Bercakap antara salah satu cara komunikasi dan semestinya setiap ibu bapa pasti menginginkan anak-anak mereka bercakap cepat dan lancar.. Kemahiran bercakap penting kepada anak-anak untuk pelbagai tujuan.
Antaranya untuk menyatakan keinginan, meluahkan perasaan, belajar, bertanya dan bermain bersama rakan sebaya. Namun begitu, sesetengah ibu bapa kurang sedar tentang pentingnya cara yang berkesan, komitmen dan dedikasi yang berterusan dalam membantu anak-anak supaya cepat dan pandai bercakap.
Patologis Pertuturan Bahasa, Ruby Atika berkongsi cara mudah untuk rangsang pertuturan anak yang lambat bercakap di rumah bersama ibu bapa:
1) Sekurangnya 1 buku cerita bergambar setiap hari. Ulang buku yang sama beberapa kali pun tak apa.
2) Kerap suruh anak di rumah. Walaupun baru 2 tahun. Suruh dia buang sampah, tutup pintu, ambilkan bantal, hantar cawan ke dapur. Ini ialah latihan kefahaman.
3) Ambil tahu lagu kanak-kanak dan nyanyikan dengan anak. Anak dengar ayah nyanyi live adalah berbeza kesannya dari tengok youtube yang nyanyi.
4) Jangan fikir anak-anak hanya duduk di ruang menonton TV saja. Anak juga boleh teman ibu di dapur atau teman ayah berkebun di halaman.
5) Cakap ikut tahap bahasa anak. Kalau dia jenis cakap sepatah-sepatah saja, ibubapa cakap ayat pendek 2 atau 3 patah saja. Jangan cakap ayat panjang atau laju-laju.
6) Ajar perkataan yang kerap digunakan (jom, nak, dah, habis, bye, lagi, ambil, letak, simpan, duduk, makan). Bukannya ajar ABCDEFG.
7) Galakkan tumpuan bersama ketika bermain dengan anak. Pilih permainan yang anak minat dan ibu bapa mesti turunkan level ke tahap sama seperti kanak-kanak.
8) Bila terdengar anak sebut sesuatu, ulang apa yang anak tu sebut dan tambah perkataan supaya jadi ayat.
Sumber: Ruby Atika