
Satu perkara yang begitu ditakuti oleh semua wanita adalah kanser payudara dan kanser serviks. Mengesannya lebih awal adalah langkah bijak yang perlu dilakukan.
Terbaru, ancaman virus HPV pada kemaluan wanita secara berterusan boleh menyebabkan berlakunya pra kanser sekaligus mencegah kanser lebih awal.
Menurut perkongsian Berita Harian, jangkitan berlarutan virus “Human Papiloma” (HPV) yang menjangkiti bahagian kemaluan wanita menerusi hubungan kelamin perlu dikenal pasti dengan segera sebagai langkah awal mencegah penyakit kanser serviks.
Pensyarah dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohamad Nasir Shafiee, berkata virus ini biasa menjangkiti bahagian kemaluan wanita.
“Kira-kira 90 peratus daripada jangkitan ini bersifat sementara dan akan hilang. Namun, jangkitan berterusan boleh menyebabkan virus ini mengubah keadaan sel-sel di bukaan mulut serviks menjadi “garang” (dysplasia).
“Keadaan ini dipanggil prekanser, iaitu sebelum terbentuknya kanser. Peringkat ini penting untuk kita kenal pasti supaya pesakit dapat dirawat dengan cepat agar kanser tidak berlaku,” katanya.
Virus ini juga boleh menyebabkan beberapa kanser lain seperti vulva, vagina serta kanser anus dan zakar.
“Pesakit yang dijangkiti virus HPV juga berisiko mendapat ketuat (wart) di bahagian kelamin, serta keabnormalan sel pada organ kelamin.
“Kesedaran awal tentang virus ini boleh mencegah kanser serviks daripada menyerang wanita,” katanya.
Tambahnya lagi, wanita yang mengalami kanser serviks akan mengalami beberapa gejala. Ini termasuklah haid yang abnormal, keputihan dan banyak lagi.
“Mereka akan mengalami gejala seperti pendarahan haid abnormal, berdarah selepas hubungan kelamin, keputihan yang berpanjangan atau berbau.
“Sekiranya lambat datang, mungkin merebak hingga menyebabkan kencing berdarah, sakit di bahagian ari-ari atau tidak boleh kencing kerana saluran kencing tersumbat. Buah pinggang juga akan membengkak dan rosak,” katanya.
Ambil Vaksinasi HPV Cegah Kanser
Beberapa langkah pencegahan kanser serviks perlu dilakukan, dengan mengambil vaksinasi HPV seperti disyorkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) langkah permulaan yang baik.
“Malaysia kini sedang giat melaksanakan program vaksinasi dalam kalangan pelajar perempuan berumur 13 tahun. Bagi pelajar di sekolah swasta (bukan kerajaan) ibu bapa perlu cakna supaya membawa anak mendapatkan dos ini.
“Kajian menunjukkan vaksinasi ini mengurangkan risiko kanser setinggi 97 peratus. Walaupun dasarnya dos vaksin ini perlu diambil tiga kali, namun saranan dari WHO dan KKM baru-baru ini untuk memberikan satu dos sahaja kepada kanak-kanak kerana kadar perlindungan yang tinggi walaupun hanya satu dos,” kongsinya lagi.
Menarik: Its Another Hero”, Fahri Dah Ada Geng, Dayah Bakar Selamat Bersalin Anak Kedua!
Bila lagi nak healing dan bonding time dengan anak-anak, buat aktiviti yang mereka suka? Kalau ajak main VR game, mesti anak-anak happy!
Jom, daftar segera ke Santai Petang Pa&Ma! Sambil dengar talk dan main game, boleh juga bawa balik goodies dan menang banyak hadiah. Best kan?
Daftar di sini 👉🏼 https://toko.ideaktiv.com/product/pama-santai-petang/
Sertai ‘Komuniti Pa&Ma Ikhtiar Hamil‘ untuk mengikuti pelbagai tip kesuburan dan kehamilan serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma bersama pakar.
Klik : https://t.me/+ocjF2NSo9pFjNTU1
https://chat.whatsapp.com/JcDPcXwwhrh4v052XOEmAG
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Sumber: Berita Harian Online
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Awas Ya Ibu, Melayan Handphone Masa Menyusukan Bayi Boleh Memudaratkan Mereka!

Kebanyakan ibu menyusu memang akan mengambil kesempatan memeriksa atau melayan ‘handphone’ semasa menyusukan bayi sebagai cara mengisi masa lapang.
Tahukah anda, menurut pakar ibu yang menggunakan telefon pintar mereka ketika menyusukan bayi boleh membahayakan si kecil.
Ibu yang menggunakan telefon pintar semasa menyusu boleh menyebabkan kemudaratan jangka panjang kepada bayi mereka.
Menurut pakar, ibu-ibu baru bukan sahaja hilang petunjuk-petunjuk yang tidak ketara tentang kesejahteraan anak mereka, tetapi mereka juga tidak ada hubungan mata dengan si kecil yang boleh menjurus kepada isu jangka panjang lain.
Hari ini ia bukan perkara pelik bila semua ibu menyusukan akan memegang telefon pintar masing-masing ketika menyusukan anak
BONDING SEMASA MENYUSU
Dr. Kateyune Kaeni, pakar psikologi kesihatan mental keibuan yang bertugas di Pomona Valley Medical Center berkata, hubungan mata amat penting dalam pembinaan hubungan selamat antara ibu dan bayi.
Menurutnya, “Bila bayi lahir, penglihatan mereka secara asasnya hanya dari dada ke muka ibu. Itu jarak paling jauh mereka boleh lihat. Jadi bayi banyak merenung dan bonding dengan cara itu.”
“Jika bayi cuba untuk berhubungan dengan anda melalui bunyi bising atau senyuman yang dibuat tetapi tidak berjaya dan mencubanya r beberapa kali dan akhirnya si kecil belajar yang mereka tidak boleh bergantung pada anda untuk memberi respon. Ini boleh berisiko menjadikan bayi sama ada seorang yang tidak sabar dan asyik nak melekat pada anda atau rasa tak selamat hingga nak melekat sahaja dan akan meningkatkan tingkah laku mereka sehingga anda memberi perhatian.”
Tambahnya lagi, gangguan seperti sebuah telefon pintar boleh menyebabkan ibu hilang petunjuk yang bayi sudah “kenyang atau masih lapar atau lekapan mereka tidak selamat atau sekiranya mereka ada masalah menelan”.
Terry Bretscher, jururawat yang bertugas dengan Dr Kaeni berkata kebanyakan ibu muda selalunya lebih asyik memeriksa mesej telefon pintar berbanding menyusukan bayi mereka.
“Anda bantu bayi melekap pada ibu mereka dan boleh lihat telefon si ibu asyik berbunyi. Mereka nampak waspada dan anda boleh nampak mata mereka asyik bergerak ke bawah dan melihat ke arah telefon.
Kadang-kala mereka lebih sibuk menjawab telefon. Ia memang sukar untuk membina ikatan atau bercakap-cakap dengan bayi anda bila ibu sentiasa sibuk melayan telefon pintar sahaja!”
Sumber: thesun.co.uk
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Depresi Yang Awak Alami Takkan Gugat Sayang Kita. Selagi Boleh Saya Bantu.”

Depresi bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Lebih-lebih lagi jika dialami tanpa kita sedari. Penyakit depresi atau kemurungan ini makin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat atas beberapa faktor.
Mungkin ramai juga yang mengganggap bahawa depresi itu sememangnya sama sahaja dengan stress. Tidak sama sekali.
Penyakit ini merupakan penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang hingga menganggu rutin harian.
Perkongsian dari seorang suami, Najmi Nawawi mengenai masalah depresi yang dialami isterinya sehingga sanggup mencederakan diri dan orang serta caranya untuk bantu isteri benar-benar boleh dijadikan panduan bersama.
Aku nak cerita tentang isteri aku. Artikel ini panjang sedikit tetapi demi Allah aku yakin kau tidak akan rugi baca. Aku nak cerita tentang penyakit DEPRESI yang dihidap isteri aku.
Ya isteri aku, bidadari aku sendiri cik Husna mempunyai depresi. Ini telah disahkan oleh pakar psikiatri 4 tahun yang lepas. Aku masih ingat pada waktu itu kami ke Hospital Sungai Buloh setelah mendapat refer letter dari klinik. Punca dapat surat refer itu pula ialah apabila doktor di klinik tanya soalan ini pada Husna.
‘Husna ada rasa sampai macam nak bunuh diri ke?’
Dan isteri aku cakap – ‘Ya, rasa dah tak mahu hidup’.
Bagi aku ini ialah satu detik bersejarah dalam hidup kami. Kerana di sinilah bermulanya perjuangan aku dan isteri berhadapan dengan penyakit yang dipanggil depresi atau kemurungan.
Bila aku tahu isteri aku sudah ada perasaan untuk membunuh diri sendiri. Jadi kau fikir aku ada masa untuk main-main lagi? Kau fikir aku ada masa untuk buat benda lain? Aku kena hadapi masalah ini, sebab yang kena ialah isteri aku. Dia amanah untuk aku, aku perlu bantu.
Rentetan itu banyaklah keputusan-keputusan besar yang aku terpaksa buat dan mengubah hidup aku, hidup kami sekeluarga. Pandangan orang luar? Apa yang mereka tahu? Aku korbankan itu semua. Kerana apa yang penting aku sebagai suami kena bertanggungjawab untuk memulihkan isteri aku.
Maka seperti yang diminta oleh pihak klinik untuk refer department psikiatri Hospital Sungai Buloh maka aku menemani bidadariku untuk berjumpa pakar. Harapnya pada waktu itu, tiada apa-apa yang serius.
Kau tahu-tahu sahajalah ini ialah untuk pertama kalinya kami pergi masuk ke bahagian psikatari. Terdengar ada makcik menjerit-jerit bergaduh dengan nurse, ditambah lagi dengan ruang menunggu yang agak sempit memang buat kami tidak selesa. Ada juga yang bergaduh minta ubat lebih dan ada juga yang mengetuk-ngetuk meja. Macam bercampur dengan tempat orang gila.
Waktu itu, ada juga terfikir. Betulkah tindakan kami ini. Rasa macam masuk ke tempat yang tidak sepatutnya. Pegang tangan isteri dan redah sahaja. Kami mahu juga tahu apa yang berlaku dan semestinya ingin mendapatkan rawatan terbaik.
Aku cerita ini peristiwa yang berlaku 4 tahun lepas, masa ini dalam kepala kami tidak mempunyai kesedaran dan ilmu yang luas tentang penyakit depresi ini. Rasa takut, rasa tidak selamat, rasa risau dan sebagainya semuanya mula menghantui lubuk perasaan.
Kau bayangkanlah. Kau masuk tempat psikiatri kot. Dengan keadaan yang macam itu persekitarannya. Itu perasaan aku, bagaimana pula perasaan bidadari aku ketika itu. Jadi aku kena kuatkan semangat.
Maka berjumpalah kami dengan pakar psikiatri dan isteri aku didiagnos dengan penyakit depresi secara rasmi. Ya pada waktu itu ianya hanya permulaan, dan hanya ada depresi. Tetapi selepas beberapa pertemuan susulan, ia menjadi semakin teruk kerana turut didiagnos juga dengan anxiety dan panic attack.
Mula fasa ujian
Inilah realiti yang perlu kami telan. Kini bermulanya bahagian yang susah iaitu fasa ujian.
Kenapa aku sebut fasa ujian, sebab fasa inilah hubungan kami diuji. Fasa yang susah dan penat.
Husna selalu rasa macam diri dia tidak berguna dan malang.
Rasa macam semua orang benci. Rasa macam semua orang ambil kesempatan. Rasa macam tiada ada orang beri perhatian. Rasa macam tidak disayangi. Rasa baik diri mati sahaja.
Ini semua ialah luahan yang diceritakan pada aku. Dan dari pemerhatian aku sendiri, diri dia umpama ‘not being present’. Macam dia masih hidup dalam kisah lama, atau terlalu memikirkan tentang masa hadapan. Hingga the real world – the present yang ada depan dia ini macam kosong.
Ubat yang doktor bagi ialah setraline. Kami rasa ubat ini umpama nyawa, kerana kalau tiada ubat ini pasti jiran-jiran akan dengar jeritan husna marah dan menjerit-jerit atau menangis. Kerana pernah juga cuba stop makan ubat ini kerana rasa dah boleh baik. Namun ternyata ianya ialah pilihan yang silap.
Maka apa lagi, kami dimarahi oleh pakar psikiatri dekat Hospital PPUM kerana tinggalkan ubat. Kami tidak buat rawatan susulan di Sungai Buloh kerana agak jauh maka PPUM dirasakan lebih sesuai kerana berdekatan. Doktor juga bagi amaran jangan tinggalkan ubat ini lagi.
Ubat ini akan buat kau rasa letih dan penat seterusnya mengurangkan rasa marah atau sedih melampau. Kau akan rasa mengantuk dan lebih suka untuk berehat.
Isteri meraung, menjerit, pecah pintu bilik dan cuba tikam
Kalau aku cerita tentang apa yang berlaku pada kami kalau isteri aku tiba-tiba kena panic attack. Pasti kau tidak percaya. Menjerit dan meraung? Itu perkara biasa. Pintu bilik pecah ditumbuk sekuat hati. Meronta macam hilang pertimbangan bahkan pernah juga cuba menikam aku dengan kunci.
Tidak lawak. Aku boleh menangis fikirkan apa yang berlaku.
Anak-anak? Pastinya terkesan. Macam aku ada dua orang anak, alhamdulillah dua-dua perempuan yang comel. Seorang Maryam Deen dan adiknya ialah Aisyah Deen. Mereka ini ialah penguat perjuangan daddy dan mommy untuk menghadapi perjuangan ini.
Zaman Maryam Deen ialah zaman kami struggle untuk mencari jalan untuk penyelesaian masalah depresi ini. Zaman baru nak kenal penyakit depresi dan mencuba rawatan yang ada.
Zaman Aisyah Deen pula ialah zaman masih struggle tetapi ‘getting better’. Harapnya dose ubat makin turun. Tipulah kalau kami tidak belajar dari apa yang berlaku. Aku sudah makin pandai menjaga husna. Paling penting ialah jaga emosi husna, tahu bahagian mana yang ok dan yang tak ok.
Pengalaman yang ajar aku. Pengalaman yang ‘real’ dan perit. Tetapi inilah kisah pengorbanan dan cinta. Aku harap Maryam Deen dan Aisyah Deen dapat berbangga satu hari nanti bahawa daddy and mommy berjaya jadi survivor penyakit depresi. Aminn.
Sekarang Maryam Deen dan Aisyah Deen ialah penguat untuk kami sekeluarga. Daddy and mommy sayang sangat kamu berdua.
Depresi bukan gila tetapi ianya ialah penyakit. Sepertimana organ lain pada anggota badan kita boleh sakit. Begitu juga dengan otak.
Orang lain memang tidak akan faham dengan apa yang kami lalui. Mungkin ada yang mengganggap ini masalah orang tidak ada iman, solat tak khusyuk. Jarang baca al-Quran. Berfikiran negatif dan suka fikir yang negatif sahaja. Acah-acah stress, orang lain pun ada masalah juga dan sebagainya.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi untuk melihat the ‘bright side’. Ia umpama kau meminta orang buta untuk melihat matahari!
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi bersabar sebab orang beriman kan kuat sabar. Kau biar betul? Kalau orang ada cancer kau suruh dia bersabar juga ke? Atau kau minta dia dapatkan rawatan? Bahkan dalam masa yang sama kau sedar tak yang kau tengah ‘judge’ orang depresi kurang iman.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi baca doa itu, baca ayat itu dan ini supaya depresi hilang. Aku tidak cakap doa itu tiada kesan, kerana Allah sudah nyatakan dalam al-Quran dengan mengingati Allah hati akan tenang. Tetapi kita sedang bercakap depresi dari sudut clinically! Doa ialah sebahagian dari solusi. Sama seperti kalau kau demam, doa untuk pulih memang boleh. Tetapi kau kena makan ubat dan jumpa doktor juga. Jadi janganlah cakap dekat orang yang depressed, baca je doa, nanti depresi tu hilang.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk melupakan sahaja semua perkara yang bermain di fikiran. Atau ayat seperti ‘move on’ seolah-olah ada red button yang kau perlu tekan sahaja untuk ‘exit’. Tanpa disedari ayat seperti ini sebenarnya satu penghinaan kepada pejuang depresi, lebih-lebih lagi orang yang bercakap ‘knows nothing about depression’.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain. Atau memintanya untuk lihat kesusahan atau dugaan orang lain yang lebih susah. Siap bagi contoh orang itu dan ini kononnya. Lagi sekali, ini ialah penghinaan. Tanpa sedar kau sedang ‘judge’ orang yang depresi ini tidak bersyukur atau lebih sesuai lagi ‘spiritually weak’.
Cukup-cukuplah dengan ayat-ayat seperti ini. Belajar dan kenali depresi itu apa terlebih dahulu. Kau kena sedar mengikut kajian tahun 2020 penyakit mental akan menjadi penyakit no 2 paling tinggi di dunia. Kajian ini ialah kajian rasmi. Maka ini bukan isu untuk segelintir dari kita sahaja, ini ialah isu manusia sejagat.
Depresi BUKAN PENYAKIT ATTENTION SEEKER
Ini satu lagi. Aku pun tidak faham kenapa boleh dapat label sebegini dan ianya berlaku di negara kita. Sedangkan di negara-negara maju, depresi dipandang serius sehingga banyak tempat-tempat kaunselling ditubuhkan. Mereka ‘open’ dan sangat membantu dan memahami keperluan pesakit depresi. Berlaku adil kepada pesakit depresi kerana mereka tahu dan mereka kenal apa itu ‘mental illness’.
Depresi bukan bahan untuk kau ketawa dan perlekehkan. Kau kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu yang mana boleh. Kerana depresi ini boleh bersembunyi disebalik senyuman. Kau jangan tertipu. Jaga ahli keluarga masing-masing.
Jangan pula berlaku sebaliknya dengan memburukkan lagi keadaan dengan perangai sombong dan rasa diri lebih baik dari orang lain.
Aku impikan satu hari nanti wujud ‘social awareness’ dan seterusnya membentuk ‘social support’ yang mantap dari netizen secara keseluruhan terhadap mereka yang menghadapi depresi.
Bagi kami, perjuangan aku dan bidadariku Husna masih perlu diteruskan. Kami belum lagi menjadi survivor dalam hal ini. Demi Allah, please doakan.
Aku sayang isteri aku. Aku sayang anak-anak aku. Yang pasti, depresi tidak akan sesekali berjaya merobohkan keluarga kami, bahkan akan membuatkan kami lebih kuat dan kuat lagi.
#isterikudepresi
Sumber: Najmi Nawawi
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hilangkan Perut Buncit Lepas Bersalin. Siap Makan, Gerak 25 Langkah Perlahan-Lahan

Membentuk tubuh langsing dan mendapatkan semula berat badan ideal selepas bersalin adalah idaman setiap ibu. Namun, pastinya ia tidak semudah disangka dan lebih sukar terutama buat ibu yang memberikan susu badan kepada bayi mereka.
Bahagian perut yang buncit serta kehadiran selulit dan tanda regangan membuatkan ramai ibu yang gelisah. Lemak yang terkumpul di perut mendedahkan ibu kepada masalah yang serius seperti diabetes dan penyakit jantung.
Masalah perut buncit, ‘Spare Tyre’ atau perut menggeleber selepas bersalin adalah perkara normal bagi setiap ibu selepas bersalin. Namun, jika dibiarkan sahaja tanpa sebarang tindakan susulan ianya akan berkekalan dan boleh menjejaskan penampilan ibu. Atas faktor kesihatan, saiz ukuran pinggang ibu disarankan tidak melebihi 35 inci. Saiz lingkaran pinggang berlebihan mendedahkan ibu kepada pelbagai risiko penyakit.
Individu dengan kadar lemak yang tinggi di perut cenderung mempunyai nafsu makan yang besar. Lemak berlebihan dalam tubuh menghalang pelepasan hormon yang mengendalikan nafsu makan. Justeru membuatkan individu sukar mengawal nafsu makan mereka dan makan dalam jumlah yang banyak. Akibatnya, masalah perut buncit sukar diatasi.
Tubuh yang langsing sememangnya menjadi idaman setiap ibu. Ada segelintir ibu yang ingin langsing cepat dengan mengambil ubat-ubatan tanpa memikirkan kesannya terhadap kesihatan diri dan bayi. Apakah rahsia untuk kekal langsing secara sihat? Kak Engku ingin berkongsi tip yang lebih selamat untuk menghilangkan masalah perut buncit selepas bersalin dengan kaedah yang mudah dan murah. Ikuti 10 tip berikut:
1. Penyusuan
Penyusuan bukan hanya memberi manfaat kepada bayi sahaja, malah ianya juga sangat membantu Ibu untuk langsing semula. Ibu digalakkan menyusukan anaknya hanya dengan susu ibu sebaik sahaja bayi dilahirkan. Sebaik-baiknya lakukan penyusuan secara ekslusif sehingga bayi berumur 6 bulan tanpa memberi makanan dan minuman tambahan selain dari susu ibu. Juga disarankan agar penyusuan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun.
Ibu yang menyusukan bayi akan cepat berasa lapar dan dahaga. Ini disebabkan air dan banyak kalori diperlukan untuk menghasilkan susu ibu. Oleh sebab itulah, ibu menyusu dinasihatkan mengamalkan pemakanan seimbang terutama makanan yang rendah lemak dan tinggi serat. Diet ideal ialah makanan yang tinggi kandungan protein dan vitaminnya. Kalori juga harus dikira supaya ada penyusutan berat badan. Perlu diingat, kalori yang sesuai bagi ibu menyusu adalah sekitar 2500 kcal. Kalau terlalu kurang, dikhuatiri kualiti susu yang dihasilkan tidak memuaskan.
Penyusuan dan pemakanan seimbang mampu membantu menurunkan berat badan. Setiap kali sesi penyusuan 85kcal akan di bakar bagi 100ml susu badan yang dihasilkan. Untuk 6 bulan pertama, purata susu badan dihasilkan sehari adalah sebanyak 750ml. Ini bermakna sebanyak 650kcal akan dibakar hanya dengan menyusukan susu badan. 650kcal kalori yang dibakar adalah bersamaan dengan naik tangga berterusan selama 90 minit. Penyusuan juga membantu mengecutkan rahim ibu dan bantu mengembalikan bentuk badan asal dengan cepat. Jadi teruskanlah menyusukan anak dengan susu ibu.
2. Pemakaian Bengkung
Aspek penjagaan diri bagi ibu-ibu bersalin semakin dipandang remeh dan diambil ringan oleh ramai wanita hari ini, terutama amalan berurut, bertuam, bertungku, bertangas dan berbengkung atau berbarut. Tidak dinafikan amalan tersebut agak leceh dan remeh tetapi kesan dan hasilnya berpanjangan. Amalan berbengkung yang dilakukan secara berdisiplin boleh membantu seseorang ibu mengembalikan bentuk badan asal secara semulajadi. Pemilihan dan penggunaan bengkung yang sesuai serta cara pemakaian yang betul mampu merampingkan pinggang Ibu.
Di samping itu, berbengkung bertujuan untuk memejalkan semula otot-otot badan, perut dan pinggul. Ia juga mengempiskan semula perut yang menggeleber dan mengetatkan peranakan agar tidak jatuh. Ibu perlu berbengkung untuk mendapatkan kembali tubuh yang langsing kerana fizikal badan berubah semasa mengandung. Otot menjadi kendur dan perlu ditegangkan semula agar tubuh menjadi kemas dan langsing semula.
Waktu sesuai berbengkung adalah selepas mandi pagi dan setelah di urut. Ulangi semula pada sebelah petang selepas mandi hinggalah pagi keesokannya. Ibu pasti tersenyum melihat hasilnya.
3. Amalan Bertungku
Bertungku adalah amalan tradisional ibu-ibu untuk memecahkan darah beku selepas bersalin. Amalan ini semakin kurang mendapat sambutan kerana khasiat dan kebaikan bertungku sudah tidak dititikberatkan. Tujuan bertungku adalah untuk membantu mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah beku, memecahkan lemak dan mengecutkan rahim bagi ibu selepas bersalin.
4. Kawal Diet Pemakanan
Untuk 6 bulan pertama, Ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif dinasihatkan mengamalkan pemakanan sihat yang rendah lemak dan tinggi serat. Manakala bagi Ibu yang sudah tidak menyusukan bayi, Ibu boleh mengawal diet pemakanan secara teratur. Kurangkan pengambilan karbohidrat, lemak dan minyak. Lebihkan pengambilan protein bagi membina otot tubuh dan menganjalkan semula perut yang menggeleber. Tingkatkan juga pengambilan makanan yang dapat mempercepatkan proses pembakaran lemak seperti oat, kekacang, bayam dan madu.
Ingin sentiasa kenyang pada masa yang sama mampu mengecilkan saiz pinggang? Cuba amalkan oat, cendawan, asparagus, bawang dan pisang. Ini kerana makanan tersebut menghasilkan lebih hormon yang mengawal selera yang membuatkan Ibu sentiasa berasa kenyang.
5. Kepentingan Sarapan Pagi
Bagi Ibu yang ingin kembali langsing, jangan pandang remeh akan perkara ini. Bersarapan dapat meningkatkan metabolisma dalam badan dan menyebabkan kadar pembakaran tenaga berlaku dengan lebih cepat. Namun, cuba ambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi makan dengan lebih kerap. Amalkan makanan tinggi serat, kurangkan gula ringkas dan makan lemak yang sihat.
6. Teh Hijau Dan Jus Limau Nipis
Untuk mengempiskan perut, selain menjaga pemakanan dan bersenam secara teratur, Ibu boleh mempercepatkan proses tersebut dengan mengamalkan minum teh hijau. Sejak dahulu lagi, teh hijau disebut sebagai minuman pelangsing kerana memiliki kandungan Catechin yang berupaya meningkatkan pembakaran lemak, sekali pun sewaktu Ibu tidak bergerak. Catechin adalah sejenis polifenol yang terdapat di dalam daun teh yang memiliki sifat sebagai antioksidan. Ibu disarankan meminum teh hijau selepas makan makanan yang berlemak. Kaedah ini sesuai untuk ibu yang tidak menyusukan bayi dengan susu ibu.
Selain mengamalkan minum teh hijau, minum minuman yang masam akan menggalakkan pembakaran lemak di dalam tubuh. Amalkanlah minum air limau nipis atau jus oren segar sebaik-baiknya tanpa gula.
7. Minum Air Sebelum Makan
Pelik tapi benar. Menurut satu kajian, Ibu yang minum 2 gelas air sebelum sarapan, makan tengahari dan malam mampu mengurangkan berat badan sebanyak 12kg setahun. Ibu yang minum 2 gelas air mendapat 75 kalori berbanding yang tidak minum air. Ia juga meningkatkan metabolisma tubuh.
Elakkan makan bersulam air. Ramai yang gemar menikmati makanan dengan ditemani segelas air. Mungkin sudah terbiasa makan diselangi minum air agar tidak tercekik dan tersedak. Sebenarnya minum bersulam air boleh memberi kesan buruk kepada sistem penghadaman dan meningkatkan insulin dengan cepat. Bukan sahaja masalah kesihatan, tetapi turut membuatkan lemak berkumpul di bahagian perut dengan cepat.
8. Selepas Makan, Gerak 25 Langkah
Kurangkan segera kalori selepas makan! Setiap 25 langkah anda berjalan, satu kalori akan digunakan. Lebih-lebih lagi jika anda menaiki tangga. Lakukan dengan santai kerana perut baru diisi. Selain memberi peluang makanan untuk hadam, amalan berjalan-jalan sesudah makan membantu menghabiskan sebahagian kalori daripada makanan yang diambil.
9. Senaman Secara Teratur
Sebaik sahaja bersalin, senaman kurang sesuai dilakukan kerana ibu perlu berehat bagi menyembuhkan luka pada vagina (kelahiran normal) atau perut (kelahiran caesarean). Selepas 3 bulan bersalin, pemulihan ibu sudah sempurna. Usaha untuk merampingkan pinggang perlu dititikberatkan. Pelajari cara dan panduan untuk menurunkan berat badan yang betul dan jangan lakukan diet secara membuta tuli, ini boleh menjejaskan kesihatan anda.
Senaman hendaklah dilakukan dengan betul dan teratur agar ia dapat memberi manfaat. Senaman mestilah sesuai dengan individu yang melakukannya. Sebagai contoh, individu yang mempunyai perut geleber haruslah melakukan senaman yang boleh membakar lemak.
Senaman juga mestilah seiring dengan diet yang betul. Tisu lemak akan hanya digunakan oleh badan apabila kita membakar kalori melalui senaman lebih tinggi daripada jumlah kalori yang diambil pada hari sebelumnya. Sebagai contoh; sekiranya kita mengambil 2,500 kalori pada hari sebelumnya, kita mesti bersenam untuk membakar 3,000 kalori pada hari berikutnya.
Ibu yang ingin kembali ramping, mesti melakukan senaman setiap hari untuk membakar kalori yang cukup agar lemak yang tersimpan dapat digunakan. Diet makanan yang sihat mestilah diteruskan supaya tiada lebihan lemak yang boleh disimpan kembali oleh badan.
Senaman kardio vaskular dan abdomen tertentu boleh membantu mengempiskan perut. Senaman yang dilakukan secara konsisten boleh mendapatkan kesan terbaik. Untuk mengempiskan perut juga, gerakan punggung secara perlahan boleh dilakukan contohnya dengan melakukan tarian gelek, dangdut atau hula-hula.
10. Petua Tradisional
Selain daripada berbengkung, masalah perut buncit selepas bersalin boleh juga diatasi dengan mengamalkan petua tradisional. Caranya, dua hari selepas bersalin, ambil kapur sirih, perahkan sebiji asam limau kepada kapur sirih tadi, lumurkan campuran tersebut di permukaan perut Ibu sehingga rata, biarkan seketika sehingga kering. Sapuan ini akan menyebabkan perut terasa hangat kerana kesan kapur. Oleh itu jangan sapu terlalu banyak.
Tujuannya adalah untuk mengempiskan perut yang membuncit dan membakar lemak. Namun rawatan ini mengambil masa yang lama untuk perut kembali kempis. Amalkan petua ini selama tempoh berpantang (44 hari) berturut-turut. Kebiasaannya jika dilakukan secara berdisplin selepas tempoh berpantang, perut Ibu beransur kempis, kelihatan licin, anjal dan tidak berkedut-kedut. Keadaan perut kembali menarik seperti sebelum Ibu bersalin.
Sumber: Kak Engku Bidan Bersalin
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI