
Bukan hanya memudahkan paling utama memberi keselesaan kepada murid-murid selepas semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diminta untuk memberi pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas ini.
Pun begitu pertimbangan itu berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.
Dalam satu kenyataan semalam, KPM memaklumkan institusi pendidikan juga dinasihatkan agar sentiasa mengikuti garis panduan berkaitan fenomena cuaca negara yang telah ditetapkan.
“KPM prihatin terhadap penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca di luar jangka.
“Institusi pendidikan perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mematuhi saranan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan seluruh warga institusi pendidikan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua institusi pendidikan di bawah KPM diminta untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas dan memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
Selain itu, pihak berkaitan juga perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri bagi yang tidak berpuasa atau murid bukan Islam.
Menurut KPM, murid juga digalakkan untuk mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan, serta pihak berkaitan perlu membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.
Semua institusi pendidikan KPM juga diminta supaya sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik serta hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.
— BERNAMA
Menarik: “Jumpa Nanti Di Syurga Sayang” Impian Timang Cahaya Mata Tidak Kesampaian, Hannah Delisha Keguguran!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Anak Keliru Puting, 14 Teknik Ni Boleh Dicuba Untuk Pujuk Dia Menyusu Susu Ibu Semula

Isi Kandungan
ToggleApabila berhadapan dengan masalah bayi keliru puting, mama menyusu pasti rasa resah. Jadi, apa yang perlu dilakukan untuk memastikan dia mahu kembali menyusus susu ibu. Dr Nurhaya Yacob, Pakar Laktasi IBCLC daripada Dr Nurhaya Lactation Center berkongsi langkah-langkahnya untuk mama praktikkan. Mari belajar bagaimana cara yang betul untuk memujuk si comel untuk kembali menerima payudara.
1. Jangan sesekali membiarkan bayi terlalu lapar untuk dia menerima payudara
Percayalah jika mama mengambil keputusan untuk menunggu sehingga bayi berasa lapar sebelum menyusukannya, ia tidak akan berjaya.
Sebaik-baiknya sekiranya perlu, berikan sedikit susu ibu terlebih dahulu. Contohnya 1/2 auns susu ibu perahan melalui cawan atau botol sebelum cuba menyusukan si comel. Ingat! Bayi yang tenang lebih mudah menerima payudara ibu berbanding dia di dalam keadaan yang sebaliknya.
2. Lakukan di tempat selesa dan tidak banyak gangguan atau menarik perhatian bayi
Sekiranya bayi sering terganggu dengan bunyi bising ataupun lampu, lakukan sesi penyusuan di dalam bilik. Sekiranya ia dilakukan pada waktu malam, malapkan lampu. Langkah memasang muzik latar atau alunan zikir boleh dicuba kerana ia boleh mencipta suasana yang tenang untuk bayi semasa menyusu.
3. Banyakkan sentuhan kulit ke kulit di antara mama dan anak
Walaupun bayi enggan menyusu, biarkan dia sentiasa berasa selesa dengan bau badan mamam. Biarkan sahaja dia tertidur di atas dada mama. Dengan cara sentuhan kulit ke kulit ini, ia dapat membantu mama mengenal pasti tanda-tanda ingin menyusu (feeding cue) yang biasa ditunjukkan oleh anak. Jadi, mama berkemampuan untuk memulakan pemberian susu ibu lebih awal dan tidak menunggu sehingga bayi berasa terlalu lapar.
Pendek kata, jangan berpisah daripada bayi dan jadikan dada mama sebagai tilam untuknya.
4. Tawarkan payudara sekerap mungkin dalam apa jua keadaan
Tidak kira sama ada ketika itu bayi sedang bermain atau telah memberi petunjuk tanda-tanda mahu menyusu, baru bangun daripada tidur mahupun mengantuk. Tidak kisah bila-bila masa pun boleh.
Umpamakan proses memperkenalkan payudara untuk memujuk bayi yang mengalami masalah keliru puting itu sebagai suatu permainan di antara mama berdua. Carilah cara yang bersesuaian untuk menyusu sama ada dilakukan sambil duduk, berbaring, berjalan atau mana-mana posisi yang mama selesa dengannya. Yakinlah! Mama pasti dapat mencari cara yang kreatif untuk memujuk bayi agar kembali menyukai payudara.
5. Pam sedikit payu dara terlebih dahulu
Mama digalakkan untuk memerah atau mengepam dahulu payudara. Mekanisma menyusu menerusi botol berbeza berbanding payudara. Tujuan pemerahan dilakukan adalah bagi memastikan refleks let down berlaku, seterusnya aliran susu menjadi jalan lancar semasa proses penyusuan berlangsung. Percayalah, ia dapat memudahkan bayi menghisap payudara dengan tenang dan selesa.
6. Pujuk bayi dengan suara yang lembut dan mesra
Sekiranya bayi tidak mahu menerima payudara, jangan tunjukkan rasa kecewa mama kepadanya. Sebaliknya, teruskanlah usaha untuk memujuknya. Jika selepas 10 minit mencuba dan bayi masih tidak mahu melekap, maka hentikan sesi itu dan jangan memaksa lagi.
Berikan masa berehat kepada bayi untuk sementara waktu. Cuba sekali lagi tidak lama selepas itu. Lakukannya sekali lagi dalam jangka masa yang lebih pendek! Sekiranya bayi masih tidak mahu juga, tangguhkan sesi itu dan cuba sekali lagi pada masa yang lain pula.
7. Hentikan cubaan
Sekiranya bayi menunjukkan tanda marah dan lapar tetapi masih tidak mahu melekap di payudara, hentikan cubaan dan berikan sedikit susu perahan sebelum mama mencuba lagi sekiranya perlu melakukannya. Ketika memberi susu itu, gunakan cawan atau picagari.
Selepas beberapa waktu, cuba tawarkan payudara sekali lagi. Jika masih gagal, tidak mengapa. Habiskan susu perahan itu atau tambahkan dengan kaedah penyusuan yang biasa anda gunakan.
8. Gunakan alat gendongan bayi
Semasa mengamalkan langkah sentuhan kulit ke kulit, cara selesa lain yang boleh mama lakukan ialah dengan mengamalkan penggunaan alat gendongan bayi seperti ring sling, wrap atau soft structure carrier (SSC).
Penggunaannya menjadikan mama berdua lebih rapat dan sesi itu menjadi lebih lama umpama ‘kembar siam’ ibu dan anak. Cara sebegini juga lebih cepat dan memudahkan anak menerima payudara dengan baik.
9. Biarkan bayi sekadar menjilat payudara terlebih dahulu
Apabila anak sudah mula menerima payudara, dia tidak terus menghisap dengan lahap. Kebiasaannya dia hanya menjilat terlebih dahulu, kemudian mengemam atau menghisap kosong.
Itu adalah permulaan yang cukup baik. Walaupun hisapan itu hanya untuk memberi keselesaan atau comfort suckle dan bukannya untuk menghisap mengeluarkan susu ibu, sekurang-kurangnya bayi sudah mula menerima puting.
10. Lakukan breast compression
Apabila anak sudah mula melekap dan menghisap payudara dengan betul, aliran susu yang lebih laju akan membantu bayi dalam menyusu. Untuk itu, mama boleh melakukan breast commpression atau memampatkan payudara bagi membantu meningkatlan aliran susu. Hal ini kerana bayi biasanya menggemari aliran yang laju.
11. Gunakan supplementary nursing system
Mama yang sedang dalam proses relaktasi dan mahu meningkatkan pengeluaran susu ibu boleh mempertimbangkan untuk menggunakan supplementary nursing system atau alat tambahan yang membantu proses penyusuan menggunakan tiub.
12. Gunakan nipple shield dengan nasihat
Sekiranya mahu menggunakan nipple shield, ia dibolehkan dalam kes-kes tertentu. Namun begitu, sebaik-baiknya dapatkan nasihat daripada pakar laktasi atau kaunselor laktasi sebelum menggunakannya. Untuk bayi di bawah satu minggu, elakkan penggunaannya kerana nipple shield boleh menyebabkan gangguan pengaliran susu daripada payudara ke bayi. Malah, ia juga boleh mengganggu penghasilan susu
13. Mandi bersama bayi
Mandilah bersama bayi di bawah pancuran air suam sambil melakukan sentuhan kulit ke kulit dan memerah susu menggunakan tangan. Pengenalan seperti ini lebih medekati alam rahim di mana air ketuban yang suam membuatkan bayi berasa tenang dan lebih mudah membuatkan dia menerima payudara.
14. Lakukan rangsangan oral
Mama boleh mengurut lidah, pipi bahagian dalam kiri dan kanan serta lelangit bayi. Lakukan ini sekerap mungkin. Ia sangat membantu mengembalikan bayi ke payudara.
Pemberian susu menggunakan botol tidak menggunakan semua otot mulut kerana mekanisme hisapannya berbeza. Maka, rangsangan oral ini sangan membantu. Lebih kerap mama lakukannya, lebih cepat untuk anak menerima payudara.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Stop, Bayi Tak Boleh Minum Air Masak! Jom Ketahui Sebabnya

“Baby haus tu, tak cukup susu, bagilah dia minum air masak.” STOP! Jika anda menerima saranan seperti ini jangan lakukannya. Jom ketahui mengapa baby tidak boleh meminumnya.
Bayi meninggal
Baru-baru ini, seorang bayi kehilangan nyawa disebabkan ibunya memberikannya minum air mineral. Apa yang menyedihkan bayi malang tersebut baru sahaja tiga hingga empat jam dilahirkan.
Berita ini merupakan status daripada salah seorang pengguna media sosial Twitter yang berkongsi pengalamannya mengendalikan kes kematian tersebut yang berpunca daripada kecuaian ibunya sendiri.
Obviously, anda tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan bayi di bawah usia enam bulan untuk minum air masak. Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh kerana ia boleh mengakibatkan komplikasi serius kepada bayi yang diberikan air masak.
Sebab tak boleh minum air masak
Sebenarnya, ia bukan sahaja berkenaan dengan air masak. Tetapi apa sahaja air selain daripada susu ibu atau susu formula khas bayi, tidak ada air yang boleh diberikan kepada bayi. Ingin tahu apa kesannya kepada bayi kalau diberikan juga minum air selain daripada susu?
Faktor utamanya adalah kerana susu sama ada susu ibu ataupun susu formula sudah mempunyai kandungan air yang mencukupi untuk keperluan dan kesihatan bayi. Susu ibu sahaja sudah mempunyai 88 peratus air yang sangat mencukupi untuk bayi.
Biasanya, selepas dilahirkan, ibu-ibu akan diminta untuk terus menyusukan bayi buat kali pertama. Susu yang diberikan itu adalah susu jenis kolostrum dan ia sudah cukup untuk menghindari bayi daripada mengalami dehidrasi.
Ini kerana memberikan air kepada bayi di bawah usia enam bulan boleh mengakibatkan kesan bahaya kepada mereka. Keadaan ini dipanggil water intoxication, ia berlaku apabila bayi diberikan air lebih daripada yang diperlukan.
Apa itu water intoxication
Menurut American Academy of Pediatrics, susu ibu dan susu formula sudah memberikan semua penghidratan yang diperlukan bayi. Pemberian air, walaupun tampak seperti tidak berbahaya sebenarnya boleh mengakibatkan kematian kepada bayi akibat water intoxication.
Ia berlaku disebabkan buah pinggang bayi masih belum matang, maka air yang diberikan secara berlebihan menyebabkan badan mereka memasuki keadaan hyponatremia dan masalah ini boleh menjejaskan fungsi otak.
Susu ibu mahupun susu formula mempunyai kadar kandungan air lebih daripada 80 peratus, sedangkan badan manusia hanya mengandungi antara 70 hingga 80 peratus air. Boleh bayangkan tak keadaan bayi kalau dengan peratusan air yang terkandung dalam susu ditambah pula dengan pemberian air?
Dalam kaedah perubatan, keadaan ini akan menyebabkan kepekatan garam sodium (Na) dalam darah bayi menjadi cair (diluted). Apabila sel otak bayi terdedah kepada darah yang cair, ia akan mengembang dan bayi berdepan risiko yang tinggi untuk mengalami sawan (seizures).
Susu ibu sudah mencukupi dan seandainya anda memberikan susu formula, pastikan anda mengikut sukatan air yang ditetapkan. Usah menambah jumlah air, ia boleh menyebabkan nutrisi yang diperlukan bayi menjadi tidak cukup.
Jika bayi masih menangis selepas diberikan susu, ia tidak bermakna bayi itu masih lapar dan perlu diberikan air tambahan. Tetapi bayi anda mungkin menangis disebabkan rasa tidak selesa, berak atau kencing atau keadaan cuaca yang panas/sejuk.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Buat Smoothies Waktu Sahur & Elak Makanan Bergoreng, Tip Untuk Ibu Menyusu Yang Nak Berpuasa

Adakah menyusu badan ketika berpuasa boleh mendatangkan kesan kepada anak? Bagaimana pula caranya untuk mengekalkan bekalan susu pada bulan Ramadan?
Bolehkah ibu menyusu badan ketika berpuasa?
Sama seperti ibu hamil yang ingin berpuasa, ibu yang menyusu badan juga diberikan kelonggaran untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadan.
Kebanyakan sarjana Islam percaya wanita yang menyusu dibenarkan untuk tidak berpuasa, sama seperti mereka yang tidak sihat atau sedang bermusafir.
Hakikatnya, sama ada anda mahu berpuasa atau tidak, ia harus bergantung kepada beberapa perkara dan paling utama melibatkan usia bayi.
Dikatakan terdapat perbezaan antara bayi yang masih kecil dan hanya menyusu berbanding bayi berusia setahun yang sihat serta sudah mengambil makanan pejal lain.
Sebelum memutuskan sebarang keputusan, sebaiknya anda disarankan untuk merujuk kepada:
- Ahli keluarga atau rakan-rakan yang pernah mempunyai pengalaman menyusu badan ketika berpuasa
- Doktor atau pakar berkaitan penyusuan
- Pakar agama
Wujudkah risiko kepada bayi menyusu badan ketika berpuasa?
Sebenarnya, berpuasa tidak akan mendatangkan sebarang risiko bahaya kepada bayi.
Ini kerana badan anda masih boleh menghasilkan susu semasa anda berpuasa. Pengambilan kalori yang kurang seharusnya tidak akan menjejaskan jumlah penghasilan susu.
Sistem badan secara automatik akan membuat penyesuaian dan mengubah cara penggunaan kalori yang ada serta membebaskan tenaga dengan lebih baik sebagai tindak balas kepada kekurangan makanan dan air.
Dikatakan, sekiranya seorang wanita yang menyusu badan tidak makan selama 24 jam, kuantiti dan nilai nutrisi susu yang terhasil tidak akan terjejas.
Malahan, sekiranya berlaku perubahan pada badan, sudah tentu anda akan dapat merasainya terlebih dahulu dan akan berhenti berpuasa jika kesan tersebut menjejaskan penghasilan susu.
Bagaimana risiko terhadap diri jika menyusu badan?
Selalunya, wanita yang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan dan menyusukan anak, tidak akan mengalami sebarang masalah. Badan anda dipercayai dapat bertahan sepanjang tempoh berpuasa itu.
Walau bagaimanapun, proses penyusuan pastinya akan membuatkan anda berasa lebih dahaga. Jika anda mengalami dehidrasi semasa berpuasa, anda akan berasa tidak sihat.
Antara tanda dehidrasi yang boleh dikenal pasti adalah:
- Berasa sangat dahaga
- Air kencing berwarna gelap dan berbau kuat
- Berasa seperti hendak pitam, lemah atau lesu
- Berasa sakit kepala atau sebarang kesakitan lain
Jika anda menyedari sebarang tanda yang dinyatakan, anda disarankan untuk berbuka dengan meminum air dan berehat.
Jika keadaan masih tidak berubah selepas 30 minit, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
Seperti yang dinyatakan, berpuasa tidak akan menjejaskan penghasilan susu, tetapi perhatikan tanda-tanda jika bayi tidak mendapat susu yang mencukupi, seperti:
- Kurang membuang air, bayi baru lahir perlu kencing beberapa kali sehari
- Najis berwarna kehijauan
- Tangisan nyaring dan berpanjangan atau kerap meragam
- Turun atau tidak berat badan si manja
- Jika anda berasa bayi kuat menyusu badan ketika berpuasa, berikut dikongsikan beberapa tip yang boleh anda amalkan bagi memastikan penghasilan susu tidak terjejas.
Pengambilan air mencukupi
Adalah normal untuk berasa dahaga ketika berpuasa. Jadi anda disarankan untuk memastikan pengambilan 2-3 cawan air pada waktu sahur dan berbuka pada bulan Ramadan.
Selepas berbuka, pastikan ada botol air berhampiran anda untuk memudahkan anda minum. Sebolehnya, cuba untuk habiskan 2 botol air.
Sekiranya anda bangun pada tengah malam untuk menyusukan bayi, jangan lupa untuk minum sedikit air.
Elakkan air manis agar anda dapat memfokuskan kepada pengambilan air kosong yang secukupnya.
Smoothie pada waktu sahur
Sebagai tambahan kepada makanan bersahur yang biasa, anda boleh menambahkan jumlah kalori dengan pengambilan smoothie.
Jika anda tidak mampu mengambil segelas penuh smoothie, cuba untuk mengambil secawan smoothie pada ketika bersahur.
Elakkan makanan bergoreng
Pengambilan kalori yang cukup ketika menyusukan bayi adalah penting, tetapi pengambilan makanan bergoreng secara berlebihan tidak akan memberikan sebarang manfaat nutrisi kepada anda dan bayi.
Pemakanan seimbang dan berkhasiat
Dengan memastikan hidangan makanan anda mempunyai protein, pelbagai sayuran dan karbohidrat semasa bersahur dan berbuka dapat membantu anda melakukan proses menyusu badan ketika berpuasa dengan lancar.
Elakkan makanan yang tinggi kandungan garam bagi mencegah anda cepat berasa dahaga dan keletihan.
Snek selepas berbuka
Beberapa jam selepas berbuka puasa dan sebelum tidur, dapatkan nutrisi tambahan dan kalori dengan pengambilan snek sihat yang dapat membantu menambah tenaga.
Suplemen tambahan
Pengambilan suplemen tambahan pastinya dapat membantu membekalkan tenaga yang diperlukan bagi menyusu badan ketika berpuasa.
Namun, sebelum itu, dapatkan nasihat serta pandangan doktor sekiranya anda mungkin perlu mengambil sebarang supleman tambahan ketika bulan Ramadan.
Pam secara konsisten
Semakin anda kerap menyusu badan, maka akan wujud rangsangan untuk menghasilkan lebih banyak susu. Ia berkait rapat dengan sistem supply & demand.
Lakukan proses pam susu dengan konsisten bagi menghasilkan bekalan susu yang mencukupi. Jika perlu, lakukan juga proses mengepam susu pada waktu malam.
Menyusu seperti biasa
Adalah penting untuk memastikan dan mengekalkan jadual penyusuan bayi seperti biasa. Ini untuk mengelakkan sebarang kemerosotan dalam penghasilan susu.
Sentiasa berada dalam keadaan positif bahawa anda akan dapat memberikan susu yang mencukupi buat si kecil. Elakkan daripada berada dalam keadaan stres, okay mommies?
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI