Seia sekata membesarkan anak dengan cara mereka sendiri. Amalan selalu bercakap dengan anak sejak dari dalam kandungan rahsia Amarra jadi petah
Setiap kali menatap pasangan ini di Instagram, tidak kering gusi dibuatnya. Ada-ada sahaja lawak jenaka Azad menceriakan suasana keluarga.
Azad Jazmin dan Eira Syazira pasangan serasi kini bahagia dengan tiga cahaya mata. Amarra Sofea Rose, 5, Ameisya Leanne Rose, 1 dan Areisya Suri Rose, 5 bulan menjadi pengikat kasih sayang pasangan selebriti ini.
Kedua-dua selebriti mempunyai persefahaman dalam mendidik anak. Pasangan ibu bapa muda ini mahu anak mereka menjadi anak yang cemerlang seimbang dunia dan akhirat. Penerapan elemen asuhan dan didikan serta mengutamakan anak melebihi segala-galanya.
KARAKTER KELAKAR MENAMBAT HATI
“Azad mempunyai ciri seorang lelaki yang saya cari selama ini. Perkenalan pertama kami ialah bila sama-sama berlakon dalam sebuah drama. Ketika mekap, saya ternampak seorang lelaki kacak tinggi lampai datang ke set. Siapakah lelaki itu kacak persis Amitabh Bhachan? Dia kemudian memperkenalkan dirinya kepada saya. Ketika itu, Azad memegang watak tambahan dan hanya mempunyai satu scene sahaja. Selama ini hanya tengok di TV sahaja, tak pernah berjumpa in person, hati berdebar-debar. Saya sukakan karakter dia yang kelakar dan bersahaja,” kata Eira tentang suami yang dikahwininya pada 16 September 2011 lalu.
FAMILY MAN
Lama kelamaan hubungan kedua-duanya semakin akrab sehingga menjadi pasangan kekasih. Apabila diperkenalkan kepada kepada ibunya, Eira tidak merasakan jurang dan tertawan dengan layanan baik ibu Azad. Bahkan dia amat tertarik dengan cara Azad melayan kepada ibunya. Cara percakapan dua beranak itu membuatkan Eira kagum. Tanpa membuang masa, lantas Eira mengatakan kepada dirinya “Lelaki ini mesti jadi ayah kepada anak-anakku nanti.”
Ternyata selepas berkahwin dan menimang cahaya mata, Azad mempraktikkan apa yang dilakukan oleh Allahyarham bapanya kepada anak-anak. Kerap berkomunikasi, caring dan bonding yang sangat kuat dengan anak-anak menjadikan Azad bapa yang sempurna di mata Eira. Azad memang family man. Dia amat teliti tentang anak-anaknya dan sanggup berhabisan untuk mereka. “Anak-anak perlu sentiasa kemas dan tidak boleh comot. Kalau tidak Azad akan tanya kenapa. Dia memang akan lakukan apa sahaja untuk anak-anaknya,” kata Eira tentang suaminya.
AZAD SEBAGAI PAPA
Bila ditanya bagaimana mendidik anak-anak, lelaki penuh humor ini menjadikan ibu bapanya ialah idola. “Ibu bapa saya begitu rapat dengan kami adik beradik. Saya mengaplikasikan apa yang mummy & daddy saya lakukan iaitu sentiasa bercakap dengan anak-anak dan melatih kami agar saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Daddy saya berketurunan Serani dan mummy pula Melayu. Cara didikan kepada kami adik beradik adalah kombinasi kedua-duanya,” kata Azad.
Selain itu, bagi Azad, menjadi seorang ayah bermakna dia perlu pandai mengawal keadaan. Hal kerja dan perniagaan ditinggalkan di luar pintu sebelum masuk ke dalam rumah. Di rumah, dia bukan ahli perniagaan atau pelakon, tetapi suami dan ayah kepada anak-anak.
Azad memang suka berbual dengan anaknya walau pun ketika anaknya masih di dalam kandungan. Azad juga melayan anak-anaknya bermain dan bercakap seperti kanak-kanak yang sudah besar supaya pemikiran anak lebih berkembang. Kelebihan kepada Azad ialah dia boleh mengatur jadual hariannya dengan lebih baik dan mempunyai lebih banyak masa dengan keluarga.
Membesar sebagai anak sulung, Azad juga melatih Amarra untuk menjadi pelindung dan pemimpin untuk adik-adiknya. Setiap anak mempunyai keunikan dan keistimewaan masing-masing. Azad menyayangi ketiga-tiga anak perempuan sama rata dan berharap semuanya menjadi insan yang seimbang dunia dan akhirat.
KEPETAHAN AMARRA
Anak sulung pasangan ini amat menonjol karakternya. Amarra Sofea Rose yang kini berusia lima tahun petah dan mempunyai perwatakan ceria. Kerana kepetahan dan keakrabannya dengan Azad, kedua-duanya terpilih untuk program Oh My Family di Astro. Amarra yang kini sedang bersekolah tadika banyak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah.
Amarra juga digelar Eira sebagai Azad Junior. Apa sahaja yang disukai bapanya akan menjadi kegemaran anak kecil itu. Didikan sejak kecil dan ikatan kuat antara dua beranak ini terjalin erat. Sejak Amarra di dalam kandungan Eira, Azad akan berbual dan selepas dilahirkan, dia menghabiskan banyak masa berinteraksi dengan Amarra walau pun pada ketika itu masih bayi. Kata Azad, mungkin kerana itu, Amarra mudah menerima arahan dan petah berkata-kata.
HOS RANCANGAN PA&MA
Azad & Eira teruja jadi hos rancangan Pa&Ma. Dengan situasi terkini mereka sebagai ibu bapa kepada tiga anak pelbagai usia, penglibatan ini memperkayakan ilmu keibubapaan mereka. Rancangan yang bakal ke udara pada jam 12 tengah hari, setiap Selasa bermula 12 Jun 2018 di Astro Prima & Maya HD. Program ini nanti bakal mengutarakan tajuk-tajuk menarik keibubapaan seperti Jutawan Cilik, Kehamilan IVF, Homeschooling dan sebagainya.
sumber: Majalah PA&MA & Instagram Azad Jazmin
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI