Latihan pernafasan rupanya boleh mengurangkan sakit kontraksi jika dilakukan dengan betul. Malah proses meneran di dewan bersalin juga dapat dipermudahkan.
Tidak sabar rasanya nak memeluk si kecil dalam kandungan! Tapi rasa takut menghadapi proses bersalin itu tentu ada. Cuak pula rasanya! Apa kata cuba amalkan latihan bernafas ini. Ia boleh dilakukan bila-bila masa bila berkelapangan. Selain memudahkan kelahiran, ia juga dapat membantu anda menghadapi kesakitan semasa proses kelahiran.
Fikirkan perkataan relaks. Ingat ia mempunyai dua suku kata iaitu “re” dan “laks”.
Sewaktu menarik nafas, fikirkan “re”. Manakala semasa menghembus nafas pula, fikirkan “laks”. Berikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan ini. Sebut perkataan “re” dan “laks” berulang-ulang selari dengan corak pernafasan anda.
Dalam pada itu, semasa anda menghembus nafas, cuba lepaskan sebarang tekanan yang mungkin anda alami. Fokuskan kepada otot yang anda tahu ia selalu mengalami ketegangan apabila anda mengalami stres. Setiap kali menghembus nafas juga, anda perlu fikir dalam tempoh yang agak panjang iaitu “laaaks”. Fokuslah kepada hembusan nafas. Tarikan nafas lazimnya akan berlaku secara semula jadi.
Anda juga boleh cuba mengira setiap kali melakukan latihan bernafas. Semasa menarik nafas, kira sehingga tiga atau empat dengan perlahan (atau sebarang nombor yang anda mahu).
Sewaktu menghembus nafas keluar pula, kira sebanyak tiga atau empat kali lagi. Anda akan dapati bahawa adalah lebih selesa mengira tiga kali untuk tarikan nafas dan empat kali untuk hembusan nafas.
Cuba bernafas melalui hidung dan hembus melalui mulut anda. Hembuslah nafas melalui mulut dengan lembut. Tarik nafas melalui hidung anda dan hembus melalui mulut. Ramai ibu hamil mendapati bahawa membuat bunyi semasa menghembus nafas seperti “Oooh” atau “Aaah” amat membantu. Ketika dalam proses kelahiran kelak, sewaktu di antara sela kontraksi, minum sedikit air untuk mengelakkan mulut anda menjadi kering.
Tarik nafas pendek-pendek menerusi mulut dan lepaskan cepat-cepat melalui mulut juga. Ia seolah-olah anda sedang bernafas dalam keadaan tercungap-cungap. Namun, lakukannya dalam keadaan tenang. Dalam pada itu, jangan kosongkan paru-paru sebelum menyedut nafas seterusnya.
Tarik nafas dua kali melalui hidung dan lepas mengikut mulut. Seterusnya setelah tiada gesaan meneran, hembus nafas seperti biasa.
Tarik nafas dalam-dalam menerusi mulut dan lepaskan dengan sekali nafas secara perlahan-lahan melalui mulut juga.
Langkah ini dilakukan bagi mengelakkan bayi yang sudah pun berada di pintu serviks termasuk ke dalam semula.