“Cucu Kini Carta Nombor Satu” “Bunga Jadi Keutamaan Sheila Rusly, Mahu Ringankan Beban Anak, Menantu!

Share

Berbeza dengan anak, kehadiran cucu sememangnya memberikan impak yang besar. Inilah yang sedang dilalui oleh pengarah dan penerbit, Sheila Rusly.

Kehadiran cucu sulungnya, Bunga Elhaq, anak pelakon cantik, Elisya Sandha dan suaminya, Uzair Haqimy ternyata merubah hidup Sheila.

Jika sebelum ini masanya begitu banyak dihabiskan di lokasi penggambaran, kini sebahagian masanya terisi dengan kehidupan penuh makna bersama Bunga.

Bahkan kata Sheila Rusly lagi, cucu kesayangannya itu kini berada dalam carta nombor satu dalam hidupnya dan suami.

“Buat masa ini Bunga segala-galanya. Ke mana sahaja saya pergi atau singgah, memang akan beli barang untuk si kecil ini.

“Bunga carta nombor satu saya. Cuma bab tidur masih dengan ibu dan ayahnya. Saya tidak akan ambil tempat mereka,” kongsi Sheila.

Niatnya cuma satu, mahu membantu dan meringankan sedikit tanggungjawab yang digalas anak dan menantu kesayangannya biarpun punya pembantu yang menguruskan Bunga.

Walau punya pembantu kata Sheila, dia pastikan akan memantau sebaiknya kerana Bunga masih lagi bayi.

“Saya cuma membantu meringankan sikit tanggungjawab anak-anak. Jika ibu dan ayahnya bekerja, saya akan menjaga dan menguruskan Bunga.

“Memang ada dua pembantu yang menjaga, tetapi Bunga masih bayi. Jika ditinggalkan bersama pembantu, saya bimbang kalau-kalau terjatuh dan sebagainya.

“Biarpun saya sendiri ada kerja, sekejap-sekejap akan tengok jam sebab nak balik cepat jumpa cucu,” kongsinya lagi.

Tak Manjakan Cucu, Sekadar Tunjuk Kasih Sayang
Nenek mana yang tidak memanjakan cucunya. Shiela yang menggelarkan dirinya Nanna kepada Bunga ini mengakui tidak terlalu memanjakan Bunga namun mahu menunjukkan rasa kasih dan sayangnya buat cucu tercinta.

“Saya tak manjakan Bunga, saya cuma mahu tunjukkan kasih sayang buatnya. Saya tak akan sekali-kali ‘spoilkan’ cucu saya.

“Cuma, cucu saya perlu tahu yang nana sayang sangat dengan dia. Untuk tunjukkan kasih sayang adalah dengan habiskan masa bersama, fokus pada dirinya,” kongsi Sheila lagi.

Terdahulu, Bunga Elhaq si comel kesayangan keluarga Sheila Rusly ini dilahirkan pada 18 Jun lalu.

Menarik: Bodygoals Betul, Cantik & Langsing-, Bella Astillah Dipuji Tak Macam Anak Dua

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
SRM