Tempoh kehamilan selama sembilan bulan sememangnya cukup menyukarkan. Terpaksa berdepan pelbagai masalah tidak kurang juga pelbagai alahan yang membuatkan ibu merasa tidak kuat. Pun begitu jangan jadikan hal ini mengganggu emosi diri.
Jika merasa mood down dan sedih, cepat-cepat ubah mood menjadi lebih ceria. Sebaiknya ceria dan gembiralah sentiasa kerana ini akan turut memberi kesan kepada bayi.
Apa akan terjadi jika ibu murung ketika hamil? Kajian mendedahkan sebanyak 1 dalam 10 wanita hamil akan mengalami kemurungan. Hal ini kerana perubahan hormon yang mendadak ketika hamil mampu mengubah sistem limbik otak. Ini boleh menyebabkan perubahan emosi seperti keresahan dan kemurungan.
Kesan kemurungan boleh menjadi lebih teruk jika elemen luaran memberi tekanan hidup seperti psikososial, pekerjaan, rumah tangga dan sebagainya. Kadang-kadang, wanita tidak perasan mereka mengalami kemurungan kerana simptomnya lebih kurang sama dengan perubahan semasa hamil seperti corak tidur, tahap tenaga, selera makan dan keberahian.
Petanda dan petunjuk lain yang boleh menandakan kemurungan ketika hamil termasuklah:
* Kegelisahan yang berlebihan terhadap kandungan.
* Rasa rendah diri, terutama sekali bab keibubapaan.
* Tidak berasa seronok ketika melakukan aktiviti kegemaran.
* Tidak memberi tindak balas yang baik ketika diberikan kepastian.
* Tidak patuh terhadap penjagaan perinatal.
* Merokok, minum minuman alkohol atau mengambil dadah.
* Kenaikan berat yang tidak memuaskan disebabkan oleh diet tidak mencukupi.
Sekiranya anda mengalami kemurungan ketika hamil, anda mungkin akan mengalami masalah untuk menjaga diri sendiri. Contohnya, jika corak tidur dan pemakanan anda tidak teratur, ia boleh menjejaskan perkembangan janin anda.
Untuk ibu sendiri pula, jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan kemurungan yang berpanjangan selepas bersalin nanti.
Satu kajian di United Kingdom mendedahkan wanita yang kemurungan ketika hamil berpotensi 1.5 kali ganda untuk mendapat anak yang cenderung ke arah kemurungan semasa remaja.
Walaupun risiko genetik juga memainkan peranan, tetapi saintis mengatakan kesan kemurungan fisiologi ibu hamil boleh melalui plasenta dan mempengaruhi perkembangan otak bayi.
Selain itu, satu kajian dijalankan di Kenya berjaya membuktikan bahawa kesan kemurungan ibu hamil berkait dengan kelahiran bayi.
Wanita yang mengalami kemurungan semasa hamil mempunyai risiko sebanyak 3.8 kali ganda untuk melahirkan bayi pramatang.
Malah kesan kemurungan semasa hamil kepada bayi termasuklah mengalami keguguran dan melahirkan bayi yang lebih kecil dengan berat badan tidak mencukupi. Jadi elakkan.
Tangani Kemurungan Dengan Bijak
Tidak ramai wanita hamil yang mahu mendapatkan rawatan walaupun mempunyai simptom kemurungan kerana takut dianggap tidak sesuai menjadi ibu. Akan tetapi, jika rawatan diberikan pada peringkat awal, kemurungan ketika hamil tidak akan berpanjangan. Rawatan boleh merangkumi beberapa elemen seperti:
1. Sokongan sosial
Sokongan sosial boleh didapati daripada sekeliling anda seperti pasangan, ahli keluarga, malah rakan-rakan. Selain itu, ada program khidmat masyarakat dan keibubapaan yang boleh dihadiri untuk membantu anda.
2. Terapi keluarga
Terapi keluarga boleh dijalankan bersama ahli terapi, pasangan dan anak-anak anda. Selalunya, terapi ini lebih berkesan untuk anak-anak yang lebih dewasa.
3. Terapi kognitif dan tingkah laku individu
Terapi individu lebih berkesan untuk wanita hamil yang mengalami kemurungan tetapi segan untuk mendapatkan rawatan. Sesi terapi lebih peribadi di antara ibu hamil dengan pakar psikiatri, psikologi, doktor keluarga, pekerja sosial dan sebagainya.
Artikel berkaitan: Tak Selesanya Ibu Hamil Bila Alami Pedih Ulu Hati, Ini 5 Tip Atasinya, Bantu Cegah Sebelum Makin Teruk!
Nak relaks, jom cuci mata di SINI.
Nak macam-macam info? Jom join telegram Pa&Ma D Parents https://t.me/pamadparents
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI