Dah 18 Bulan Tapi Anak Masih Tak Pandai Berjalan, Mak Ayah Cepat Bantu!

Share

Meniarap sudah, merangkak pun sudah. Kini anak memasuki fasa untuk berjalan namun mengambil masa yang agak lama sebelum anak benar-benar boleh berdiri dan seterusnya melangkah setapak demi setapak. Ibu bapa tidak perlu risau sekiranya anak sudah pun menunjukkan tanda untuk berjalan, hanya rangsang sebaik mungkin untuknya kekal yakin melangkah.

Apa yang perlu dirisaukan adalah jika pada usia 18 bulan anak masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berjalan. Ada perkara yang anda perlu ketahuai apabila anak lambat berjalan.

Jangan tunggu, sebaliknya cuba rangsang anak dan cepat-cepat merujuk masalah ini pada pakar selayaknya bagi menilai perkembangan anak anda. Dikhuatiri anak-anak berdepan risiko, seperti yang dikongsikan oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad ini di facebooknya. Jangan terlambat untuk bertindak.


PERKEMBANGAN KANAK-KANAK YANG LEWAT BERJALAN

Kebanyakan kanak-kanak sudah mampu berjalan pada umur setahun. Secara umum 85% kanak-kanak mula berjalan tanpa berpegang sekitar umur antara 10-14 bulan. Sekiranya anak anda belum mampu berjalan semasa umurnya mencecah 18 bulan, beliau boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang lewat berjalan.

Kemampuan berjalan adalah suatu tahap perkembangan yang sangat penting bagi seseorang kanak-kanak. Selain itu terdapat tahap-tahap perkembangan otot kasar (gross motor) lain yang boleh diperhatikan di peringkat lebih awal.

Berikut ialah kemampuan otot kasar serta umur yang mana seseorang bayi sepatutnya mencapai perkembangan tersebut :

• Kawalan kepala – Umur 3 bulan
• Kaki memijak – Umur 4 bulan
• Meniarap – Umur 6 bulan
• Duduk tanpa bantuan – Umur 9 bulan
• Berdiri tanpa sokongan – Umur 12 bulan

Punca menyebabkan seseorang kanak-kanak itu lewat berjalan?

Sekiranya seseorang bayi didapati lewat berjalan, salah satu daripada faktor-faktor berikut mungkin boleh berperanan:

1. Faktor keluarga atau keturunan : Sekiranya ibu atau bapa kanak-kanak tersebut sendiri mengalami masalah lewat berjalan semasa mereka kecil, anak mereka mungkin menghadapi masalah yang sama disebabkan faktor keturunan. Walau bagaimanapun sekiranya ibu atau bapa mampu berjalan semasa berumur 2 tahun serta tiada masalah perubatan yang lain, kemungkinan besar tiada apa yang perlu dirisaukan tentang anak mereka.

2. Kelahiran pra matang : Secara umumnya bayi yang dilahirkan pra matang atau ‘premature’ akan mengalami sedikit kelewatan perkembangan secara keseluruhan, termasuk lewat berjalan. Jadi kelewatan sekitar 2-3 bulan mungkin tidak menjadi masalah, bergantung kepada tahap bayi tidak matang tersebut semasa lahir.

 

3. Cerebral palsy :

a) Kanak-kanak yang menghadapi masalah cerebral palsy biasanya boleh dikesan di peringkat awal, terutama sekiranya mereka mempunyai risiko-risiko berkaitan seperti lemas semasa kelahiran atau kelahiran kurang matang. Walau bagaimanapun ada kanak-kanak cerebral palsy hanya dikesan apabila mereka diperiksa oleh doktor kerana lewat berjalan.

b) Kanak-kanak cerebral palsy umumnya mengalami kekejangan otot serta kesukaran menggerakkan anggota badan dengan baik. Contohnya, mereka sukar duduk bersila tetapi memilih untuk duduk dengan kaki dilipat ke belakang (posisi ‘W’), atau mereka tidak merangkak secara normal tetapi lebih kepada mengheret kaki.

4. Lewat perkembangan secara umum :

a) Ini bermaksud masalah lewat berjalan kanak-kanak tersebut adalah sebahagian daripada lewat perkembangan dalam aspek lain seperti bercakap, komunikasi, sosial, kemahiran tangan dan kognitif (berfikir).

b) Terdapat banyak punca-punca lewat perkembangan global. Antaranya ialah masalah sindrom seperti Down syndrome, kecederaan otak disebabkan lemas atau jangkitan kuman, atau pelbagai penyakit kronik yang lain.

5. Masalah otot :

a) Ini termasuk penyakit-penyakit yang dikenali sebagai muscular dystrophy, spinal muscular atrophy dan congenital myopathy. Penyakit-penyakit ini menyebabkan banyak otot-otot badan menjadi lemah.

b) Tanda-tanda awal mungkin boleh dikesan semasa peringkat bayi dan kanak-kanak lagi. Antaranya ialah bayi terasa lembik semasa digerakkan, kawalan kepala yang lemah dan kurang kekuatan pergerakan kaki dan tangan. Oleh itu mereka biasanya lewat berjalan, bahkan ada yang langsung tidak mampu berjalan atau berdiri.

Kebiasaannya kanak-kanak di Malaysia akan diperiksa pada umur setahun semasa ketika pengambilan suntikan imunisasi. Sekiranya anak anda masih tidak mampu berdiri semasa berumur setahun atau mengalami masalah perkembangan lain, anak anda mungkin akan dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut.

 

Secara umumnya, kanak-kanak yang tidak mampu berdiri semasa berumur setahun dan tidak berjalan semasa berumur 18 bulan perlu diperiksa oleh doktor. Mereka mungkin perlu dirujuk kepada pakar kanak-kanak. Walau bagaimanapun itu tidak semestinya bermakna kanak-kanak itu mempunyai masalah kesihatan.


Artikel berkaitan: Trauma Anak Cedera Naik Baby Walker, Doktor Sarankan Cara Ni Latih Anak Berjalan

Nak macam-macam info? Jom join telegram Pa&Ma D Parents https://t.me/pamadparents

https://t.me/pamadparents

Published by
SRM