tak perlu nak ikut tema sedondon sekeluarga kalau ia boleh menyebabkan si kecil rasa tak selesa dengan pakaian tersebut.
Bila tak selesa mulalah mereka akan buat perangai. Paling penting pakaikan anak-anak kecil dengan pakaian yang selesa, tidak ketat, terlalu beropol-ropol dan tebal yang boleh menyebabkan mereka rimas dan panas seterusnya menangis.
4. Jangan lupa bawa lampin pakai buang dan pakaian lebih
Lumrah ada anak kecil, ibu kena lebih prihatin dengan keperluan anak. Pastikan tidak berlenggang sahaja tanpa membawa beg pakaian lebih dan lampin pakai buang anak.
Maklum sahajalah bila sudah makan, minum dan bermain tentu sahaja berisko pakaian comot dan kotor terkena makanan atau tertumpah minuman.
5. Bawa mainan kegemaran si kecil
Untuk mengelakkan anak rasa bosan di situasi yang baru dan dia tak biasa, bawalah bersama mainan kegemarannya. Mungkin dengan cara ini boleh membuatkan anak terleka bermain dan tak sempat nak meragam.
6. Letakkan anak di tempat yang selesa
Jika anak anda masih bayi pastikan letak anak di tempat yang selesa dan tidak panas. Bayi mudah meragam dan menangis sekiranya dia rasa rimas, panas dan tidak selesa.
7. Elakkan beraya terlalu lama di rumah orang
Walaupun aktiviti beraya sekaligus menjadi ‘mini reunion’ anda dengan kawan-kawan sekolah dan sebagainya tetapi sentiasa ingat dengan adanya anak kecil anda tak boleh beraya terlalu lama di rumah orang.
Si kecil akan jadi tak selesa dan mula buat perangai. Jadi had kan masa kunjungan dan sebelum anak mula buat perangai, eloklah anda meminta diri dulu.
Semoga sambutan hari raya menjadi lebih meriah dan bukan huru-hara dengan si kecil.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI