Cara Atasi Rambut Gugur Selepas Bersalin

Share

Ramai wanita nak tahu cara atasi masalah rambut gugur selepas bersalin. Rambut sememangnya mahkota wanita jadi bila berlaku keguguran rambut yang teruk, ramai wanita berasa stres.

Adakah masalah rambut gugur itu normal? Persoalan tersebut sering menghantui ramai wanita yang mempunyai masalah ini. Lebih menghairankan apabila masalah keguguran rambut menjadi lebih teruk selepas beberapa bulan melahirkan anak.

Menurut Dr Deena Khairiah dari Dr Shah Hair Clinic, masalah keguguran rambut dipanggil  fenomena acute telogen effluvium – kedaaan di mana rambut gugur lebih daripada normal iaitu lebih 150 helai sehari.

Dr Deena Khairiah

Antara faktor Acute Telogen Effluvium adalah seperti berikut:

  • Selepas bersalin
  • Demam panas
  • Pembedahan
  • Stress melampau
  • Diet yang ekstrem

Post partum hair loss

Masalah post partum hair loss adalah keadaan di mana rambut gugur banyak daripada normal. Ia berlaku dalam tempoh 3 hingga 6 bulan lepas bersalin. Ada yang berpanjangan ke sembilan bulan hingga setahun lepas bersalin.

Menurut Dr Deena, rambut manusia seperti daun kerana ada kitarannya. Rambut manusia dianggarkan lebih kurang 100,000 helai. Kulit kepala manusia ada 3 jenis rambut iaitu:

  1. Anagen – rambut tebal, kasar, tidak gugur dan akan memanjang. Kalau cabut akan rasa sakit. Ia akan memanjang antara 2 hingga 6 tahun dan selepas itu akan gugur. Tapi ia akan masuk fasa seterusnya.
  2. Catagen – bila bersedia untuk gugur, ia akan jadi lagi halus dan masuk ke fasa seterusnya iaitu telogen.
  3. Telogen – halus dan kerap gugur. Secara normal akan gugur sebanyak 50 hingga 150 helai setiap hari pada setiap manusia. Tiada manusia yang tidak mengalami keguguran rambut.

Bila rambut sudah gugur ia akan digantikan dengan rambut baru dan jadi tebal semula.

Rambut Semasa Mengandung VS Rambut Selepas Bersalin

Ramai ibu selepas bersalin mengadu keadaan rambut mereka semasa mengandung sangat berkilau, bersinar dan lebat tetapi selepas bersalin, lama-kelamaan rambut berguguran dan semakin menipis.

Menurut Dr Deena, semasa mengandung ada peningkatan hormon estrogen, progesterone, HSG & prolaktin dalam badan ibu.

Ia meningkat seiring untuk keperluan bayi yang membesar dalam rahim ibu tetapi ia juga bertindak seperti baja kepada rambut – memanjangkan fasa anagen iaitu rambut tebal, panjang dan tidak gugur.

“Tetapi selepas bersalin hormon tersebut kembali rendah dan turun balik ke para normal jadi rambut pun gugur lebih banyak.

Masalah ini sementara, cuma sekitar 3 hingga 6 bulan sahaja. Nanti ia akan diganti dengan rambut baru yang tak akan gugur.

Lepas bersalin kebanyakan ibu mudah stress melihat fizikal berubah, letih jaga anak, jadi jangan risau sangat sebab ia sementara sahaja,” ujar beliau lagi.

Apakah punca utama masalah keguguran rambut

Antara punca utama masalah keguguran rambut atau penipisan rambut kerana female pattern hair loss yang disebabkan oleh faktor genetik.

Ia mengganggu hampir 40% wanita daripada populasi wanita di seluruh dunia. Ia dikatakan berkait rapat dengan faktor genetik.

Mereka yang lahir dengan keturunan female pattern hair loss atau nama saintifiknya Androgenetic alopecia. Mereka ini lahir dengan rambut depan dan tengah itu sensitif kepada sejenis hormon iaitu hormone DHT atau Dihydrotestosterone.

Hormon DHT itu yang akan menyebabkan masalah kepada folikel rambut dan jadi mengecut. Rambut daripada tebal semakin menipis terutamanya di bahagian rambut depan dan tengah sahaja.

Masalah ini akan progresif atau berterusan sehinggalah rambut wanita tersebut menjadi sangat-sangat jarang. Kalau perasan, rambut makin nipis, jarang,  botak ia disebabkan oleh female pattern hair loss.

Tip penjagaan rambut

Dr Deena yang berpengalaman merawat masalah rambut berkongsi tip penjagaan rambut yang boleh diamalkan oleh semua wanita.

  1. Masa pakai tudung elak ikat rambut ketat-ketat kerana ia boleh menyebabkan rambut yang tertarik akan menjadi nipis dan jarang.
  2. Jika pilih syampu, tengok apa bahan-bahan yang digunakan sekiranya syampu itu berkesan pada rambut anda. Bahan-bahan yang boleh mengurangkan keguguran rambut seperti peptide. Terbukti berkesan secara klinikal dan akan panjangkan kitaran akar anagen rambut, jadi ia mengurangkan keguguran rambut.
  3. Kekerapan syampu rambut bergantung kepada jenis kulit rambut seseorang.Kalau kulit kepala berminyak memang kena syampu selalu. Kalau tak syampu akan gatal, berkelemumur dan rambut menjadi rata. Orang kulit kepala kering boleh syampu rambut dalam masa 2 hingga 3 hari sekali.

Rawatan di Doctor Shah Hair Clinic

Bila ada masalah, doktor kena kenal pasti apa puncanya sebelum memulakan rawatan.

Begitulah yang akan dilakukan oleh para doktor di Doctor Shah Hair Clinic apabila ibu lepas bersalin yang mengalami masalah keguguran rambut yang teruk ingin membuat rawatan.

Doktor akan kenal pasti apa punca rambut rosak dan memeriksa kulit kepala pesakit menggunakan satu alat.

Alat tersebut digunakan untuk memeriksa kulit kepala bagi melihat keadaan folikel normal atau tidak dan tengok ratio rambut.

Rawatan ikut jenis masalah yang dihadapi rambut. Ada rawatan rambut merangkumi ubat-ubatan dan rawatan.

Syampu, serum, conditioner khas untuk orang yang ada masalah rambut nipis, gugur dan jarang.

Wanita terutamanya bertudung tidak perlu risau untuk merujuk masalah rambut mereka di klinik ini kerana ada ruang privasi untuk wanita terutama yang bertudung yang akan diperiksa oleh doktor wanita.

Jadi, ibu lepas bersalin yang mengalami masalah keguguran rambut melebihi tempoh 6 hingga setahun lepas melahirkan anak jangan susah hati kerana ada cara penyelesaian membantu anda.

 

 

Published by
Hasnita Sawal