
Pelakon, Elfira Loy, 29, kongsikan gambar bersama anak-anak menyambut hari raya di kediaman ibunya. Di dalam posting tersebut, dia menyatakan bahawa putera lelakinya iaitu Muhamad Rayyan Khalaf dah makin membesar menjadi ‘bigboy’.
Rasanya macam baru sahaja melihat posting Elfira Loy di instagram milik anak sulungnya zaman rambut curl Rayyan waktu kecil. Sungguh cepat masa berlalu! Mesti Elfira rindukan momen bersama cahaya mata pertamanya semasa kecil.
Rata-rata memuji kecomelan dan ketampanan putera sulung Elfira Loy ini. Antara komen netizen yang ditinggalkan:
Sebelum ini, ada juga netizen yang sampai minta Elfira untuk mempunyai anak lagi disebabkan anak-anaknya terlalu comel. Aduhai, netizen.

Elfira yang juga ibu kepada dua cahaya mata berkata bukan mudah sebenarnya untuk melalui proses kehamilan, bersalin apatah lagi membesarkan anak-anak. Tambahnya lagi, dia belum punya perancangan untuk menambah bilangan cahaya mata.
“Kalau beranak senang macam mesin fotostat, dah lama saya beranak 10 orang,” seloroh Elfira. -KOSMO
Nak menang cash bernilai RM4000? Jom, hantarkan foto OOTD Sedondon Raya bersama anak anda di 👉🏼 SINI
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini juga sering berkongsi mengenai kesihatan cahaya matanya. Ramai yang mendoakan agar cahaya mata kesayangan Elfira sering diberikan kesihatan yang berpanjangan dan membesar dengan sihat.
Elfira Loy dan suami, Faris Khairol telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 1 Januari 2019 di Cyberjaya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Musim Covid-19 Tengah Menular Digalakkan Guna Hand Sanitizer. Menteri Agama Terangkan Hukum Pakai Pencuci Tangan Beralkohol Ketika Solat

Isi Kandungan
TogglePertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pendemik sekaligus menegaskan penularan dan keadaan wabak itu yang teruk dan sangat membimbangkan.
Pandemik bermaksud wabak penyakit yang tersebar begitu meluas merentasi sempadan malah hingga ke seluruh dunia. Sehingga ke hari ini lebih 118,000 orang di 114 negara telah dijangkiti Covid-19 dan telah meragut 4,291 nyawa, malah angka tersebut dijangka terus meningkat.
Justeru itu, dalam mengurangkan risiko jangkitan virus tersebut, langkah-langkah pencegahan amatlah disarankan kepada orang ramai. Salah satunya adalah dengan kerap mencuci tangan sama ada menggunakan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.
Tapi mungkin ada yang tertanya-tanya apakah boleh menggunakan hand sanitizer yang beralkohol semasa melalukakn solat. Apakah ia dikira sebagai najis kerana kandungan alkohol di dalamnya.
Ketahui penerangan yang terperinci oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri merangkap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri tentang persoalan ini.
Hukum Gunakan Hand Sanitizer Beralkohol Ketika Solat.
Soalan
Assalamualaikum Dato. Terdapat masjid yang meletakkan pencuci tangan pada pintu masjid. Jadi, bolehkah menggunakan hand sanitizer ketika melakukan solat adalakah ia dikira najis disebabkan ada alkohol di dalamnya. Mohon pencerahan Dato. Terima kasih
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Dalam melakukan ibadah solat, di antara syarat sah solat yang wajib dipatuhi adalah menghilangkan najis yang terdapat pada badan dan pakaian. Persoalan pada kali ini adalah untuk menjelaskan penggunaan hand sanitizer (Pencuci Tangan) ketika hendak melakukan solat. Justeru sebaiknya kita membahaskan tentang apa yang terdapat pada kandungan dan bahan yang digunakan di dalam hand sanitizer (Pencuci tangan) itu sendiri.
Hand Sanitizer (Pencuci Tangan)
Penggunaan sanitizer adalah bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat pada permukaan kulit. Ia juga merupakan bahan yang efektif dalam membunuh kuman dan bakteria berbanding mencuci tangan menggunakan air dan sabun.
Menurut garis panduan daripada Food and Drug Administration (FDA) setiap kandungan produk hand sanitizer yang dipasarkan mestilah mengandungi ethyl alcohol (ethanol), isopropyl alcohol (isopropanol) atau benzalkonium klorida sebagai bahan utama.[1]
Selain itu, terdapat juga hand sanitizer yang menggunakan bahan selain daripada alcohol untuk membunuh mikroorganisma dan bakteria seperti povidone-iodine atau triclosan.
Sukatan yang digunakan mengikut jenis bahan yang diletakkan di dalam hand sanitize (Pencuci Tangan). Mengikut World Health Organization (WHO) menetapkan garis panduan dengan menyatakan bahan kimia yang digunakan di dalam 10liter hand sanitizer mestilah mengandungi 8333ml daripada 96% ethanol, 417 daripada 3% hydrogen peroxide dan145 daripada 98% glycerol atau 7515ml daripada 99.8% isopropyl alcohol, 417ml daripada 3% hydrogen peroxide dan 145% daripada 98% glycerol. [2]
Hukum Penggunaan Alkohol
Menuru jumhur ulama alkohol merupakan najis kerana ia termasuk di dalam cecair yang memabukkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/183-184). Ini seperti hadis yang diriwayat oleh Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:
كُلَّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَأَنَّ كُلَّ خَمْرٍ حَرَامٌ
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram.”
Riwayat Muslim (2003)
Selain itu, Prof. Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari menyebut di dalam kitabnya menyatakan para ulama berselisih pandangan tentang sama ada arak najis atau tidak. Pada dasarnya, ulama bersepakat tentang arak adalah najis, tetapi mereka berselisih tentang sifat kenajisannya. Segolongan ulama berpendapat arak merupakan najis dari segi ainnya. Manakala menurut pendapat yang lain arak tidak najis dari segi ainnya. Sebaliknya najis dari segi maknawi iaitu tidak boleh diminum kerana ia merupakan sesuatu yang kotor sperti dadah dan seumpanya. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa, hlm. 598)
Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (ms. 74) juga menyatakan: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun. Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembut dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”
Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
- Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alcohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
- Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
- Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
- Tapai halal dimakan.
- Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.
- Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Begitu juga boleh rujuk artikel di laman web PMWP yang bertajuk IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-185: MENGGUNAKAN ALCOHOL SWAB DAN MINYAK WANGI BERALKOHOL untuk maklumat lebih lanjut.
Kesimpulan
Kemunculan penularan virus Covid-19 telah melanda negara kita, oleh itu perlaksanaan menjaga kebersihan merupakan faktor utama bagi mengurangkan risiko dalam jangkitan virus ini. Justeru, timbul persoalan berkenaan dengan penggunaan hand sanitizer (Pencuci Tangan) semasa melakukan solat adakah ia dikira sebagai najis kerana kandungan alkohol di dalamnya
Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan pendapat ulama yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa hand sanitizer (pencuci tangan) adalah tidak najis dan boleh digunakannya ketika hendak melakukan sembahyang serta tidak dikira menanggung najis. Ini jelas seperti yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa fatwa Majlis Kebangsaan iaitu Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.
sumber: Muftiwp
[1] https://www.livescience.com/hand-sanitizer.html
[2] https://en.wikipedia.org/wiki/Hand_sanitizer#cite_ref-Boyce2002_5-9
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Berjam-Jam Pakai Berbalut Macam Lepat Pisang, Kau Banggakan Aku.” Luahan Abang Seorang Doktor

Isi Kandungan
ToggleSedihnya bila baca pengakuan ini. Dari seorang abang untuk adiknya yang merupakan seorang doktor. Yang kini sedang bertugas memerangi wabak koronavirus. Dari awalnya si abang menceritakan kisah mereka semasa kecil sehingga adiknya berjaya melanjutkan pelajaran dalam kursus perubatan di Ireland.
Lebih menyayat hati apabila si abang menjadi wali ketika hari pernikahan adiknya. Betapa berat hati seorang abang untuk melepaskan adiknya kepada seorang lelaki. Kemudian diteruskan dengan cerita adiknya yang merupakan seorang doktor yang bertugas sebagai frontliner.
Ikuti pengakuan ini.
Sebenarnya aku takde nak buat confession apa-apa. Cuma nak bagi penghargaan pada adik aku yang sangat-sangat aku agung. Maaflah confession ni panjang sedikit ye. Sikit pengenalan diri. Aku Hafiz. 32 tahun. Masih bujang. Ok setel pengenalan. Coretan ni aku khususkan buat adik aku Hafizah.
Sebab aku tau dia rajin baca dan komen-komen di page ni. Ok aku mulakan. Dik. Takde orang yang aku agung dalam dunia ni melebihi kau. Aku nak kau tau dari mula kau lahir sampailah sekarang. Kaulah satu-satunya orang yang aku ada dalam dunia ni. 4rwah mak meninggal masa umur kau 5 tahun. Kau kecik lagi dik.
Hingus pon meleleh lagi. Tapi kau dah hilang kasih agung seorang mak. Aku sampai sekarang ingat lagi. Aku peluk kau depan jenazah mak. Kau tanya aku.
“Kenapa orang balut mak?”
“Kenapa orang ikat mak?”
“Kenapa abang menangis?”
Kau Lagi Kuat Dari Aku
Kau lap air mata aku dengan bantal busuk kau. Kau pujuk aku. Kau peluk aku. Walaupon masa tu kau tak tahu apa-apa, tapi kau dah tunjuk kau lagi kuat dari aku. Tapi lepas sehari kau tanya bila mak nak bangun. Bila mak nak balik. Kau kata kau rindu mak. Kau melalak depan aku.
Depan abah. Tapi masa tu abah ada dik. Abahlah yang pujuk kau. Tenangkan kau. Bagi kau paham walaupon kau tak mengerti apa-apa lagi masa tu. Sedih aku tengok kau dik. Hari-hari kau tunggu mak balik. Tanya pasal mak. Sampai aku tak tau nak jawab apa kat kau. Tapi alhamdulillah lama-lama kau paham jugak yang mak dah takde.
Hiduplah kita tiga beranak dik.Kau mesti ingat kan. Abah punya garang.. Allahu. Hari-hari aku kena balun sebab degil. Kau yang datang selamatkan aku dari kena dengan abah. Abah tak pukul kau dik. Sebab kau baik. Tak macam aku. Nakal. Degil. Pantang dapat keluar. Memang maghrib la baru balik. Kau tak macam aku. Kau main keliling rumah je.
Kau Tenangkan Abah, Bila Dia Pukul Aku
Kawan-kawan kau yang datang main dengan kau. Tu sebab kau tak pergi jauh. Jangan aku. Habis segala kebun getah orang aku masuk. Balik kena tibai dengan abah. Kau jugakla yang tenangkan dia..hahaha.. Terima kasih dik. Kau ingat lagi tak dik. 16 tahun lepas. Aku umur 16 tahun. Kau 11 tahun. Abah pengsan masa tu dalam bilik air.
Aku kaget dik masa tu. Keras kejung je kat situ tengok abah. Tak tahu nak buat apa. Tapi kau pandai dik. Kau tenang. Kau pegi lari rumah jiran kita panggil diorang datang tengok abah, bawak abah pergi hospital. Tapi tu la. Allah lagi syg abah dari kita kan. Abah meninggal masa kat hospital. Tapi kali ni kau dah faham.
Walaupon umur kau baru 11 tahun, tapi kau matang dik. Kau kuat. Walaupon kau menangis peluk aku, tapi kau tenang hadap benda tu. Aku yang tak kuat dik. Aku yang lembik masa ni. Macam-macam aku fikir. Kita dah takde sapa-sapa. Kau dengan aku dah jadi anak yatim piatu.
“Abah Dah Takde. Tapi Adik Ade Kau Ada Lagi Bang.”
Tapi kau steady dik. Ayat kau memang power. Sampai sekarang aku ingat lagi ayat kau. “Abah dah takde. Tapi adik ade kau ada lagi bang. Jangan tinggalkan adik tau. Kalau kau takde adik takde sapa-sapa lagi dah dalam dunia ni.” Sedih aku dik. Abah pergi tak tinggalkan apa-apa untuk kita. Yang ada tanah getah 2 ekar. Tapak rumah.
Tu jelah. Itu pon ramai je sedara-sedara kita yang tanya. Kau ingat kan dik. Diorang datang rumah kita tanya pasal tanah tu. Aku hambat diorang dengan parang masa tu. Nasib baiklah kau ada dik. Kalau tak memang dah kedalam aku masa tu.. Hahaha.. Lepastu kita janji kan. Apa jadi pon biar kita hadap sama-sama. Jangan kita pisah walau apa pon jadi.
Lagipon masa tu rumah arwah abah ada. Bukan kita takde tempat berteduh pon. Meeting kita dua beradik tu kau ingat lagi tak? Yang masa aku nak berenti sekolah sebab nak motong getah tu? Punya beria kau halang. Susah betul aku nak yakinkan kau. Bukan apa dik. Kita masa tu dah tak ada sapa-sapa.
Kau Sekolah, Aku Kerja
Kalau aku sekolah, kau sekolah, sapa nak bagi kita makan? Akhirnya kau beralah jugak. Tepat sebenarnya keputusan aku dik. Antara kita berdua kau yang pandai. Aku ni belajar manjang fail je. Baik aku berenti. Keje carik duit kan. Masa tu la kau buat perjanjian. Aku keje, kau uruskan rumah. Gelak je aku masa tu. Umur kau baru 11 dik. Nak basuh tangan dekat singki pon kau tak berapa nak sampai masa tu.
Ade hati nak uruskan rumah konon, hahaha.. Tapi kau usaha. Belajar masak. Belajar guna mesin basuh. Kagum jugaklah aku walaupon kadang-kadang kau kata kau masak sambal tapi rasa arang.. Pasal masak nasi pon satu hal jugak dik. Sampai sekarang aku fikir. Apa benda yang kau buat dekat rice cooker tu sampai meletup bende alah tu kau kejekan. Padan muka kau dik.
Lepas tu kau kena masak nasi guna periuk. Tu la sapa suruh kau bagi jahanam rice cooker tu. Tapi aku tak salahkan kau pon dik sebenarnya. Yela kau baru 12 tahun masa tu. Apa je yang kau tau kan.. Takpe dik. Aku faham.. Rezeki kau masa UPSR kau dapat 5A dik.
Memang tepat keputusan aku tak bagi kau berenti sekolah. Menitik air mata aku masa kau berlari cari aku dalam kebun getah bawak slip periksa kau. Busuk-busuk aku dengan baju motong tu kau peluk. Aku bangga dengan kau dik masa ni. Alhamdulillah kau dapat sambung ke SBP.
Kau Tak Malu Ikut Aku Jual Tin & Kotak
Masa ni la kita jual segala harta dalam rumah sebab nak hantar kau. Merata kita dua beradik pusing naik motor dari kampung membawak ke pekan sampailah ke bandar mencari tin kosong dengan kotak nak jual. Kau tak malu ikut aku buat benda ni semua.
Macam-macam orang mengata kita dik. Tapi biarlah kau kata. Demi kau aku pekakkan telinga je dik. Cukuplah ada kau dalam hidup aku. Aku bahagia sangat-sangat dah. 5 tahun kau duduk SBP tu dik. Walaupon kau jauh, tapi aku tak penah lupa kat kau. Dan aku tau kau tak penah lupa aku. Tiap-tiap kali kau balik mesti kau masakkan sedap-sedap untuk aku.
Kau Nak Belajar Jauh Kat Ireland
Sampai tahap kadang-kadang aku duduk sorang-sorang kat rumah aku mengharap sangat kau balik teman aku, sembang dengan aku, masakkan untuk aku, hahaha.. Baru kau tau abg kau ni lonely orangnya..Alhamdulillah. Keputusan SPM kau cemerlang. Kau dapat tawaran pergi luar negara. Ireland. Belajar perubatan. Kali pertama aku dengar ada negara nama Ireland.
Kau kata medic sana bagusla apa la. Aku iyekan je dik. Bukan aku faham pon apa kau cakap. Aku ni orang kampung je. Sekolah pon tak habis. Tapi aku layankan jugak. Walau dalam hati memikir mana nak carik duit hantar kau jauh-jauh ni. Nasib baik kau ada biasiswa.
Keperluan semua alhamdulillah dapat aku adakan untuk kau. Merata kita jalan naik motor abah nak uruskan hal kau dulu dik. Ambik cop sana. Mintak sain orang ni. Aku ikutkan je walaupon aku tak faham. Asalkan kau dapat sambung belajar aku dah cukup gembira. Masa hantar kau dekat airport nak pergi sana, lama kau peluk aku. Kau menangis.
Macam-macam kau pesan dekat aku. Macam aku pulak yang nak pergi jauh. Padahal kau yang nak pergi belajar, bukan aku. Aku kat sini tetap macam ni jelah dik oi. Penoreh getah berkaliber bak kata kau. Kau marah aku sebab aku tak sedih hantar kau pergi. Sebab aku boleh gelak-gelak bahan kau tengah menangis. Kau tak tau dik.
Balik je rumah aku menangis kat bucu katil teringat dekat kau tau. Risaukan kau. Tapi aku percaya dengan kau dik. Aku tau kau akan banggakan aku. 5 tahun kau dekat sana. Sekali je kau balik. Sebab nak jimat duit. Takpe dik aku faham. Aku tau masa cuti kau keje nak cari duit tambahan walaupon kau ada biasiswa.
Tapi aku silap dik. Rupanya kau kumpul duit nak belikan aku tiket kesana tengok kau konvo. Fuh bangganya aku dapat tengok kau dik. Menitik air mata aku tengok kau pakai jubah tu ambik skrol. Tak sia-sia aku dating dengan pokok getah hari-hari nak bagi kau belajar. Lepas majlis tu kau bawak aku pusing-pusing negara tu.
Kau Tanya Aku Bila Nak Kahwin, Rupanya Kau Yang Nak Kahwin
Boleh tahan sejuk kat sana. Cantik sungguh negara dia. Seronok betul aku. Sampai lupa la macam mana bau getah sekerap.. Hahaha. Tahun lepas kau ingat tak dik. Kau balik kampung jumpa aku. Kita sembang-sembang. Kau tanya aku bila aku nak kahwin. Aku pelik dengar soalan kau. Rupa-rupanya kau yang nak kahwin.
Kau nak bawak bakal suami kau jumpa aku. Aku ok je dik. Dia pon doktor jugak. Eloklah tu. Sama-sama faham tugas masing-masing. Masa aku walikan kau dik. Sumpah aku tak kuat. Sebak sangat hati aku. Orang yang paling aku agung, orang yang sentiasa ada dengan aku susah senang, nak aku serahkan dekat orang lain. Orang luar pulak tu.
Aku hanya mampu doa yang terbaik untuk korang. Maaflah sebab aku emosi masa akadkan kau. Termenangis pulak. Sori ye dik. Banyak sangat kalau nak diceritakan kat sini. Buat masa ni cukuplah setakat ni. Dan tahun ni sekali lagi kau banggakan aku dik. Kau laki bini dipanggil bertugas untuk hadap virus corona ni.
Macam-Macam Kau Pesan Kat Aku
Berjam-jam kau pakai berbalut macam lepat pisang dalam baju plastik kau tu. Tapi kau tak mengeluh. Hari-hari kau WhatsApp aku pesan macam-macam. Iye dik. Aku duduk dalam kebun getah je. Habis motong aku balik. Tak kemana. Janganlah kau risau. Aku bangga dengan kau dik.
Kita bukan orang senang. Kita yatim piatu. Tapi kau mampu buktikan yang orang susah macam kita pon boleh berjaya. Aku doakan kau sentiasa selamat melawan virus ni. Semoga kau dan semua hero-hero kita dalam KKM tabah dan kuat meneruskan usaha korang menyelamatkan negara kita.
Sekian dari aku. Terima kasih sebab sudi baca. Assalamualaikum. Hafiz – iium confession.
Sama-sama kita doakan supaya setiap frontliner yang bertugas sepanjang musim COVID-19 ini sentiasa di bawah perlindungan-Nya. Semoga semua ini akan segera pulih seperti sedia kala.
Sekiranya anda ada sebarang cerita atau pengalaman menarik yang ingin diceritakan, sila kongsikan bersama kami di KONGSI CERITA atau inbox kami di FB Pa&Ma.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Webinar MTPSA Pa&Ma Meriah, Ini 5 Perkara Menarik Dikongsikan Panel & Tetamu Jemputan!

Satu kejayaan besar! Itulah yang boleh digambarkan untuk webinar penyusuan terbesar Mama Tak Penat Susukan Anak anjuran Pa&Ma. Buat julung kalinya diadakan, webinar ini telah berjaya menghimpunkan lebih dari 1000 peserta bersama barisan panel yang hebat dan berkredibiliti.
Biarpun diadakan selama satu hari, bermula dari jam 9.30 pagi sehingga 6.30 petang, ternyata para peserta kekal bersemangat untuk mengikuti webinar ini sehingga ke penghujungnya. Walaupun diadakan secara virtual, kemeriahan tetap terasa kerana ruangan chat box dihujani pelbagai komen dan soalan dari para peserta.
Menariknya di dalam webinar ini, terdapat banyak perkongsian menarik oleh para panel yang dijemput. Webinar yang dimulakan dengan tazkirah dari Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki benar-benar membangkitkan semangat para ibu menyusu. Selain ganjaran menyusukan anak, Ustazah Isfadiah turut berkongsi bacaan doa dan zikir yang boleh diamalkan.
Seterusnya, Dr Hairin Anisa Tajudin pula menjelaskan tentang pengambilan vaksin dalam kalangan ibu menyusu. Banyak ilmu-ilmu baharu yang dikongsikan oleh Dr Hairin dan sekaligus membuka mata para peserta tentang kepentingan pengambilan vaksin.
Webinar kemudiannya diteruskan dengan video rakaman demo urutan dari Sister Sujatha Rajalingam. Ternyata para peserta sangat sukakan demo ini kerana ia dapat membantu melancarkan aliran susu ibu.
Berikutnya tibalah giliran Dato Dr Sheikh Muszaphar yang berkongsi pengalaman tentang isterinya yang menyusukan. Tambah menarik apabila para peserta tidak melepaskan peluang bertanyakan tentang parenting skills Dr Sheikh dan isterinya, Dr Halina. Kagum betul!
Pada sebelah petang, webinar diteruskan dengan perkongsian dari kaunselor laktasi, Pn Asiah Maharam juga dinanti-nantikan oleh para peserta. Beliau telah mengupas topik masalah yang biasa dihadapi oleh ibu menyusu.
Setelah itu, dua ibu bertuah yang telah dipilih juga berpeluang untuk berkongsi pengalaman mereka menyusukan anak. Slot seterusnya adalah bersama Dr Seri Suniza yang bercerita tentang Mama Tak Penat Susukan Anak. Di dalam perkongsiannya, Dr Seri menjelaskan tentang perubahan dalam fasa kehidupan seorang wanita serta kawalan emosi ketika menyusukan anak. Memang best!
Webinar diteruskan dengan slot bersama Beausiti. Di dalam slot itu, Pn Siti Hadzrah Abd Rahim yang merupakan Pengarah Perangan Strategik Beausiti, telah berkongsi tentang produk terbaharu mereka iaitu Beaunest dan Beaukids.
Sedari pagi, para peserta menunggu kemunculan penyanyi nombor satu negara, Dato Sri Siti Nurhaliza. Sebaik sahaja beliau mula berkongsi tentang perjalanan penyusuannya, ruangan chat box dipenuhi pelbagai soalan dari para peserta. Tidak lokek berkongsi rahsia kembali langsing selepas bersalin, beliau memberi tahu yang kuncinya adalah pengambilan makanan yang berkhasiat serta senaman. Lebih menarik, beliau juga sporting menceritakan tentang gelagat anak-anaknya, Aafiyah dan Afwa.
Corat-coret webinar Mama Tak Penat Susukan Anak. Antara perkara menarik yang berlaku semalam semasa webinar ini;
1. Selain berkongsi tentang amalan doa buat ibu menyusu, Ustazah Isfadiah juga memberitahu yang isteri boleh meminta ganjaran dari suami kerana menyusukan anak.
2. “Boleh terus menyusukan bayi selepas mendapat suntikan vaksin. Tak perlu tunggu sehingga lima hari atau risau susu berubah rasa kerana vaksin. Itu semua mitos. Vaksin tak merubah rasa susu kerana ia masuk ke dalam tubuh ibu untuk membentuk antibodi bukan mempengaruhi rasa susu.” – Dr Hairin Anisa.
3. Di dalam slotnya, Dr Sheikh mengatakan yang dia cemburu melihat bonding isterinya bersama anak-anak ketika menyusukan. “Saya cemburu melihat isteri saya menyusukan anak. Kalau boleh, saya pun nak susukan anak sebab bonding yang terbentuk antara ibu dan anak semasa menyusukan tu sangat kuat.”
4. “Saya juga pernah merancang untuk beri anak susu formula. Tak pernah tahu tentang susu ibu, sehinggalah saya dipilih untuk menyertai program Hospital Rakan Bayi dan ketika itu hamil anak sulung pada tahun 1993. Waktu itulah saya mula belajar tentang penyusuan susu ibu. Alhamdulillah, selepas itu saya berjaya menyusukan keempat-empat anak saya.” – Dr Seri Suniza.
5. Tidak melepaskan peluang, hos webinar meminta Dato Sri Siti untuk menyanyi. Sporting sungguh, beliau sempat menyanyikan serba sedikit dua buah lagunya iaitu Aku Bidadari Syurgamu dan Comel Pipi Merah. Meremang!
Selain perkongsian ilmu dan pengalaman dari panel jemputan, webinar semalam turut dimeriahkan dengan acara Teka & Menang serta cabutan bertuah. Memang gamat walaupun secara virtual. Pa&Ma ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta yang komited dengan webinar sepanjang hari semalam. Teruskan bersama kami untuk acara anjuran Pa&Ma yang akan datang, sehingga kita berjumpa lagi!
Mama jom rileks jap, klik link NI!
KELAS ONLINE BREASTFEEDING PERCUMA dengan daftar Pa&Ma BF VIP Eksklusif member! Hanya RM20 sahaja.
Daftar https://toko.ideaktiv.com/product/pama-bf-vip-eksklusif/
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI