Mustahak bagi anda untuk yakin dengan diri sendiri apabila memutuskan mahu menyusukan bayi dengan susu ibu. Walau bagaimanapun, keyakinan ini hanya akan timbul dan menjadi lebih mantap lagi jika anda mempunyai ilmu berkenaan asas penyusuan susu ibu yang betul.
Dengan berbekalkan ilmu, anda mampu menangkis sebarang maklumat kurang tepat yang diberikan oleh mana-mana pihak. Perlu diketahui bahawa tidak semua anggota kesihatan dilatih dalam bidang penyusuan. Oleh itu, rujuklah kepada anggota kesihatan terlatih yang bergelar kaunselor ataupun pakar laktasi.
Kelakuan bayi, kekerapan menyusu, keadaan payu dara, kuantiti susu yang diperah keluar, sensasi pancutan refleks bukanlah cara untuk menentukan sama ada penghasilan susu anda cukup atau tidak.
Sekiranya jumlah lampin basah dan kotor bayi adalah normal (5 – 6 helai lampin basah atau 3 – 4 helai lampin kotor), bermakna bayi mendapat cukup susu. Peningkatan berat badan yang baik (100 hingga 150gram seminggu) juga merupakan petanda bayi mendapat cukup susu. Anda juga perlu menilai sama ada dia peka, cergas, pertumbuhan dan perkembangannya normal dan memeriksa petanda-petanda ini.
Bayi kerap menyusu
Perlu diketahui bahawa susu ibu sangat mudah di hadam (mengambil masa lebih kurang 1.5 hingga 2 jam sahaja). Oleh itu, bayi yang menyusu susu ibu akan menyusu dengan lebih kerap. Faktanya, bayi juga mempunyai keperluan yang tinggi untuk menghisap. Anda akan dapati bayi gemar berada dekat dengan anda supaya dia berasa lebih selesa dan selamat. Ini adalah perkara normal. Jangan pula disalah ertikan sebagai memanjakan bayi.
Kekerapan dan tempoh penyusuan bayi meningkat secara mendadak
Hal sebegini dipanggil growth spurt. Pada waktu ini, bayi akan menyusu dengan lebih kerap (mungkin setiap 1 jam) dan akan sering meragam. Keadaan ini sering membuatkan ibu panik. Situasi ini hanyalah sementara dan akan kembali normal selepas beberapa hari hingga seminggu. Growth spurt biasanya berlaku selepas bayi dilahirkan, 7 – 10 hari, 2 – 3 minggu, 4 – 6 minggu, 3 bulan, 4 bulan, 6 bulan dan 9 bulan. Ini merupakan anggaran sahaja. Yang pasti, setiap bayi adalah berlainan.
Jadi, anda perlu bersedia untuk menangani cabaran ini. Growth spurt merupakan satu proses semula jadi yang mana kekerapan penyusuan oleh bayi dapat membantu anda meningkatkan penghasilan susu. Anda dinasihatkan untuk tidak mengambil sebarang suplemen ketika ini kerana ia akan memberikan isyarat negatif kepada tubuh. Kesannya, penghasilan susu akan berkurangan.
Bayi meragam
Kebanyakan bayi akan meragam terutamanya pada waktu petang dan malam. Biasanya ia akan reda setelah beberapa ketika. Cara paling baik untuk menenangkan bayi ialah mendukung, memeluk dan kerap memberi payu dara sebelum dia mula meragam. Bayi hanya mahu dibelai dan ingin rasa selamat kerana selama ini dia berada di dalam rahim yang keadaannya sangat tenang.
Tip posisi penyusuan selepas pembedahan caesarean
- Posisi penyusuan yang paling sesuai adalah posisi mengiring.
- Letakkan bantal-bantal di bahagian belakang, celah kaki dan dada sebagai sokongan badan.
- Anda hanya perlu tinggi atau rendahkan bantal supaya bayi boleh mendapat susu daripada kedua-dua belah payu dara tanpa perlu menukar arah.
- Dapatkan bantuan daripada sesiapa yang ada berhampiran.
- Gunakan bantal menyusu supaya dapat membantu anda untuk mengurangkan sakit di perut ketika menyusu.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI