Cara Betul Simpan Telur Di Dalam Peti Sejuk. Barulah Kekal Kualiti Dan Kesegarannya

Share

Anak-anak kecil memang suka makan telur. Memang elok anak makan telur kerana ia mempunyai sumber protein untuk merangsang pertumbuhannya. Namun, ia tetap perlu dikawal dan ambillah dalam kadar yang sederhana.

Sehubungan itu, macam mana cara anda menyimpan telur? Di dalam peti sejuk atau di luar peti sejuk? Dibasuh dahulu atau bagaimana? Terdapat beberapa pertelingkahan pendapat berkenaan isu ini. Jom kita ketahui informasi lanjut tentang cara yang betul untuk menyimpan telur agar ia tetap kekal segar. Dengan yang demikian, ia membolehkan anak anda terus berselera makan telur di dalam keadaan telur yang masih berkualiti.

Penyimpanan telur di negara beriklim sejuk dan Khatulistiwa adalah berbeza antara satu sama lain. Masyarakat di negara Barat yang beriklim sejuk memilih menyimpan telur di dalam suhu bilik. Hal ini kerana, ayam-ayam di sana diberi penjagaan rapi dan disuntik dengan vaksin yang boleh melawan pembiakan bakteria salmonella.

Manakala kita di Malaysia pula kebanyakannya memilih untuk menyimpan telur di dalam peti sejuk. Ini dilakukan bertujuan untuk memastikan telur dapat bertahan lebih lama. Malah, menyimpan makanan di dalam peti sejuk dengan suhu yang betul iaitu 20°C ke bawah berupaya mengelakkan makanan tersebut daripada tercemar kepada bakteria salmonella.

Dalam pada itu, ramai juga di kalangan kita yang menyimpan telur di dalam bekas khusus penyimpanan telur yang ditempatkan di bahagian atas pintu peti sejuk. Cara ini tidak betul. Hal ini adalah kerana telur memerlukan suhu yang stabil untuk menjadikan ia tahan lama.

Bahagian biasa yang kita simpan telur di pintu peti sejuk itu kerap terjejas dan tidak seimbang suhunya disebabkan kekerapan membuka dan menutup pintunya. Jadi, selepas ini disarankan untuk simpan stok telur di bahagian lain seperti laci peti sejuk supaya suhu sentiasa stabil untuk menjamin kualiti dan rasa telur apabila dimasak.

Sehubungan itu, tempatkan semua telur berkenaan di dalam bekas khas yang berpenutup dan simpan di dalam laci peti sejuk agar ia selamat dan tidak pecah akibat ‘berhimpit’ dengan makanan lain yang ditempatkan di laci yang sama.

Sementara itu, cara anda meletakkan telur pun perlu betul. Dicadangkan agar anda menempatkan telur dengan bahagian yang runcing menghadap ke atas untuk mempertahankan posisi kuning telur agar selalu berada di tengah telur. Jadi kualiti telur akan terus terjaga.

Sebelum disimpan, sebaik-baiknya cuci dahulu telur agar tidak tercemar dengan bakteria salmonella yang boleh memasuki telur melalui pori-pori kulit telur. Setelah mencuci telur, keringkan ia dengan berhati-hati. Setelah mengetahui cara penyimpanan telur ini, bolehlah anda praktikkannya. Selain daripada telur jadi tahan lebih lama, ia juga dapat mengekalkan khasiat dan kesegarannya.

Published by
Intan Jastina