Culas mengambil asid folik secara teratur memberi kesan kepada anak yang dikandungi. Tidak berupaya ‘menghidu’ masalah di peringkat awal kehamilan, Ermy Nadirah, 32 tahun dan anaknya Khair Irman, 5 tahun kini akur dengan ketentuan melalui pelbagai cabaran berkaitan spina bifida.
Jangka masa antara tiga hingga empat minggu kehamilan sangat penting kerana proses pembentukan janin sedang berlaku. Oleh itu pengambilan asid folik sangat penting di awal usia kehamilan. Asid folik membantu dalam perkembangan otak dan saraf tunjang bayi yang mampu mengelakkan masalah seperti spina bifida. Ia perlu diambil setiap hari secara konsisten.
25 Oktober saban tahun merupakan Hari Spina Bifida dan Hydrocephalus Sedunia. Berhati-hati penulis menyusun soalan-soalan agar tidak mengguris perasaan Ermy, ibu kepada Irman, si kecil yang dilahirkan dengan mempuanyai masalah spina bifida. Kini, Irman langsung tidak menampakkan bahawa dirinya merupakan seorang pesakit spina bifida.
Ternyata, ibu muda kepada dua orang putera ini sangat terbuka dan bersedia berkongsi cerita tentang masalah yang dihadapi anak keduanya itu. “Semasa mengandung, tak ada apa-apa tanda saya alami. Cuma semasa usia kandungan sembilan bulan, saya perasan bentuk perut nampak lain. Semasa doktor check up, dia tak dapat kesan apa-apa. Ujian darah dan urin saya, normal dan tiada masalah.
Sepanjang hamil, dua kali saya jalani ujian imbasan. Saya juga ada buat ujian yang sama di klinik swasta sewaktu kandungan enam bulan tetapi tak nampak apa-apa petanda masalah. Doktor hanya dapat tahu Irman mengalami spina bifida, setelah dia selamat dilahirkan.
Doktor terus larikan dia ke NICU untuk pemeriksaan lanjut. Saya langsung tak berpeluang menyentuh Irman. Dia lahir jam 1.52 pagi. Keesokan paginya, jam 8, barulah dapat berjumpa dengannya. Pada masa itu, doktor terangkan keadaan Irman. Dia mengalami spina bifida jenis myelomeningocele yang berpunca daripada kekurangan asid folik.”
Tenang ketika mendengar penjelasan doktor, Ermy mengakui kesilapan tanpa sedar yang dilakukannya. Bercerita dengan lebih lanjut, Ermy memberitahu, “Saya hanya mula makan asid folik semasa kandungan berumur dua bulan. Ada harinya saya makan, ada juga yang saya langkau. Daripada situlah punca masalah ini berlaku.
“Masa dapat tahu, saya dan suami serahkan sepenuhnya kepada doktor untuk membantu Irman. Oleh sebab di Hospital Kuala Lumpur (HKL) lebih banyak doktor pakar, maka dia segera dihantar ke sana untuk menjalani pembedahan bagi membetulkan kedudukan saraf tulang belakang yang terkeluar.”
Biarpun berhadapan dengan risiko lumpuh, kepala berair dan pelbagai komplikasi lagi, Ermy dan suami redha dengan ujian daripada Allah.
“Kami tidak hirau lagi. Apa yang penting, Irman sihat. Syukur, dia membesar seperti kanak-kanak lain cuma saraf berkaitan perkumuhannya tidak normal. Dia tidak pandai meneran untuk membuang air kecil mahupun besar. Setiap empat, saya perlu keluarkan lebihan air kencingnya menggunakan tiub yang dibekalkan oleh pihak HKL. Sehingga kini, Irman masih menggunakan lampin pakai buang bagi membantu dia melakukan pembuangan kumuh dengan selesa.”
Bergelar pesakit spina bifida bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi ketika memasuki alam persekolahan. Itulah yang dikhuatiri Ermy dan diri Irman sendiri. “Irman pernah tanya, bagaimana nanti jika dia ke sekolah. Apa yang akan jadi jika tiba masanya untuk dia membuang air. Kanak-kanak lain boleh membuang air di tandas tetapi tidak untuk Irman. Dia akan membuang tidak kira masa atau tempat disebabkan tiada berupaya mengawal keadaan itu.
Selain itu, Irman akan berulang alik ke Hospital Rehabiliti di Cheras untuk pemantauan kakinya. Walaupun boleh berjalan tetapi dia tidak boleh berdiri tegak. Dia banyak bergantung pada tumit kaki. Disebabkan itu, dia perlu memakai anggota tiruan iaitu ankle foot orthosis.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Ermy mengakui dia kuat dan sentiasa bersemangat melalui kehidupannya dengan Irman kerana mendapat sokongan kuat daripada suami dan keluarga. Malah, setahun kebelakangan ini dia mula menyertai kumpulan sokongan spina bifida yang diwujudkan bagi membolehkan ibu bapa terbabit berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing.
“Lebih kurang setahun lepas, saya sertai grup spina bifida. Banyak kelebihan grup ini. Kami yang masing-masing ada anak spina bifida bersemangat mengharungi cabaran membesarkan anak-anak ini. Ada kalangan ahli di grup ini punyai anak yang sudah bersekolah menengah. Jadi, mereka lebih banyak pengalaman yang dapat dikongsikan dengan yang lain.
Bertuah saya dipertemukan dengan grup ini. Jika tahu dapat daripada awal, tentu banyak maklumat yang saya peroleh. Ketahuilah, spina bifida berlaku satu dalam 1,000 kelahiran. Bila sertai grup sokongan, dapatlah kita bertukar-tukar ilmu dan pendapat. Sangat beruntung bagi ibu bapa yang mempunyai bayi mengalami spina bifida menyertai grup sebegini.”