Keibubapaan

Cara Dan Doa Mustajab Nak Kuatkan Kasih Sayang Mak Dan Anak, Kita Jaga 2 Perkara Ni Je!

Share

Anak yang mendengar kata, sopan santun dan baik akhlaknya sudah semestinya membuatkan mak ayah berlapang dada. Namun cabaran mak ayah hari ini sudah pastinya kala berdepan dengan masalah tingkahlaku anak-anak yang membuatkan mak ayah pening kepala. Buntu dibuatnya.

Namun dalam membentuk akhlak mulia anak bukan hanya mendidik bahkan mak ayah harus melakukan beberapa amalan sebagai salah satu usaha mengukuhkan kasih sayang bersama anak-anak.

Tip yang dikongsikan oleh saudari Yusniza Yazid ini boleh dijadikan contoh dan diamalkan oleh kita semua dalam mendidik anak setiap hari. Insyaalah anak makin mesra dan rapat dengan kita malah mendengar kata. Paling penting jangan putus untuk terus berdoa buat anak-anak kita.

Perkongsian daripada tazkirah tadi. Dua Cara Nak Mengikat Kasih Sayang Antara Ibu Dan Anak-anak

1. Amalkan memberi anak-anak minum air Yassin yang dibacakan sendiri oleh ibu.

2. Amalkan menyuap anak-anak makan.

Bagi para wanita yang mengamalkan Al-Mathurat setiap pagi dan petang bermakna sehari 2x lah dia amal surah Yassin. Jadi tak ada masalah kan nak buat air Yassin untuk beri minum anak-anak. Tak payah suruh orang lain buatkan air Yassin, para ibu boleh usahakan buat sendiri air Yassin tu dan boleh selitkan doa untuk anak-anak semasa bacaan Yassin tu.

Bukankah doa seorang ibu adalah doa mustajab buat anak-anaknya? Ambik peluang tersebut wahai para ibu. Suburkan kasih sayang anak-anak dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran supaya anak-anak taat dan baik akhlak.

Amalkan menyuap makanan ke mulut anak-anak. Yang kecik selalunya memang ibu suapkan. Walaupun ada anak yang dah besar dah pandai suap makan sendiri, ibu cuba usahakan menyuap makanan walaupun sesuap dua ke mulut anak tersebut.

Kita ingat balik orang tua-tua kita dulu sepinggan nasi digaul bersama kemudian mak akan suap nasi tersebut ke mulut anak-anak makan sama-sama. Kalau ada 6 orang anak, 6 orang anak lah duduk bersila makan sekali, mak suap nasi sorang demi sorang dari sepinggan nasi tadi.

Kesannya, kasih sayang antara ibu dan anak-anak tu kuat sehinggalah anak-anak besar dan ada kehidupan masing-masing. Kasih sayang antara adik beradik pun kuat. Tak ada nak bermusuh adik beradik. Tak ada nak berdengki sesama adik beradik. Sebab dari kecil mak dah ajar susah senang sama-sama, makan sama-sama.

Jadi kasih sayang antara ibu dan anak-anak dan sesama adik beradik tu jadi kuat dan rapat. Tak macam zaman kita sekarang. Sorang anak makan kat meja makan. Sorang makan kat depan TV. Sorang lagi makan kat luar dengan kawan. Nak duduk semeja makan sama-sama tunggu waktu sahur bulan Ramadhan saja itupun kalau bangun sahur lah.

Jadi tak hairan jika ia salah satu faktor renggang hubungan antara ibu dan anak-anak dan anak-anak tak rapat, suka bergaduh dan saling berdengki sesama adik beradik. Kita sama-sama ambil ikhtibar. Jadi ibu, cubalah usahakan suap anak-anak makan sebagai salah satu usaha mengikat kasih sayang antara anak dan ibu.

Nak anak-anak jadi baik, jadi anak-anak soleh solehah kena bermula dengan mengikat kasih sayang seorang ibu dan anak-anak.

Published by
SRM