Polis mengesyaki cemburu antara motif seorang wanita hamil ditemukan mati dengan kesan tembakan pada perut di dalam sebuah kereta di tepi jalan Kampung Repek, Pasir Mas, Kelantan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata bagaimanapun polis akan melakukan siasatan menyeluruh dalam kes tersebut bagi menentukan motif sebenar.
ARTIKEL BERKAITAN [“Kenapa Orang Itu Tembak Mami.” Anak Wanita Hamil 7 Bulan Masih Terkejut]
Muhamad Zaki berkata mangsa kemungkinan ditembak menggunakan pistol separa automatik .38 berikutan penemuan kelongsong peluru.
“Polis akan melakukan siasatan secara menyeluruh walaupun ada pelbagai motif yang diperkatakan.
“Selain itu polis juga akan mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi agar apa yang kita jangkakan itu adalah tepat. Pada masa sama polis juga meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga selesai siasatan,” katanya.
Semalam, Farrah Emirah Mazlan, 26, ibu kepada tiga orang anak berusia antara tiga hingga 10 tahun ditemukan mati dengan kesan tembakan di bahagian perut dan akibat tembakan tersebut, bayi di dalam kandungan mangsa yang berusia tujuh bulan turut meninggal dunia.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata polis juga sedang menyiasat kemungkinan mangsa ditembak di lokasi lain sebelum memandu kereta ke lokasi mayatnya ditemukan kerana jarak rumahnya adalah sejauh 15 kilometer.
Beliau berkata susulan kejadian itu seorang lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai hubungan dengan mangsa ditahan reman sehingga 9 Jun bagi membantu siasatan.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bechah Kelubi, Pasir Mas, pada petang Ahad.
Kredit: BERNAMA
Nak buat persiapan kehadiran ‘orang baru’ kena reaady mental dan fizikal. Jom kumpul ilmu di Bengkel Pa&Ma To Be: Belajar Sampai Terer!
Hanya RM20, ada banyak hadiah istimewa. Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/belajar-sampai-terror/