Cuti Bersalin 90 Hari. Bakal Dilaksanakan Mulai 2021 Untuk Sektor Swasta

Share

Berita gembira buat golongan wanita apabila tempoh cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari ke 90 hari mulai 2021.

Cadangan tersebut antara perkara diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Pembentangan Belanjawan 2020 di bawah strategi memodenkan pasaran buruh.

Kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 meliputi empat perkara termasuk tempoh cuti bersalin, bagi memastikan akta tersebut kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia pernah mengeluarkan kenyataan akan meminda Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pekerja wanita di sektor swasta menikmati cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya juga akan meminda akta sama bagi membolehkan golongan bapa turut diberi cuti ‘paterniti’ (cuti isteri bersalin) selama tiga hari.

Seperti yang sedia maklum Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa supaya cuti paterniti sekurang-kurangnya tujuh hari diperkenalkan dalam sektor swasta berikutan pindaan Akta Kerja 1955.

Pada masa ini, golongan bapa di sektor swasta tidak layak daripada segi perundangan untuk cuti paterniti manakala golongan bapa dalam sektor awam menikmati tujuh hari cuti paterniti bergaji.

Selain cuti bersalin 90 hari, kelayakan bayaran lebih masa bagi golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 dinaikkan kepada RM4,000 sebulan.

Ketiga, menambah baik pengendalian aduan gangguan seksual dari segi perlindungan dan prosedur.

Keempat, memantapkan peruntukan berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan contohnya agama, kaum atau jantina.

Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambah baik kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Bukan itu sahaja bagi wanita yang sebelum ini pernah bekerja tetapi berhenti atas sebab-sebab tertentu, kerajaan bakal wujudkan 33,000 pekerjaan bagi wanita berumur 30 hingga 50 tahun yang berhenti kerja setahun atau lebih.

Sumber: Bernama News Channel & Metro

Published by
Wan Amy