Cemburukan Ibu, Bayi Jadi Mangsa Dipukul Hingga Mati!

Share

Kerana cemburukan ibu kepada seorang bayi, seorang remaja berusia 19 tahun tergamak memukul bayi lelaki sehingga menyebabkan kematian bayi berusia 20 bulan di Sabah sekitar Jumaat yang lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata siasatan awal mendapati suspek warga asing itu dipercayai cemburu kerana mengesyaki teman lelakinya menyukai ibu bayi terbabit yang juga janda berusia 23 tahun.

Katanya, suspek yang gagal mengawal perasaan dipercayai melepaskan marah terhadap mangsa dengan memukul bayi itu ketika ibunya keluar untuk bertemu rakan.

“Siasatan awal mendapati, suspek menampar sebelum mencampakkan bayi itu ke katil selain menarik kepala bayi itu sehingga terhantuk di katil.

“Tidak cukup itu, bayi malang itu turut dibungkus dengan selimut selama lebih lima minit.

“Hasil bedah siasat ke atas mayat bayi itu mendapati lebam di pipi selain beberapa kecederaan lain di badan yang disyaki menjadi punca kematian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah hari ini.

Ibu Keluar Beli Susu Untuk Anak

Omar berkata, kejadian disedari ibu mangsa yang pulang ke rumah selepas meminjam wang daripada rakannya untuk membeli susu bayi terbabit.

Katanya, ibu mangsa mendapati anaknya berada dalam keadaan lemah dan pucat sebelum menghantar anaknya itu ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia 6.45 petang dan berikutan itu satu laporan polis dibuat.

“Polis kemudiannya menyerbu rumah berkenaan dan menahan empat wanita warga asing berusia 16 hingga 19 tahun kerana disyaki terbabit menyebabkan kematian mangsa,” katanya.

3 Rakan Lain Turut Terlibat

Omar berkata, siasatan mendapati seorang lagi suspek berusia 18 tahun turut memijak belakang bayi berkenaan manakala dua lagi suspek berusia 16 dan 18 tahun turut berada di lokasi ketika kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa dan ibunya tinggal menumpang di rumah suspek utama bersama tiga lagi suspek lain sejak setahun lalu.

“Semua suspek direman sehingga Jumaat ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Orang sekarang memang dah hilang sifat kemanusiaan. Suka bertindak membuta tuli tanpa fikirkan orang lain. Semoga suspek semua diberikan hukuman yang setimpal dengan apa yang dilakukan!

Sumber: Harian Metro

 

 

Published by
SAHR