Anak asyik demam, batuk tak habis-habis? Kadang kita fikir punca dari cuaca atau sekolah, tapi tak terlintas yang punca sebenar mungkin datang dari dapur sendiri. Setiap kali kita panaskan minyak berulang kali, sebenarnya terbentuk bahan toksik yang perlahan-lahan boleh ganggu imun badan.
Tidak dinafikan, kod minyak masak seperti CP6, CP8 dan CP10 menentukan tahap kestabilan dan keselamatan minyak bila dipanaskan. Kalau salah pilih, apa yang masuk ke perut anak bukan sekadar makanan tapi juga bahan yang boleh rosakkan sel badan mereka tanpa kita sedar.
Pastinya sebagai ibu ayah, anak dari kecil lagi kita dah jaga makan minum, tapi ramai terlepas pandang tentang kod minyak masak yang digunakan setiap hari di dapur. Walaupun nampak sama je bila dipanaskan semula, hakikatnya setiap kali minyak digunakan berulang kali, ia berubah jadi “racun perlahan” untuk badan.
Minyak yang dah digunakan banyak kali boleh hasilkan radikal bebas dan lemak trans — dua punca utama kepada risiko kanser, kolesterol tinggi dan masalah jantung. Sebab tu penting untuk kita faham dan kenal kod minyak masak supaya tahu mana yang selamat untuk anak dan suami.
Kenapa Kod Minyak Masak Penting Untuk Kesihatan?
Ramai yang tak sedar setiap botol minyak masak sebenarnya ada kod minyak tersendiri. Kod ini menentukan tahap kualiti dan kesihatan minyak tersebut. Walaupun nampak serupa bila digoreng, sebenarnya ada beza besar antara CP5, CP6, CP7, CP8 dan CP10. Kalau tersilap pilih, makanan bukan saja cepat rosak atau menyerap minyak berlebihan, malah boleh jadi punca radikal bebas dan kolesterol tinggi.
Kenali Kod Minyak Masak Dan Kegunaannya
CP5 – Minyak sawit dengan tahap kehalusan sederhana. Kandungan asid lemak bebas (FFA) sekitar 0.1 – 0.25%, lebih sihat daripada CP6 dan yang seterusnya.
CP6 – Minyak “premium” dan antara kod minyak masak paling berkualiti. Kaya Vitamin E & tocotrienols, kurang berbuih, makanan rasa lebih segar. Sesuai untuk salad dressing atau masakan suhu rendah.
Ads
CP7 – Kandungan asid lemak lebih tinggi sedikit. Minyak cepat berbuih dan makanan cepat serap minyak. Sesuai untuk gorengan biasa.
CP8 – Cepat berbuih dan mudah jadi hitam. Tak boleh digunakan berulang kali. Jika minyak sudah tukar warna, terus buang.
CP10 – Biasanya minyak paket murah (gred rendah). Cepat berkeladak, senang rosak, dan tidak sesuai digunakan lama.
Beza CP6 Dan CP8 – Mana Lebih Baik?
Menurut perkongsian di laman Facebook Sazly Tulih Page, CP bermaksud Carotene Palm Olein minyak sawit yang ditapis (refined), diputihkan (bleached) dan dinyahbau (deodorized). Nombor 6 atau 8 menunjukkan Cloud Point, iaitu suhu di mana minyak mula jadi keruh atau beku bila disejukkan.
Ads
1. Cloud Point (Titik Keruh)
CP6: Lebih rendah (±6°C), tahan keruh di suhu sejuk. Sesuai untuk negara beriklim sejuk seperti Eropah, Jepun, atau China Utara.
CP8: Lebih tinggi (±8°C), cepat keruh pada suhu bawah 8°C. Sesuai untuk negara tropika seperti Malaysia, Indonesia dan Afrika.
2. Rasa & Fungsi
Kedua-dua kod minyak masak CP6 dan CP8 hampir sama dari segi rasa dan bau, bezanya pada kestabilan ketika disimpan di suhu sejuk.
3. Harga Pasaran
CP6 sedikit mahal berbanding CP8 kerana proses pemurnian untuk menurunkan cloud point lebih kompleks.
Ads
4. Kegunaan
CP6 lebih sesuai untuk eksport ke negara sejuk supaya minyak tidak cepat beku dalam botol. CP8 pula digunakan secara meluas di negara panas kerana lebih murah dan stabil dalam suhu tinggi.
Pandangan Pakar Tentang Kod Minyak Masak
Menurut laporan Berita Harian, Ketua Unit Kesihatan Awam Hospital Pengajar UPM, Dr Suhainizam Muhammad Saliluddin menjelaskan bahawa minyak masak yang dipanaskan berulang kali boleh meningkatkan risiko kesihatan.
Apabila minyak dipanaskan berulang kali pada suhu 160–190°C, tindak balas kimia menghasilkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel tubuh. Kerosakan ini boleh membawa kepada pelbagai penyakit kronik.
Berapa Kali Boleh Guna Minyak Masak?
Menurut Dr Suhainizam, minyak masak hanya boleh digunakan maksimum tiga kali sahaja. Selepas itu ia tidak lagi selamat. Pengguna boleh melihat tanda-tanda minyak tidak sesuai digunakan seperti warna gelap, bau tengik, tekstur lebih pekat, cepat berasap, dan banyak serdak makanan.
Tips Pilih Minyak Masak Yang Selamat
Pilih minyak berkualiti dengan kod CP5 atau CP6 jika mampu.
Elak guna minyak berulang kali lebih dari tiga kali.
Simpan minyak di tempat kering dan jauh dari cahaya.
Kalau minyak sudah bertukar warna atau berbau, jangan guna semula.
Kalau nak jaga kesihatan keluarga, pilih minyak ikut kod minyak masak bukan harga semata-mata. Anak dan suami makan hasil dari dapur kita jadi pastikan minyak yang digunakan betul-betul selamat dan berkualiti.
Menderita masalah Hydrocephalus, pergerakan Tuan Nur Batrisyia Tuan Nasir kini terhad dan hanya mengharapkan bantuan orang untuk menguruskannya.
Kanak-kanak berusia lima tahun itu menderita masalah Hydrocephalus atau kepala besar sejak kandungan ibunya, Nur Suriati Dakta berusia tujuh bulan.
Nur Suriati berkata, doktor mengesahkan penyakit itu sukar sembuh dan kembali normal kerana kepala anaknya semakin membesar selepas lebih tujuh kali melakukan pembedahan.“Kami tak sanggup lagi melihat penderitaan dan kesakitan setiap kali dia menjalani pembedahan dan membuang tiup bagi membuang lebihan cecair dalam kepala,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Katanya, Batrisya yang juga anak bongsunya daripada dua beradik itu dikesan mengalami masalah Hydrosephalus atau kepala besar sejak kandungan berusia tujuh bulan dan bukannya selepas dilahirkan seperti didakwa beberapa pihak.
“Kami terpaksa membawa Batrisyia untuk menjalani rawatan homeopati di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setiap bulan,” katanya.
Ketika mengulas perasaannya apabila pertama kali diberitahu doktor bayi yang dikandungnya mengalami masalah Hydrosephalus dan kepala besar, Nur Suriati berkata, tiada perkataan mampu digambarkan melainkan sedih, tetapi dia terpaksa kuatkan semangat dan reda menerima takdir Allah SWT.
Katanya, selepas beberapa hari dilahirkan, Batrisya terpaksa dibedah bagi memasang tiup khas dari otak ke perut untuk mengeluarkan lebihan cecair di kepalanya bagi menghalang kepalanya daripada terus membesar.
Meskipun ada beberapa pihak ingin membiayai kos rawatan di luar negara, dia dan suaminya Tuan Nasir Tuan Dalam menolak tawaran tersebut kerana tidak sanggup melihat kesakitan anak mereka.
“Tapi sejak akhir-akhir ini, Batrisya kerap mengalami kekejangan saraf & berjaga malam selepas menjalani rawatan homeopati Hospital Sultanah Nur Zahirah,” ujarnya.
Suaminya memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan, tetapi membelanjakan sebanyak RM700 sebulan bagi membiayai susu khas dan kain pakai buang bagi anak bongsu daripada dua beradik itu.
Namun mereka menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM3,000 setahun.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun Bank Simpanan Nasional Tuan Nasir bin Tuan Dalam No Acc : 11100-41-00032900-7
Anak saya penghidap ekzema yang teruk, saya dah buntu dan hampir give up! Kadang-kadang saya terpaksa cut-off semua makanan yang berkhasiat untuk baby termasuklah ayam, ikan sebab sedih tengok kulit dia berdarah. Kadang-kadang saya bagi bubur sayur sahaja. Betul ke dengan pantang makan anak saya akan sembuh?
Saya buntu, PJ
Makanan merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi kejadian ekzema atau mencetuskan gejalanya bertambah teruk selain faktor genetik dan persekitaran seperti bahan kimia, debunga, mikroorganisma, suhu, dan stres. Antara makanan yang dikaitkan dengan ekzema adalah kacang tanah, susu lembu, telur, soya, gandum (gluten), makanan laut serta makanan bercangkerang.
Jenis Makanan Yang Mencetuskan Ekzema
Makanan boleh mencetuskan ekzema kerana mengandungi alergen makanan, terutamanya makanan berasaskan hidupan laut mahupun tumbuhan yang tinggi kandungan protein berunsur semula jadi. Allergen makanan ini akan merangsang penghasilan antibodi immunoglobulin E (IgE) bagi melawan alergen tersebut. Pengaktifan IgE akibat alergen makanan boleh mencetuskan ekzema atau menyebabkan gejala ekzema menjadi bertambah teruk. Sumber makanan yang tinggi kandungan histamine seperti kekacang, coklat dan makanan berkaleng serta berpengawet juga meningkatkan risiko keradangan kulit. Masalah kulit ekzema termasuk yang sedia terdedah akibat kegatalan dan digaru, akan menjadi lebih teruk dan sensitif apabila terus dirangsang alergen makanan mahupun persekitaran.
“Pantang” Makan?
Anggapan bahawa ekzema disebabkan alergi makanan semata-mata dan sekatan terhadap makanan tersebut akan menyembuhkan terus ekzema adalah tidak benar, walaupun kebanyakan penghidap ekzema turut mengalami masalah alergi makanan. Selain makanan, alergen daripada faktor persekitaran juga perlu diberi perhatian bagi rawatan ekzema. Amalan pantang larang makanan tidak berfaedah sekiranya punca ekzema individu tersebut adalah bukan daripada faktor makanan. Antara kaedah yang dapat membantu mengurangkan gejala ekzema daripada bertambah teruk adalah penjagaan dan pengurusan pemakanan. Penjagaan pemakanan dapat membantu mengelakkan tercetusnya tindakbalas antibodi yang menyebabkan atau meningkatkan keradangan kulit.
Kanak-kanak yang mengalami ekzema adalah hampir 35% lebih mudah menghadapi alergi makanan. Sebaiknya jalani ujian alergi makanan bagi mengenal pasti secara spesifik makanan yang mengandungi alergen dan bukannya memilih mengelakkan sesuatu makanan secara am atau rawak. Kajian ada membuktikan bahawa mengelakkan putih telur dapat membantu mengawal ekzema daripada menjadi teruk. Mengelakkan sesuatu sumber makanan tanpa bukti ujian alergi, boleh mengundang risiko kekurangan zat makanan seperti osteomalasia (kekurangan vitamin D), kekurangan kalsium, fosforus, zat besi, zink, vitamin K, B, dan C. Ada pesakit ekzema yang turut mengalami tekanan psikologi kerana pilihan makanan yang terhad dan tidak dapat menikmati makanan. Kadangkala ekzema dalam kalangan kanak-kanak boleh menghilang apabila meningkat dewasa. Ada juga pesakit yang hanya mula menghidap ekzema semasa remaja atau dewasa tetapi mempunyai alahan lain seperti asma sewaktu kanak-kanak.
Penyediaan Makanan Seimbang Untuk Pesakit Ekzema
Penjagaan faktor pemakanan untuk masalah ekzema bermula sejak kehamilan. Amalkan pemakanan yang seimbang dan elakkan daripada pantang larang makanan (kecuali terbukti melalui ujian alergi) sewaktu kehamilan dan semasa tempoh menyusukan bayi. Bagi bayi yang mengalami ekzema mahupun untuk mencegah ekzema, amalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif sehingga bayi berumur enam bulan. Mulakan pemberian makanan pelengkap sewaktu berumur enam bulan, di samping meneruskan penyusuan susu ibu. Perkenalkan makanan baru kepada anak satu per satu secara berperingkat. Berikan perhatian khusus kepada makanan yang diketahui menyebabkan alergi pada ibu dan bapa.
Amalkan pemakanan yang seimbang dan sediakan makanan yang merangkumi semua kumpulan makanan yakni, kumpulan bijirin, kumpulan sayur-sayuran, kumpulan buah-buahan, kumpulan ikan ayam, daging, telur dan kekacang serta kumpulan susu dan produk tenusu. Semua kumpulan makanan perlu diambil dalam diet harian secara sederhana bagi mengelakkan risiko sesuatu makanan mencetuskan risiko ekzema jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan. Sekiranya alah terhadap sesuatu makanan, cuba gantikan makanan daripada kumpulan makanan yang sama bagi memperoleh khasiatnya. Jika alah pada telur, gantikan dengan ikan atau ayam bagi mendapatkan makronutrien seperti protein. Kepelbagaian makanan, iaitu mengambil pelbagai jenis makanan daripada setiap kumpulan makanan dapat memastikan individu mendapat semua nutrien dan khasiat yang diperlukan. Pastikan tidak memakan makanan yang sama berulang-ulang, seperti hanya memakan brokoli tetapi tidak memakan sayuran berwarna lain seperti labu kuning, kubis ungu dan bayam merah.
Pengambilan makanan kaya probiotik (makanan difermentasi) oleh ibu hamil dan kanak-kanak dilaporkan dapat mengimbangi semula mikroorganisma usus yang baik dan seterusnya mengurangkan kekerapan keradangan dan ekzema serta masalah alergi makanan. Bagi memelihara keseimbangan mikroorganisma usus yang baik, ambil makanan yang kaya serat sama ada serat larut air dan serat tidak larut air yang berfungsi sebagai makanan kepada probiotik.
Pengambilan atau penyediaan makanan yang mengandungi aditif makanan seperti pewarna dan perasa sintetik sebaiknya dielakkan. Sumber yang mengandungi aditif makanan yang banyak adalah makanan terproses dan segera seperti makanan segera, mi segera, kentang segera, makanan dan minuman ringan. Utamakan pengambilan makanan yang semulajadi seperti sayuran dan buahan yang pelbagai warna. Bagi mereka yang terbukti mengalami alergi makanan, berikan perhatian dan baca label produk makanan bagi mengelakkan membeli produk yang mengandungi alergen. Sebagai contoh, produk yang dihasilkan menggunakan mayonis perlu diberi perhatian oleh mereka yang alergi terhadap telur kerana senarai ramuan produk tidak akan menyenaraikan telur secara khusus dalam senarai ramuan.
Sekiranya tiada diagnosis khusus terhadap alergi makanan, pesakit boleh kembali kepada diet yang normal secara berperingkat mengikut penerimaan. Dapatkan nasihat pakar pemakanan bagi memperoleh nasihat pemakanan dan membantu membuat pilihan makanan yang sesuai.
Nutritionist Thiru
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu sebenarnya boleh mengelakkan bayi dalam kandungan terkena alergi selepas lahir. Lakukan empat perkara ini masa mengandung sebagai usaha awal.
Ramai yang berpendapat pemakanan yang sarat dengan makanan pencetus alergi pada trimester terakhir menjadi penyebab utama si kecil yang di kandung mendapat reaksi alergi sejurus selepas lahir. Betul ke?
Menurut Dr Dharmini Veerakumaran, pakar perbidanan dan sakit puan Kelana Jaya Medical Centre, belum ada penyelidikan dan kajian yang 100% membuktikan kenyataan ini. Ibu yang hamil perlu mengamalkan diet yang seimbang sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam piramid makanan. Tidak perlu mengubah terlalu banyak dan mengambil setiap makanan yang baik dalam kuantiti yang sederhana sahaja walau pun ia baik untuk anda dan bayi.
Alahan terbahagi kepada beberapa jenis iaitu alahan yang disebabkan oleh seperti pemakanan, pernafasan, kulit, logam atau ubat-ubatan. Ia disebabkan oleh faktor yang dipanggil allergen. Apabila terdedah kepada allergen, reaksi alergi akan berlaku.
SEJARAH KELUARGA
Bagi ibu bapa yang mempunyai sejarah keluarga yang alergi terhadap sesuatu allergen perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Alergi sememangnya boleh diwarisi dalam keluarga. Apabila tahu, maka anda akan lebih bersedia menghadapinya dan akan berhati-hati untuk memperkenalkan makanan tersebut apabila dia mencecah usia enam bulan. Bagi golongan yang berisiko, persiapkan diri untuk penyusuan susu ibu. Penyusuan susu ibu adalah usaha terbaik untuk menghindari masalah alahan pada si kecil.
MAKAN KUANTITI SEDERHANA
Sesetengah ibu mengambil makanan yang berkhasiat sehingga memudaratkan sehingga menyebabkan keracunan toksin. Sebagai contoh ikan salmon yang kaya dengan omega 3 dan vitamin A. Mustahak untuk memastikan sajian yang diambil tidak terlalu banyak.
Hal ini kerana ia boleh menyebabkan keracunan merkuri.
Begitu juga vitamin A, D, E dan K perlu diambil dalam kuantiti minimum. Hal ini kerana vitamin-vitamin tersebut adalah jenis yang berasaskan minyak dan akan disimpan oleh hati apabila terlalu banyak dan tidak diguna oleh tubuh seterusnya menyebabkan keracunan toksik. Hal ini juga secara tidak langsung akan mempengaruhi kualiti kesihatan bayi yang di kandung apabila lahir kelak.
JAUHI ASAP ROKOK DAN ELAK JADI PEROKOK SEKUNDER
Bagi ibu yang pernah merokok, suami atau ahli keluarga perokok atau pun selalu terdedah kepada asap rokok, hal ini akan menyebabkan bayi lahir kurang berat badan dengan paru-paru tidak matang.
Walau pun hal ini tidak berkaitan dengan alergi si manja, kajian menunjukkan bayi yang dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai sejarah alergi dan terdedah kepada asap rokok akan mempunyai risiko besar untuk mendapat allergic rhinitis apabila dia mencecah usia setahun.
Para perokok yang merancang untuk hamil harus berhenti merokok sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil. Nikotin yang ada dalam darah ibu boleh masuk ke dalam darah bayi menerusi plasenta dan ini boleh mengancam paru-paru dan meningkatkan risiko asma dan kematian bayi mengejut (sudden infant death syndrome).
MAKANAN KAYA PROTEIN
Pengambilan diet yang kaya protein amat disarankan. Protein yang tinggi akan membina imuniti badan. Hal ini kerana sel-sel antibodi terdiri daripada protein. Kemungkinan besar ini adalah cara yang boleh digunakan oleh para ibu untuk mengurangkan risiko alergi pada si kecil apabila lahir. Daging tanpa lemak dan ikan adalah contoh makanan yang boleh diambil oleh mama hamil untuk menguatkan antibodi bayi.
SUMBER VITAMIN
Bakal ibu juga perlu mendapat sumber vitamin secukupnya daripada sumber semula jadi. Ia lebih baik berbanding pil atau kapsul lebih segar dan lebih mudah diproses tubuh terutama sekali vitamin C yang menguatkan pertahanan tubuh daripada penyakit dan alahan.
Pengambilan vitamin pranatal oleh secara berterusan seperti yang diarahkan oleh doktor memberikan manfaat membina tubuh bayi yang sihat. Vitamin pranatal mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang diperlukan oleh ibu untuk perkembangan tubuh sendiri dan janin.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketahui kebaikan playground untuk perkembangan anak — dari sensori, emosi, motor halus hingga sosial. Artikel ini menerangkan bagaimana aktiviti taman permainan membantu tumbesaran si kecil secara menyeluruh.