Bila anak tantrum, tindakan ibu ayah adalah marahkan mereka. Nanti dulu, mungkin kita boleh contohi cara ayah ini menghadapi tantrum anaknya.
Semua ibu bapa mesti rasa nak naik angin bila anak tantrum terutama di depan orang ramai. Ibu ayah ketap bibir tahan sabar dan marah je. Kalau tak ada orang, memang kenalah budak ni kita marah dia puas-puas. Sebelum anda terus tengking dan marah anak, baca perkongsian Dr. Taufiq Razif dulu.
Hari ni anak saya mengamuk!
Si Maryam Soolihah ni tak berhenti-henti merengek dan menangis. Dia nak mintak main kat taman permainan dekat RnR Jejantas Ayer Keroh tapi saya tak bagi.
Hari ni saya teman isteri saya bagi talk dekat bakal-bakal Doktor kat area Bangi. Waktu talk dah dekat tapi kami masih kat area Ayer Keroh lagi. Tu yang saya tak bagi nak saya main kat playground tu tapi anak saya yang sulung ni masih merengek-rengek tak berhenti.
Ni contoh Tantrum jenis Manipulatif!
Anak yang tantrum manipulatif ni biasanya akan mengamuk kerana ada hajat dia yang kita tak tunaikan. Biasanya anak dengan tantrum manipulatif ni air matanya keluar tak banyak mana pun tapi teriakannya boleh membingitkan telinga dan melampau-lampau pulak tu.
Cara nak hadapi anak dengan tantrum jenis manipulatif ni adalah dengan kita jaga emosi kita dan biarkan je! Yes, biarkan je. Kita jangan tengking tapi kita boleh tinggikan sedikit suara untuk menandakan kita tegas dengan keputusan kita.
Jangan cair!
Anak dengan tantrum manipulatif ni memang sengaja guna tangisan dan amukannya untuk mencairkan hati kita. Sekali kita dah cair, otaknya akan menanam isyarat yang kalau nak kita tunaikan permintaan dia, dia kena tantrum lagi dan lagi.
Jadi, tantrumnya akan makin hari makin teruk. Cuma kalau kes tantrum responsif. Biasanya si anak tu akan mengamuk dan menangis tiba-tiba . Bukan mengamuk sebab nak sesuatu. Masa tu kita kena periksa :
– anak kita cukup makan ke tak
– ada tersalah makan ke tak
– susu dah bagi ke belum
– cukup tidur ke tak
– pampers dah tukar ke belum
– cuaca panas ke tak
– ada tak kita main henset sampai lupa nak perhatikan anak
– ada luka-luka tak kat badan si anak
Masa ni la baru kita kena cari penyebab dan selesaikan masalah anak kita tu. InsyaAllah kalau kita ada ilmu nak bezakan tantrum anak ni kita lebih senang nak handle perangai anak kita. Tolong ajar ilmu ni kat pasangan kita juga ye.
Sumber: Taufiq Razif
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Tolong Kemas Rumah, Nak Pakai & Makan Sendiri Antara Perkembangan Anak 3 Tahun
Setiap ibu bapa pastinya ingin mengetahui kaedah mengukur perkembangan anak, bukan? Ini antara cara mendidik anak 3 tahun yang boleh dilakukan.
Cara ibu bapa mengukur perkembangan anak
Pada sekitar usia 3 tahun, anak akan cuba mempelajari perkataan baharu, bercerita, melakukan aktiviti dan cuba membina hubungan persahabatan. Selain daripada keseronokan tersebut, mereka juga belajar mengetahui apa yang betul dan salah serta bagaimana menguruskan emosi.
Tetapi paling utama untuk anda fahami adalah perkembangan anak berbeza dan anda tidak boleh membandingkan anak anda dengan kanak-kanak seusia mereka.
Cara si kecil bermain, belajar, bercakap, bertindak dan bergerak adalah petunjuk penting berkaitan proses perkembangan anak. Anda tidak boleh menyamakan tahap perkembangan si manja dengan kanak-kanak lain seusia mereka. Tetapi ada cara mendidik anak 3 tahun yang boleh anda cuba.
Pakai baju
“Nak buat sendiri”, mungkin antara frasa yang akan sering anda dengar. Memakai baju dengan sendiri adalah antara perkara yang ingin dilakukan dan sepatutnya pada usia ini, mereka sudah boleh melakukannya sendiri. Anda boleh membantu memudahkan proses ini dengan meletakkan pakaian untuknya dan memilih gaya yang mudah. Sebaiknya elakkan pakaian yang berbutang.
Makan tanpa disuap
Jika si cilik mahu makan sendiri tanpa disuap, itu tanda mereka berada pada tahap perkembangan anak yang betul. Kebanyakan anak pada usia ini sudah boleh makan dengan sendiri menggunakan sudu dan garpu serta minum daripada cawan biasa. Mempunyai anak yang picky eater adalah 1 cabaran. Cuba atasinya dengan menyediakan makanan dalam bentuk yang menarik.
Latihan tandas
Untuk memastikan proses latihan ke tandas berjaya, si kecil perlu bersedia. Pada usia ini, mereka mungkin berminat untuk menggunakan bilik air. Cara mendidik anak 3 tahun agar dapat menguasai kemahiran ini pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi. Sudah tentu ada masanya si kecil akan terbabas kencing atau berak dan ia adalah perkara normal.
Perkembangan kemahiran berbahasa
Pada usia ini, anak anda pasti akan bercakap dengan banyak. Mereka seharusnya boleh membuat ayat dengan 3 perkataan mudah. Walaupun si manja mungkin duduk diam, tetapi pada dasarnya mereka memahami apa yang anda katakan. Proses ini dipanggil bahasa reseptif. Tetapi, untuk membantu si manja mengembangkan kemahiran berbahasa, anda perlu membantu dan menggalakkannya untuk bercakap.
Mempunyai kawan
Pada usia ini, si manja sudah bersedia untuk mempunyai kawan tetapi mereka masih memerlukan bantuan daripada anda. Anak anda mungkin tidak suka untuk berkongsi tetapi kesedaran mereka terhadap perasaan individu lain mulai berkembang. Cara mendidik anak 3 tahun adalah dengan menerangkan kepadanya tentang kesan mengambil mainan kanak-kanak lain. Walau bagaimanapun, ini boleh menyebabkan mereka sedih dan anda perlu ajarkan cara untuk berkongsi.
Tugasan rumah
Si kecil memang gemar melakukan sebarang tugasan rumah. Malahan anda mungkin terkejut melihat keupayaan mereka dalam membantu anda. Biarkan si kecil membantu anda dan ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri mereka dalam aspek perkembangan anak. Elakkan daripada menyuruh anak melakukan tugasan yang sukar atau mereka akan berasa kecewa kerana tidak berjaya melakukannya dengan betul.
Membuat pilihan
Jika anda mahukan si manja menjadi individu yang mendengar dan bertindak balas terhadap arahan dengan baik, ia bergantung kepada pemilihan ayat anda. Elakkan daripada memberikan arahan kepadanya seperti “Kemas mainan ini semula”. Sebaliknya berikan dia soalan seolah-olah dia mempunyai pilihan, seperti “Boleh tak selepas main nanti, awak kemaskan permainan ini?” Jangan lupa untuk memberikan ucapan terima kasih dan pujian atas usaha mereka.
Merengek & perubahan emosi
Tantrum perkara biasa dilakukan anak-anak kecil. Tetapi jika ia berlaku, anda perlu cuba untuk bertenang dan elakkan daripada memarahi mereka. Abaikan rengekan dan tangisan mereka untuk seketika dan teruskan apa yang sedang anda lakukan. Setelah amukannya reda, peluklah dan ungkapkan kata-kata sayang buat mereka. Dalam masa yang sama, terangkan kepada mereka sebab dan alasan anda melakukan perkara tersebut – ini juga salah satu cara mendidik anak 3 tahun.
Waktu tidur
Perubahan waktu tidur juga antara perkembangan anak yang boleh diperhatikan. Si kecil mungkin berasakan bahawa mereka tidak perlu tidur siang. Walau bagaimanapun, kebanyakan kanak-kanak masih memerlukan tidur siang sehinggalah berusia 5 tahun. Tetapi mungkin akan berlaku perubahan pada waktu tidur.
Sentiasa memantau
Mendidik anak 3 tahun dengan pelbagai kemahiran baharu pastinya sesuatu yang menyeronokkan. Perkembangan yang disenaraikan adalah antara apa yang boleh anda jangkakan pada anak di usia 3 tahun.
Tetapi anda harus sentiasa ingat, setiap anak-anak mempunyai tahap perkembangan yang berbeza. Namun jika anda berasa bimbang tentang perkembangan mereka, berbincanglah dengan doktor.
Kredit: Hello Doktor
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pening Kepala Bila Si Kecil Asyik Tiru Percakapan Kita. Ikuti Panduan Bagaimana Ajar Anak Bercakap Cara Sopan
Bercakap dengan anak adalah salah satu momen yang paling menyeronokkan buat ibu bapa. Malah, percakapan yang didengarnya setiap hari akan menjadi ‘bahan rujukan’ buatnya. Ketika ini juga, anak anda suka melakukan peniruan percakapan.
Namun, ia perkara biasa yang dilakukan oleh kanak-kanak pada usia ini. Bagaimanapun, ia akan menjadi perkara yang amat dibimbangkan apabila anak-anak ini akan meniru apa sahaja yang didengarinya.
Salah satu peniruan yang dilakukan ialah mengulangi kata-kata anda tanpa jemu. Malah, anak ini juga akan meniru kata-kata yang didengari tanpa mengira kata-kata itu positif atau negatif. Seterusnya anak anda mulai mengumpul dan meluahkan maklumat dalam cara kemahiran komunikasi.
Biasanya anak yang baru boleh bercakap akan bersikap begini. Situasi ini berlaku disebabkan kemampuan berbicara yang baru dikuasai membuatkan anak kecil ini ingin sentiasa mencuba untuk bercakap.
Malah akan berasa seronok apabila melihat percakapannya mendapat tindak balas daripada ibu bapanya.
Ikuti beberapa panduan mudah untuk anda memastikan anak ini bercakap dengan cara yang betul dan bersopan:
- Bebas bercakap
Memang menyeronokkan apabila anak mula bercakap. Namun jika anak anda kelihatan meniru apa yang anda ucapkan, biarkan dia berbuat demikian. Jika melarang perbuatan peniruan ini, kemungkinan akan membuatkan anak ini hilang minat untuk menyebut perkataan yang didengarinya. Memang benar, anda tidak merasa selesa apabila si kecil meniru percakapan anda tetapi biarkan sahaja. Ini kerana dia dalam tempoh belajar bercakap dan perbendaharaan kata.
- Perbendaharaan kata baru
Anda sebagai ibu bapa adalah orang yang paling rapat dengan anak. Apa sahaja yang anda ucapkan anak akan melakukan peniruan bahasa. Oleh itu, ungkaplah perkataan baru yang boleh anak anda mengembangkan perbendaharaan katanya. Berbuallah dengan anak-anak dan biarkan dia belajar bahasa baru. Malah pada usia ini juga boleh didedahkan dengan penggunaan bahasa asing seperti Arab, Inggeris dan Mandarin.
- Pengucapan yang betul
Anak anda masih sukar untuk menyebut perkataan yang baru didengarinya. Sebutan menjadi pelat untuk sesetengah perbendaharaan kata. Oleh itu, untuk memastikan sebutannya jelas dan betul, anda perlu berkomunikasi dengannya secara perlahan tetapi jelas. Buka mulut ketika mengucapkan perkataan dan disebut dengan betul. Biarkan anak anda melihat pergerakaan mulut anda. Kemudian, ajarinya untuk bersama-sama menyebutnya dengan sempurna. Dengan ini, proses pembelajaran berjalan dengan lancar.
- Bahasa negatif
Awas jika anak-anak menyebut perkataan yang negatif. Kadang kala, si kecil mengucapkan kata-kata yang tidak baik kepada anda atau saudara mara. Situasi ini amat mengejutkan anda, sedangkan anda tidak mengungkapkan kata-kata tidak baik kepadanya. Ia mungkin disebabkan pengaruh persekitaran membuatkan anak kecil mula meniru. Pengaruh daripada televisyen, rakan sebaya, sepupu, teman sebaya dan pengasuh akan mempengaruhi percakapan anak.
- Pengucapan positif
Amat penting untuk mendidik anak supaya bercakap menggunakan bahasa yang positif. Apabila si kecil mengucapkan kata-kata yang tidak baik (ungkapan yang kasar) dan tidak tepat, janganlah terus memarahinya. Anda harus menjelaskan kepadanya bahawa pengucapan itu tidak baik. Perlu juga menjelaskan maksud perkataan itu dan gantikan perkataan itu dengan perkataan yang bersopan.
- Pujian
Kanak-kanak suka apabila dirinya dihargai. Begitu juga jika si kecil meniru perkataan yang baik, berikan tindak balas positif misalnya memberikan pujian kepadanya. “Bagusnya anak mama. Sudah pandai mengucapkan ‘terima kasih’ kepada mama.” Kata-kata dorongan kepada anak ini adalah untuk terus mendidiknya bersikap begitu seterusnya. Selain itu, anad juga digalakkan memberikan senyuman dan pelukan sebagai penghargaan kepada sikapnya itu.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Buat Sepah Tu Bukan Apa, Dia Tengah Berimaginasi & Eksplorasi. Baik Untuk Perkembangan Otak Mereka!
Kanak-kanak yang sedang membesar memang suka bermain. Dari usia setahun sehingga umur pra sekolah, anak-anak suka meneroka alam persekitaran mereka. Kadang kalau tengok mereka sepahkan permainanan tu bukan apa, ada yang tengah berimaginasi dan bereksplorasi.
Kalau nak ikutkan bila si kecil buat sepah, mama papa la yang penat nak kena kemas dan sebagainya tapi itu semua untuk kebaikan perkembangan si kecil anda. Tapi anda juga boleh didik mereka untuk kemas sendiri kerana itu juga boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan buat anak-anak.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN dalam penulisannya di Pa&Ma mengulas lanjut tentang 5 jenis aktitivi bermain yang papa mama perlu tahu buat si kecil tersayang.
5 JENIS AKTIVITI BERMAIN YANG PAPA & MAMA PERLU TAHU
Zaman pendidikan praformal 0-6 tahun seharusnya penuh dengan aktiviti bermain berdasarkan beberapa bukti penyelidikan dan hujah santifik yang jelas.
Pertama sekali, penyelidikan demi penyelidikan sains sosial membuktikan bahawa kanak-kanak pada usia pendidikan praformal tidak sesuai diberi pendidikan yang berbentuk akademik sepenuhnya. Kedua, tidak semestinya semakin kita memaksa si kecil dalam lingkungan usia praformal untuk menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira), semakin mereka akan menjadi pintar dan cerdas berbanding kanak-kanak lain!
Sebenarnya pada usia sekitar 10 tahun nanti, segala ‘kelebihan’ kanak-kanak yang diberi pendedahan 3M sepenuhnya akan dapat disaingi oleh si kecil yang banyak belajar melalui aktiviti bermain di taska dan tadika! Ambil contoh negara-negara maju di kawasan Scandinavia, Eropah.
Kita tidaklah perlu mengagungkan sistem pendidikan prasekolah di negara-negara ini, namun pada masa yang sama papa, mama dan pendidik prasekolah di Malaysia khasnya perlu memikirkan secara kritis tentang konsep pendidikan prasekolah yang terlalu memaksa kanak-kanak menjadi ‘pakar’ dalam bidang akademik (intelek) sehingga perkembangan jasmani, emosi dan rohani mereka diabaikan.
Keseimbangan harus menjadi kata kunci di sini, ditambah pula dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang naluri si kecil yang sentiasa ingin bermain dan meneroka dunia di sekelilingnya. Untuk lebih faham tentang naluri yang saya sebutkan ini, bulan ini saya akan berkongsi 5 jenis aktiviti bermain si kecil pada peringkat usia pendidikan praformal yang papa dan mama perlu tahu…
Aktiviti Pertama: Aktiviti bermain lokomotor
Aktiviti bermain lokomotor lazimnya melibatkan gerak kerja fizikal seperti merangkak, berjalan, melompat, berlari, memanjat dan sebagainya. Aktiviti ini berkait rapat dengan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. Melalui proses tumbesaran semula jadi bermula dari usia bayi hingga usia lewat kanak-kanak dan awal remaja, si kecil semakin menunjukkan perkembangan dan kemajuan dalam kekuatan fizikal dan kemahiran motornya.
Dapatan penyelidikan jangka panjang menunjukkan bahawa aktiviti bermain lokomotor membantu kanak-kanak 0-6 tahun belajar kemahiran koordinasi tubuh badan dengan cepat dan cekap. Aktiviti bermain ini bermula sebaik sahaja seorang bayi sudah pandai meniarap, duduk serta merangkak. Ia berterusan hingga ke usia lewat kanak-kanak dan semakin berkurangan apabila seorang anak kecil mencecah usia awal remaja.
Walaupun kita jarang memikirkan manfaat aktiviti bermain lokomotor selain daripada aktiviti riadah yang amat digemari oleh kanak-kanak, sebenarnya aktiviti bermain ini amat penting untuk mereka. Aktiviti bermain ini membantu mempercepatkan tumbesaran otak dan otot – dua komponen komponen biologi yang akan membantu mereka meneroka dan belajar tentang dunia sekeliling dengan lebih aktif lagi.
Eksperimen dalam jurnal akademik tersohor ‘American Psychologist’ membuktikan bahawa aktiviti bermain lokomotor serta aktiviti bermain aktif di taman permainan dapat meningkatkan tahap tumpuan kanak-kanak 4-6 tahun. Bukan itu sahaja, eksperimen ini mendapati bahawa selepas aktiviti bermain aktif, kanak-kanak dapat menguasai konsep baru dan menaakul ilmu pengetahuan dengan lebih cekap berbanding kanak-kanak lain yang tidak diberikan ruang dan peluang untuk bermain sepuas hati mereka.
Aktiviti Kedua: Aktiviti bermain berciri sosial
Aktiviti bermain berciri sosial bermula pada usia bayi lagi, sebaik sahaja si kecil lahir ke dunia. Umum mengetahui bahawa semasa usia bayi, kanak-kanak sudah mula belajar dan bermain dengan cara yang tersendiri. Beberapa bulan selepas dilahirkan, seorang bayi dapat menggunakan pancaindera untuk memahami alam sekeliling. Bayi itu juga sedang melalui proses perapatan (attachment) dengan papa, mama dan penjaga atau pengasuhnya.
Proses perapatan berlaku secara semula jadi dan salah satu cara proses ini berlaku adalah melalui aktiviti bermain berciri sosial! Bila orang dewasa memberi perhatian kepada seorang bayi dan menyapa (agah) atau mengusiknya sebagai contoh, aktiviti bermain berciri sosial mula berlaku.
Kemudian sekitar usia dua tahun dan ke atas, aktiviti bermain berciri sosial pun berubah bentuk. Kalau dahulu kitalah yang menjadi teman bermain, bermula saat ini seorang anak kecil lebih cenderung untuk bermain dengan kanak-kanak lain. Semakin banyak kanak-kanak berinteraksi dan bermain sesama mereka, semakin tinggi frekuensi dan kualiti aktiviti bermain berciri sosial yang mereka rasai.
Apabila usia si kecil meningkat kepada 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain berciri sosial berubah bentuk lagi menjadi aktiviti berkumpulan. Apabila tiga orang atau lebih kanak-kanak merasai pengalaman bermain berciri sosial, mereka dapat menguasai kemahiran sosial dan hidup berkumpulan. Dari titik ini, mereka mula faham dan sedar akan konsep komuniti dan masyarakat walaupun pemahaman mereka masih terhad.
Aktiviti Ketiga: Aktiviti bermain dengan objek
Kanak-kanak juga gemar bermain dengan objek. Suatu hakikat hidup yang kita semua tahu, kanak-kanak pada usia pendidikan praformal amat suka bermain dengan objek biasa atau alat permainan! Seperti juga aktiviti bermain berciri sosial, aktiviti bermain dengan objek pada hakikatnya bermula pada usia bayi lagi.
Lihat sahaja telatah bayi yang diberi sesuatu, jika tidak dipantau segala macam benda akan dimasukkan ke dalam mulutnya, dikeluarkan dan dimasukkan lagi. Ini sebenarnya awalan aktiviti bermain dengan objek dalam hidup si kecil kontemporari. Apabila mencecah usia 2 tahun dan ke atas, bayi tadi kini semakin cekap memanipulasi objek di sekelilingnya misalnya apabila dia bermain dengan blok mainan.
Lebih menarik lagi, aktiviti bermain dengan objek kadangkala melibatkan aktiviti bermain berimaginasi juga. Sebagai contoh, blok mainan itu dibina menjadi sebuah ‘rumah’ dan di dalam rumah berkenaan ada pula penghuni olok-oloknya. Semakin meningkat umur si kecil, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi semakin kompleks. Ini disebabkan dia sudah semakin cekap dan semakin cepat memanipulasi objek-objek yang ada di sekeliling.
Malah jika diberi peluang dan ruang secukupnya, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi asas pembinaan konsep dan pemikiran saintifik si kecil di samping membantunya mempelajari asas kemahiran penyelesaian masalah dan penaakulan deduktif (deductive reasoning). Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan di sini bahawa manfaat aktiviti bermain dengan objek perlu diseimbangkan dengan arahan dan sedikit bantuan daripada orang dewasa, lebih-lebih lagi pada peringkat usia 0-3 tahun.
Aktiviti Keempat: Aktiviti bermain dengan bahasa
Aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa adalah antara pencapaian yang paling hebat dalam kehidupan kanak-kanak 0-6 tahun! Aktiviti ini bermula lazimnya apabila mereka menjangkau usia dua tahun. Jika si kecil anda berada dalam lingkungan usia ini, anda boleh memerhatikan permulaan aktiviti bermain yang menarik (lagi melucukan) ini.
Sebaik sahaja si kecil menguasai asas-asas berbahasa dan mula bertutur dengan pelatnya, dia akan mula ‘bercakap’ dengan dirinya misalnya sebelum tidur atau apabila dia bangun pagi. Kita yang memerhati sukar untuk faham tutur kata si kecil, namun aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa penuh dengan ulangan bunyi atau perkataan ‘orang dewasa’. Aktiviti ini juga diselang-selikan dengan gelak ketawa si kecil walau hakikatnya dia sedang bercakap dengan diri sendiri (mungkin ini asalnya frasa “mudah terhibur”)!
Seperti yang boleh dijangka, semakin usia kanak-kanak meningkat semakin kebolehan berbahasa mereka menjadi kompleks. Dalam lingkungan usia 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa juga semakin kompleks apabila si kecil kini mampu menyanyi dengan lebih teratur serta menggunakan bahasa secara lebih kreatif berbanding sebelumnya.
Ini sebabnya pada lingkungan usia sedemikian, si kecil amat suka mendengar cerita atau mahu dibacakan cerita oleh papa, mama atau cikgu prasekolahnya. Dia juga amat suka permainan bahasa seperti teka-teki, lagu-lagu kanak-kanak yang agak lucu dan sebagainya. Ciri humor yang semakin kompleks ini sudah pasti berkait rapat dengan aktiviti bermain dengan bahasa.
Aktiviti Kelima: Aktiviti bermain berimaginasi
Perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat disepadukan melalui aktiviti bermain berimaginasi. Dalam erti kata lain, aktiviti ini adalah aktiviti bermain yang dapat memberi paling banyak manfaat dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia praformal! Aktiviti bermain berimaginasi mula berlaku sekitar usia setahun hingga setahun tiga bulan apabila si kecil semakin pandai mengajuk atau meniru perbuatan orang lain.
Aktiviti yang penuh dengan imaginasi memerlukan si pelaku (kanak-kanak) dan juga si penonton (orang dewasa) untuk berpura-pura bahawa sesuatu objek atau perbuatan sedang melambangkan objek atau perbuatan berbeza. Misalnya pisang yang dipegang oleh si kecil anda itu adalah telefon bimbit dan dia sedang menggunakan ‘telefon bimbit’ itu untuk menelefon anda.
Pada mulanya aktiviti bermain berimaginasi tidak terlalu kompleks, tetapi akan menjadi lebih rumit sejajar dengan usia dan pengalaman hidup kanak-kanak. Aktiviti yang pada mulanya hanya berpura-pura akan berubah menjadi main peranan (role play). Dari hanya satu babak pendek seperti si kecil menidurkan anak patung atau beruang teddy, aktiviti
bermain ini akan menjadi babak yang panjang dan memerlukan penggunaan imaginasi yang lebih kreatif.
Yang pasti, melalui aktiviti bermain berimaginasi, si kecil 0-6 tahun dapat mula belajar nilai empati dan simpati dengan memahami perasaan orang lain. Melalui aktiviti bermain ini juga mereka akan mula memantapkan kebolehan berbahasa sesuai dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Penyelidikan menunjukkan bahawa aktiviti bermain seperti ini membantu si kecil belajar berunding dengan kanak-kanak lain dan memahami asas-asas peraturan dan undang-undang dalam kehidupan sehari-hari.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI