Bagi ibu bapa yang ada anak di tahun satu dan tahun dua, mungkin agak terasa cabarannya dalam keadaan sekarang ini. Bukan apa persekitaran untuk anak yang seusia ini belajar di sekolah tak dapat dilaksanakan dengan sempurna seperti anak lain sebelum ini.
Dengan sukatan pelajarannya yang sangat-sangat lain seperti dulu dan semuanya memerlukan anak berfikir untuk setiap soalan benar-benar menguji minda mereka. Bukan itu saja, anak-anak dalam usia ini juga dalam proses menyesuaikan diri untuk menulis dan mewarna dengan cantik.
Seperti perkongsian Cikgu Mohd Fadhli, sebenarnya anak-anak di usia ini mereka sedang dalam peringkat pemahaman dan asah kemahiran. Kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa membimbing.
Tulisan tak cantik, warna sampi terkeluar itu biasa. Boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Ibu bapa dan guru perlu beri ruang untuk anak asah kemahiran mereka. Jangan disebabkan nak terlalu sempurna kita berikan tekanan sehingga anak rasa tak seronok dan anggap belajar itu susah.
” Apalah, duduk rumah pun kerja buruk”
” Mak ayah tak pantau ke anak-anak buat kerja. Senget benget tampal”
“Tulisan buruk ya amat, macam cakar ayam. Mak ayah awak tak ajar ke ?”
Fuh, berdesing telinga. Kali ni memang masak mak ayah kena dengan para guru.
Nanti dulu.
Budak darjah 1 ni fokus utama adalah nilai dan mesej dalam pembelajaran. Mereka ini perlu diterapkan dengan kefahaman. Skill atau kemahiran itu kemudian.
Biasalah, ada ketika pegang pensil salah, warna terkeluar garisan, gunting kertas bergigi-gigi. Tulisan ya rabbi !
Tapi jika susunan guntingannya betul, itu satu kejayaan. Tulisan buruk tapi ejaan betul, itu satu kemajuan. Gunting bergigi-gigi tapi susunan mengikut arahan, itulah kejayaan.
Yang kita nak nilai ialah motor halus dan cara mereka selesaikan masalah. Tak kisah bagaimana cara dia nak selesaikan asalkan selesai.
Budak cara budak. Orang dewasa cara dewasa.
Sama juga kalau budak makan bersepah, itu biasa. Tapi kalau bapa makan berterabur, ada benda yang perlu diperbetulkan.
Hakikatnya. Jika ada anak darjah satu, tuan puan jangan terlalu menekan atau mahukan kesempurnaan. Pujilah usaha yang telah mereka lakukan.
Kredit: Cikgu Mohd Fadhli
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)