Setiap ibu pastinya mahu memberikan yang terbaik buat anak, terutamanya aspek penyusuan eksklusif, kan? Tapi ia tidaklah semudah disangka. Usah bimbang, ada resepi makanan penggalak susu yang boleh dicuba.
(Followers Pa&Ma jom rileks jap, klik link ni! https://bit.ly/3fRSN23)
Cabaran penyusuan eksklusif
Antara cabaran utama ibu-ibu dalam melakukan penyusuan eksklusif adalah untuk memastikan bekalan susu mencukupi bagi memenuhi keperluan si manja.
Tetapi, masalah tersebut boleh diatasi dengan pengambilan makanan penggalak susu yang sihat dan berkhasiat.
Dalam perkongsian artikel ini, ikuti resipi yang sedap dan paling penting berkhasiat untuk ibu. Dalam masa yang sama ia juga dapat meningkatkan bekalan susu badan untuk bayi.
5 resipi makanan penggalak susu sedap
1. Smoothie epal beri
Minuman ini boleh diambil sebagai sarapan atau snek minum petang. Ia dipenuhi dengan buah-buahan yang kaya protein dan nutrien.
Yogurt Greek adalah sumber kalsium yang hebat dan membuatkan anda berasa lebih kenyang untuk tempoh yang lama. Ia mengandungi bakteria dan probiotik sihat yang bagus untuk sistem pencernaan ibu dan bayi.
Bahan-bahan:
3 cawan jus epal
2 biji epal, dicincang halus
2 pisang beku, dipotong dua
2 cawan beri biru beku
2 cawan strawberi beku
1⅓ cawan yogurt Greek kurang lemak
Cara membuatnya:
Campur semua bahan dalam mesin pengisar. Kisarkan sehingga sebati.
Tuangkan smoothie dalam bekas minuman kecil. Sejukkan semalaman dalam peti ais sehingga pekat.
Jangan lupa goncang sebelum minum.
2. Tauhu cili manis dan bijan
Bagi ibu yang sedang mencari menu untuk makan tengah hari, mungkin boleh cuba idea resepi makanan penggalak susu ini.
Tauhu adalah alternatif daging yang baik dan merupakan sumber kalsium. Biji bijan juga tinggi kalsium, selain menjadi sumber serat dan zat besi.
Sebagai penyeri masakan, anda juga boleh menambah lada benggala. Haa, jangan tak tahu lada ini mengandungi lebih banyak vitamin berbanding buah sitrus!
Bahan-bahan:
600g tauhu lembut, dibasuh dan dikeringkan
2 sudu besar biji bijan
1 sudu kecil bawang putih dicincang halus
2 sudu besar kicap
2 sudu besar sos cili manis Thai
1 sudu kecil minyak bijan
¼ cawan daun bawang, dipotong
Cara membuatnya:
Masukkan tauhu ke dalam periuk bersama air sehingga menutupi permukaan tauhu. Masak atas api sederhana sehingga mendidih. Kemudian perlahankan api untuk mengekalkan kepanasan tauhu. Panaskan periuk kecil pada suhu sederhana. Masukkan biji bijan dan masak selama 2 hingga 3 minit sehingga dipanggang dengan baik.
Tumbuk menggunakan lesung batu atau lenyekkan biji bijan yang telah dipanggang sehingga menjadi separuh serbuk. Lakukan kaedah yang sama dengan bawang putih.
Satukan biji bijan, bawang putih, kicap, sos cili dan minyak di dalam mangkuk kecil. Angkat tauhu dengan berhati-hati daripada air rebusan dan potong. Letakkan di atas pinggan dan tuangkan sos yang disediakan tadi. Jangan lupa taburkan daun bawang yang telah dipotong. Sedia untuk dimakan!
3. Daging bersama brokoli tumis
Makanan ini penuh dengan nutrien yang menyokong kesihatan ibu dan bayi. Daging lembu dapat meningkatkan tenaga dan merupakan sumber protein dan zat besi yang hebat. Brokoli pula adalah sumber kalsium dan vitamin A yang bagus.
Resepi ini juga sedap dimakan bersama nasi panas!
Bahan-bahan:
500g daging lembu, dihiris nipis
1 sudu besar jus lemon atau limau nipis
2 sudu besar kicap, dibahagi 2
2 sudu besar minyak zaitun
1 sudu besar bawang putih, dicincang
2 sudu teh halia, dicincang
6 cawan brokoli
2 sudu besar stok ayam/ boleh gantikan dengan campuran air bersama mentega cair
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar tepung jagung dicampur dengan 1 sudu besar air
¼ cawan air
Cara membuatnya:
Campurkan daging bersama jus lemon atau limau nipis bersama 1 sudu besar kicap. Panaskan kuali dan masukkan minyak zaitun. Ratakan seluruh permukaan kuali dengan minyak.
Masukkan daging dan biarkan selama 1 minit sehingga bertukar kecoklatan tetapi tidak masak sepenuhnya. Keluarkan daging ke dalam pinggan dan ketepikan. Masukkan bawang putih dan halia ke dalam kuali, tumis selama 30 saat atau sehingga naik bau wangi. Campurkan brokoli dan tumis untuk tempoh seminit atau sehingga warnanya bertukar menjadi hijau terang.
Kemudian, masukkan ¼ cawan air dan tutup kuali. Biarkan selama 2 minit atau sehingga brokoli menjadi lembut.
Campurkan 1 sudu besar kicap, stok ayam dan sos tiram ke dalam kuali. Biarkan ia mendidih dan masak selama 1 minit atau sehingga perisanya bergabung.
Masukkan daging yang telah diketepikan awal tadi ke dalam kuali. Kacau adunan air bersama tepung jagung dan masukkan ke dalam kuali. Masak hingga kuah menjadi pekat. Sedia untuk dinikmati!
4. Puding coklat chia
Puding ini sesuai dijadikan sarapan pagi yang lazat atau pencuci mulut enak. Ia juga makanan penggalak susu terbaik untuk dimakan. Makanan ini turut tinggi kandungan protein dan dapat membuat ibu berasa kenyang.
Bahan-bahan:
1 cawan susu lembu
6 sudu besar biji chia
¼ cawan madu
2 sudu besar serbuk koko
⅛ sudu kecil garam
1 sudu kecil ekstrak vanila
Pilihan untuk topping: buah beri, cip coklat atau kacang
Cara membuatnya:
Masukkan susu, biji chia, madu, serbuk koko, vanila dan garam ke dalam mesin pengisar. Mulakan kisaran tahap rendah sebelum menukar kepada kisaran lebih tinggi, sehingga campuran bahan-bahan menjadi halus dan sebati.
Puding ini harus mempunyai konsistensi pekat dan ia sedia untuk dinikmati bersama pilihan topping anda.Jika mahukan puding yang sejuk, tuang kisaran ke bekas dengan penutup dan sejukkan dalam peti ais. Sejukkan untuk tempoh 3 hingga 4 jam sebelum dimakan.
5. Booby bites
Snek ini bagus sebagai makanan peningkat tenaga segera. Tambahan pula ia mengandungi bahan seperti oat dan biji rami yang dapat menggalakkan susu.
Bahan-bahan:
1 cawan oat
½ cawan mentega kacang
½ cawan biji rami
⅓ cawan madu
½ sudu besar ekstrak yis
1 sudu kecil ekstrak vanila
½ cawan cip coklat mini
Cara membuatnya:
Campurkan semua bahan kering: oat, biji rami, cip coklat dan ekstrak yis. Masukkan mentega kacang, madu dan vanila. Gaul rata. Sejukkan adunan untuk tempoh sejam.
Keluarkan daripada peti ais dan bentukkan menjadi bebola kecil. Sudah boleh makan!
Baki bebola itu boleh disimpankan dalam bekas kedap udara sebelum dimasukkan kembali ke dalam peti ais. Snek ini boleh tahan sehingga 2 minggu!
Selamat mencuba resepi yang dicadangkan di atas. Moga bermanfaat untuk ibu-ibu yang sedang berusaha melakukan penyusuan eksklusif!
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Tinggal lagi 6 hari sahaja webinar Mama Tak Penat Susukan Anak akan berlangsung. Tahniah & terima kasih admin ucapkan kepada 1000 orang yang sudah mendaftar sebagai peserta webinar terbesar ini. Mohon semua peserta untuk join Telegram Group Mama Tak Penat Susukan Anak di https://t.me/joinchat/a_u8xHQS-09mZDA1 kerana kita akan update segala info, itinerary webinar, pemenang cabutan bertuah, cara nak menang hadiah kuiz semasa webinar. Jadi penting ya untuk semua peserta join Telegram webinar.
Bagi yang belum daftar sebagai peserta webinar, anda boleh daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ kemudian terus join grup Telegram webinar ya.