Istilah ‘manja’ mempunyai makna yang negatif dalam konteks sosial. Ia boleh ditakrifkan sebagai sikap memberi kasih sayang yang terlalu berlebihan dalam fasa awal mengasuh anak-anak. ‘Anak manja’ sering merujuk kepada anak yang cenderung menunjukkan sikap menuntut perhatian yang berlebihan dan ingin dilayani tanpa memperdulikan orang lain. Sikap ini tidak dapat dibendung oleh ibu bapa kerana keliru antara perasaan sayang anak atau manjakan anak.
Sikap manja secara alaminya timbul pada usia setahun lebih apabila bayi mula membina hubungan sosial dengan orang-orang di sekitarnya. Sekiranya sikap manja dituruti oleh ibu bapa sehingga usia tiga hingga empat tahun, akan menghasilkan sikap memberontak (tamper tantrums) atau sikap terlalu bergantung (clinging). Pada usia lima hingga enam tahun, jika berlarutan akan mempengaruhi perkembangan emosi, sosial dan juga intelek anak-anak kerana pada tahap umur tersebut anak-anak mula berinteraksi dengan persekitaran yang lebih luas seperti di taska atau tadika.
Faktor penyebab
Umumnya disebabkan corak asuhan daripada kecil yang menyebabkan anak menjadi manja. Ikuti selanjutnya faktor penyebab anak menjadi manja.
1.Terlalu berlebihan sayang anak
Ibu bapa tidak mahu anak merasa ‘susah’ atau beranggapan sepatutnya lakukan segalanya untuk anak. Kemungkinan juga ibu bapa tidak yakin anak mampu melakukan sesuatu dengan sendiri.
2.Kurang tegas dalam mengasuh
Ibu bapa kurang tegas dalam usaha mengasuh atau mendidik anak. Akibatnya sejak kecil kemahuan dan kehendak anak dituruti dan dibiarkan membuat sesuka hati tanpa ditegur. Akhirnya jadilah ‘anak yang tidak mendengar kata’ iaitu ibu bapa menjadi ‘pak turut’ kepada anak-anak mereka.
3.Pengalaman ibu bapa semasa kecil
Ibu atau bapa pernah diasuh dengan corak asuhan authoritarian (kawalan yang ketat,tidak bertolak ansur atau fleksibel dengan anak). Mereka tertekan semasa membesar, jadi beranggapan untuk anak sendiri, mereka perlu memberikan the best iaitu dengan memanjakan anak mereka.
4.Alasan tiada masa
Ibu bapa yang sibuk beranggapan kekurangan masa berkualiti dengan anak dapat digantikan dengan menurut segala kemahuan anak.
Kesan manja kepada perkembangan
Akibat sering mendapat apa yang dimahukan atau bebas berbuat sesuatu mengikut kehendak hati, anak-anak menjadi:
1.Kurang berdikari atau kurang keinginan atau perasaan untuk melakukan sesuatu dengan sendiri. Anak ini akan mengharapkan dan mendesak orang lain untuk mengambil tanggungjawab yang diberi.
2.Sering bergantung kepada orang lain dalam apa sahaja.
3.Tiada atau kurang keyakinan diri menyebabkan kesukaran dalam menonjolkan potensi diri.
4.Kurang keinginan untuk membuat eksplorasi yang akan menjejaskan perkembangan inteleknya.
Bagaimana untuk mengatasinya
Bagi membendung kesan kemanjaan yang akan mempengaruhi jati diri dan hubungan sosial anak-anak apabila meningkat remaja, terdapat beberapa faktor yang ibu bapa perlu ambil peduli.
1.Ibu bapa mesti sedar kesilapan mereka dan beriltizam untuk memperbaiki corak pengasuhan anak.
2.Kedua-dua ibu bapa perlu konsisten dalam mengamalkan ketegasan dalam mengasuh anak-anak.
3.Membimbing anak-anak sedikit demi sedikit untuk bersikap lebih berdikari. Contohnya oleh dimulakan dengan meminta anak menyuap makanan atau memakai baju mereka sendiri tanpa bantuan. Dengan cara ini, anak-anak mula membina kepercayaan bahawa mereka mampu berdikari.
4.Mempercayai dan memberi kepercayaan kepada anak-anak akan kemampuan mereka untuk melakukan sendiri perkara-perkara yang bersesuaian tahapumur mereka. Ibu bapa perlu sabar kerana anak-anak mungkin memerlukan masa untuk boleh membuat sesuatu secara sendiri dengan baik.
5.Memberi peluang kepada anak-anak untuk bersosial dengan rakan sebayanya (contoh menyertai kumpulan bermain; play group) seawal usia dua tahun supaya pengalaman bersama rakan sebaya dapat membentuk kemahiran bersosial yang positif.
_____
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI