Bercakap antara salah satu cara komunikasi dan semestinya setiap ibu bapa pasti menginginkan anak-anak mereka bercakap cepat dan lancar.. Kemahiran bercakap penting kepada anak-anak untuk pelbagai tujuan.
Antaranya untuk menyatakan keinginan, meluahkan perasaan, belajar, bertanya dan bermain bersama rakan sebaya. Namun begitu, sesetengah ibu bapa kurang sedar tentang pentingnya cara yang berkesan, komitmen dan dedikasi yang berterusan dalam membantu anak-anak supaya cepat dan pandai bercakap.
Patologis Pertuturan Bahasa, Ruby Atika berkongsi cara mudah untuk rangsang pertuturan anak yang lambat bercakap di rumah bersama ibu bapa:
1) Sekurangnya 1 buku cerita bergambar setiap hari. Ulang buku yang sama beberapa kali pun tak apa.
2) Kerap suruh anak di rumah. Walaupun baru 2 tahun. Suruh dia buang sampah, tutup pintu, ambilkan bantal, hantar cawan ke dapur. Ini ialah latihan kefahaman.
3) Ambil tahu lagu kanak-kanak dan nyanyikan dengan anak. Anak dengar ayah nyanyi live adalah berbeza kesannya dari tengok youtube yang nyanyi.
4) Jangan fikir anak-anak hanya duduk di ruang menonton TV saja. Anak juga boleh teman ibu di dapur atau teman ayah berkebun di halaman.
5) Cakap ikut tahap bahasa anak. Kalau dia jenis cakap sepatah-sepatah saja, ibubapa cakap ayat pendek 2 atau 3 patah saja. Jangan cakap ayat panjang atau laju-laju.
6) Ajar perkataan yang kerap digunakan (jom, nak, dah, habis, bye, lagi, ambil, letak, simpan, duduk, makan). Bukannya ajar ABCDEFG.
7) Galakkan tumpuan bersama ketika bermain dengan anak. Pilih permainan yang anak minat dan ibu bapa mesti turunkan level ke tahap sama seperti kanak-kanak.
8) Bila terdengar anak sebut sesuatu, ulang apa yang anak tu sebut dan tambah perkataan supaya jadi ayat.
Sumber: Ruby Atika
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Perangai Anak Akan Belajar Dari Tingkah Laku Ibu Bapa
Biasanya perangai anak berdasarkan apa yang dilihat melalui ibu bapanya sendiri. Ibu bapa adalah orang yang diperhatikan setiap hari oleh anak-anak. Bukan setakat perhati tapi juga meniru tingkah laku ibu bapa. Lebih-lebih lagi jika ada anak yang usianya 3 tahun ke atas, yang dah pandai memerhati dan meniru perlakuan.
Bukan setakat tingkah laku, tapi bahasa dan tutur kata juga turut ditiru. Menakutkan bila difikir-fikir. Yelah kadang-kadang kita sendiri tak dapat kawal perkataan yang keluar dari mulut.
Jadi setiap keputusan yang kita buat, setiap perkataan yang kita ucap, setiap tindakan yang kita ambil semuanya di bawah pemerhatian. Oleh siapa? Anak kita sendiri. Anak kita belajar dari kita. Sama ada positif atau negatif semuanya ditiru. Melalui blog Puan Nurul Aziyana, beliau telah berkongsi maklumat yang berguna untuk peringatan kita sebagai ibu bapa.
7 perangai anak akan belajar atau tiru dari ibu bapa adalah:
- Bagaimana cara bapa layan ibu
Jika bapa adalah jenis yang loving, caring, supportive layan ibu dengan hormat dan bermaruah, anak-anak akan buat benda yang sama pada isterinya nanti.
Tetapi kalau sebaliknya, memang tak mustahil dia akan buat seperti itu pada isterinya. Bila dia di ajar dengan keganasan, tak mustahil dia pun akan jadi ganas.
- Bagaimana ibu bapa menguruskan wang
Kalau kita ni jenis boros, belanja ikut suka, anak pun insya-Allah jenis suka boros juga. Tapi kalau kita ajar mereka menyimpan duit sejak kecil dan uruskan wang dengan bijak, sampai besar pandailah mereka uruskan perbelanjaan.
- Bagaimana ibu bapa layan orang lain
Kalau kita suka merendah-rendahkan orang dan memarahi dengan bahasa kasar tak mustahil anak akan berperangai sama apabila dah besar. Terutamanya apabila dalam kereta dan kita terperangkap dalam jem, lepas tu maki orang sebab bawa kereta terlalu perlahan.Awas! anak akan dengar apa yang keluar dari mulut kita. Sama juga bila kita herdik orang di restoran kerana servis yang lambat.
- Bagaimana ibu bapa tunjukkan tanda hormat pada orang lebih tua
Jika kita kurang ajar pada orang yang lebih tua dan berumur atau sentiasa melemparkan kata-kata kasar anak-anak kita juga akan membesar dengan kurangnya rasa hormat kepada orang yang lebih dewasa termasuklah kita sendiri sebagai mak ayahnya.
- Kejujuran ibu dan ayah
Anak-anak akan tahu kalau kita menipu. Mereka tahu jika kita cakap lain tapi buat lain. Cakap tak serupa bikin. Kalau sentiasa cakap tak betul, lama kelamaan anak-anak juga akan mula menipu kerana mereka sudah terbiasa dengan perlakuan yang tidak jujur.
- Ukuran disiplin dalam menjalani kehidupan
Kalau kita makan banyak, selalu membazir, anak-anak juga akan terbiasa dengan keadaan macam tu. Mereka tidak akan menghargai yang sedikit. Lambat laun perasaan tamak juga mungkin akan bersarang dalam kehidupan mereka.
Walau bagaimanapun, jika kita pilih untuk menjalani kehidupan yang berdisiplin, anak-anak kita akan buat pilihan lebih baik (dan sihat) dengan kehidupan mereka.
- Sifat pemurah
Kalau kita selalu terlibat dengan kerja-kerja amal, bersedekah, amalan-amalan baik ini juga akan diikuti oleh anak-anak.Apa lagi kalau kita turut libatkan anak-anak dalam perkara ini contohnya hasil pengumpulan duit tabungan mereka, kita agihkan untuk tujuan sedekah.
Kesimpulannya, rumah adalah sekolah pertama anak. Sebetulnya memang segala personaliti kita lahir dari asuhan dan didikan dari mak dan ayah.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Anak Fasih Berbahasa Inggeris? Cuba Buat Tip Mudah Ini
Mesti ramai ibu ayah nak anak fasih berbahasa Inggeris kan? Kata orang, hati kanak-kanak ini terang. Mereka mudah ingat dan cepat menghafal. Ramai ibu bapa yang mula mendedahkan anak-anak mereka dengan bahasa Inggeris sejak kecil lagi.
Anak kecil ibarat kain putih yang suci bersih. Minda mereka terbuka luas untuk diisi. Anda sebagai ibu bapa bertanggungjawab mencorakkan ‘kain putih’ itu dengan ‘warna-warni’. Minda kanak-kanak disifatkan sangat cerdas dan mudah menerima sebarang ilmu yang dipelajarinya setiap hari.
Menurut pakar bahasa Profesor Fred H. Genesee, semakin awal usia kanak-kanak belajar bahasa asing, semakin mudah untuk mereka menguasai bahasa itu. Kanak-kanak lebih cepat menerima bahasa yang dipelajarinya tanpa banyak kesukaran berbanding orang dewasa.
Selain itu, pakar neurologi Dr.Eric H. Lennenberg pula berpendapat, sebelum mencapai usia baligh, otak kanak-kanak memang mudah dilentur sebab itulah mereka lebih mudah belajar bahasa asing.
Usia enam tahun adalah masa emas atau paling ideal untuk mengajar bahasa asing selain bahasa ibunda. Ketika usia ini otak mereka sangat mudah untuk menerima sehingga proses penyerapan bahasa mampu berlangsung dengan sangat lancar. Tambahan pula daya penyerapan bahasa mereka berfungsi secara automatik.
Pendedahan Awal
Memadai dengan pendedahan terhadap bahasa tertentu, misalnya memberikan mereka kebebasan untuk bergaul dengan rakan-rakan yang fasih menggunakan bahasa asing selain daripada bahasa ibundanya. Dengan mudah kanak-kanak boleh menguasai bahasa tersebut. Masa emas ini nyata tidak lagi dimiliki oleh orang dewasa. Walau bagaimanapun, ia bukan bererti orang dewasa tidak mampu menguasai bahasa kedua atau bahasa asing ini.
Menerusi kajian tentang perkembangan minda kanak-kanak, tempoh terbaik untuk mengajar kanak-kanak ini menguasai bahasa asing adalah daripada usia enam hingga 15 tahun. Kanak-kanak yang didedahkan dengan pertuturan bahasa asing sebelum usia 15 tahun mampu menguasai bahasa asing itu sama seperti penutur aslinya.
Kejayaan
Satu kajian telah dijalankan oleh Fathman iaitu pakar bahasa daripada Amerika Syarikat . Beliau melakukan pemerhatian kepada 200 orang kanak-kanak berusia daripada 6 hingga 15 tahun yang belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah Amerika Syarikat. Kajian mendapati, kanak-kanak yang lebih muda (usia 6 hingga 10 tahun) lebih mudah menguasai tatabahasa bahasa Inggeris. Sedangkan kanak-kanak yang lebih tua (11 hingga 15 tahun) lebih cenderung menguasai struktur kata.
Jaminan
Sejak melangkah masuk ke pra-sekolah sehinggalah ke Institut pengajian tinggi, kita memang diajar untuk menguasai lebih daripada satu bahasa di dalam pertuturan harian iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kedua-dua bahasa ini memang diguna pakai dalam proses pengajian dan pembelajaran.
Tetapi kanak-kanak yang belajar dua bahasa tidak akan dapat menguasai kedua-dua bahasa itu dengan baik secara sama rata. Ia juga tidaklah sebaik seperti mempelajari satu bahasa. Ia juga memberi tekanan kepada mindanya untuk menguasai dua bahasa tersebut dan pada masa sama sedang mempelajari perkara-perkara lain di persekitarannya.
Untuk mendidik kanak-kanak mahir lebih daripada satu bahasa, ibu ayah perlu bersikap lebih bijak dan tidak tergesa-gesa. Anda kenalah mempertimbangkan kemampuan anak-anak.
Untuk memastikan mereka berjaya menguasai bahasa asing yang dipelajarinya, bahasa tersebut mestilah digunakan dalam pergaulan atau komunikasi seharian. Dalam soal ini papa mama yang kena mainkan peranan penting untuk memastikan kejayaan anak-anak menguasai bahasa asing kerana segala-galanya bermula dari rumah.
5 tip ajar anak fasih bahasa Inggeris di peringkat awal :
1. Berikan anak-anak pendedahan dan latihan kepada bahasa ibunda dan bahasa Inggeris yang sedang dipelajarinya secara sama rata.
2. Anak-anak perlu mendengar dan bertutur bahasa asing itu secara kerap bagi menguasai perkataan serta tatabahasa bahasa tersebut.
3. Ibu dan bapa adalah tenaga pengajar yang paling berkesan untuk anak-anak memahirkan diri sekali gus menguasai bahasa kedua. CD atau DVD tidak begitu memberikan impak yang sama seperti komunikasi yang berlangsung antara anak dengan ibu dan bapanya.
4. Gunakan bahasa Inggeris dalam apa jua situasi seperti bermain, membeli-belah atau berbual bersama anak-anak. Kaedah ini boleh mempercepatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris anak-anak anda.
5. Bacakan sesuatu bahan bacaan dengan menggunakan bahasa Inggeris serta bahasa ibundanya. Ini adalah cara terbaik untuk meningkatkan lagi pengetahuan tentang perbendaharaan kata serta memupuk skil membaca sejak dari awal.
Semoga usaha tersebut mendatangkan hasil yang memberangsangkan. Selamat menjadi cikgu ibu dan ayah.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Terlalu Riang, Tak Reti Duduk Diam Sepanjang Hari? Cuba Periksa Perkembangan Ini
Anak anda mungkin kelihatan terlalu bertenaga. Mereka bermain sepanjang hari dan apabila anda menyuruh mereka berhenti, mereka mula buat perangai dengan membaling barang permainan dan menangis.
Anda melihatnya sebagai normal kerana anda beranggapan bahawa setiap kanak-kanak adalah bertenaga. Meskipun begitu, pernahkah anda terfikir bahawa anak anda terlalu bertenaga dan mungkin mempunyai Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)?
Apakah itu Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)?
Ia merupakan keadaan kesihatan yang biasa dikesan pada kanak-kanak dan remaja. Menurut kajian yang baru dijalankan, ADHD selalunya terjadi kepada kanak-kanak berumur tujuh tahun dan ia mempunyai kecenderungan kepada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Anak anda mungkin didiagnos dengan ADHD sekiranya mereka mempunyai tiga kriteria di bawah ini:
Tidak boleh memberi tumpuan. Anak anda mungkin mempunyai masalah memberi tumpuan yang penuh kepada sesuatu. Mereka mudah untuk beralih perhatian dengan pandangan dan bunyi yang tidak berkaitan. Apabila anda memberikan mereka tugasan, mereka menjadi bosan dan kerap melakukan kesilapan. Mereka juga cenderung untuk berubah daripada satu tugas ke tugasan lain, tanpa menyiapkan tugasan yang asal
Terlalu aktif. Ini merupakan tanda yang paling ketara kepada ADHD. Anak anda akan berasa sukar untuk duduk diam pada mulanya. Sebaliknya, mereka akan mula bergerak, menyentuh barang sekeliling, bermain dengan apa sahaja dan bercakap tidak berhenti-henti. Anda akan berasa bahawa mereka mempunyai tenaga yang banyak dan tidak akan letih
Impulsiviti. Tanda ini bermaksud anak anda bertindak tanpa berfikir. Sebagai contohnya, sekiranya anda bertanyakan soalan kepada mereka, mereka tidak akan berfikir panjang atau tunggu sehingga sampai giliran mereka, dan mereka akan menjawab soalan sebelum soalan tersebut habis ditanya. Ini adalah kerana mereka sukar untuk duduk diam atau senyap.
Bagaimanakah ADHD menjejaskan kehidupan anak anda?
ADHD ialah kecelaruan tingkah laku yang boleh mengakibatkan kesan negatif terhadap seluruh aspek kehidupan kanak-kanak, seperti pencapaian akademik, kehidupan sosial, dan kesihatan fizikal dan psikologikal. Selain itu, semasa mereka membesar, mereka akan mempunyai masalah dengan situasi yang baru. Ini adalah kerana kanak-kanak ADHD tidak mempunyai kemahiran sosial, mereka mudah marah atau terlalu gembira. Ini akan membawa kepada kebimbangan.
Adakah terdapat sebarang penyembuhan?
Masa kini, masih tiada cara untuk menghilangkan ADHD sepenuhnya. Tetapi menurut perspektif kesihatan, ADHD lebih baik dirawat dengan menggunakan kombinasi ubat-ubatan dan terapi tingkah laku. Di antara ubat yang doktor anak anda mungkin berikan adalah stimulan untuk membantu meningkatkan daya tumpuan anak anda dan mengurangkan tahap impulsiviti. Manakala, terapi tingkah laku bergantung kepada usaha ibu bapa. Ia mengambil masa untuk membina kemahiran sosial kanak-kanak. Bersabarlah dan bertimbang rasa apabila mengajar anak anda. Ini akan membantu mereka mempelajari kemahiran sosial dan kawalan kendiri dengan lebih baik. Ia mungkin sukar buat kali pertama, tetapi setiap usaha yang gigih akan memberikan keputusan yang menggembirakan, bukan?
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI