Kehamilan

Dah Cukup Hari Tapi Baby Masih Sedap Duduk Dalam Perut Mama? Cuba Buat Petua Mudah Bersalin Ni

Share

Tarikh jangkaan bersalin (EDD) minggu lepas, tetapi baby masih tidak menunjukkan tanda ingin keluar. Adakah cara mempercepatkan bukaan rahim? Ini 9 petua mudah bersalin untuk anda.

Apa itu bukaan rahim?

Ia adalah terma digunakan merujuk kepada bukaan pintu rahim atau serviks. Proses bukaan ini melibatkan penipisan dinding serviks yang bertujuan memberikan laluan kepada bayi yang bakal lahir.

Bagi kelahiran normal iaitu melalui saluran faraj, dinding rahim perlu mengembang sehingga 10 cm. Pembukaan dinding rahim ada kalanya tidak membawa maksud bahawa anda akan bersalin.

Ini kerana dalam sesetengah kes, berlaku proses bukaan rahim untuk beberapa cm, walaupun masih tinggal beberapa minggu sebelum EDD.

Ingin mengetahui tarikh jangkaan bersalin anda dengan lebih tepat? Kira EDD anda di kalkulator tarikh bersalin kami.

3 fasa dalam proses kelahiran

Secara umumnya, terdapat 3 peringkat ketika proses bersalin:

Peringkat 1

Merupakan tahap yang paling lama dan terbahagi kepada 3 peringkat:

  • Fasa awal – bermula proses bukaan rahim dari 1 – 3 cm
  • Fasa aktif – berlaku apabila bukaan rahim mencapai bukaan 3 – 7 cm
  • Fasa transisi – bukaan rahim akan mencapai bukaan 100% iaitu 10 cm
    cara mempercepatkan bukaan rahim

Peringkat 2

Bermula selepas bukaan rahim berjaya dicapai sepenuhnya sehingga bayi dilahirkan.

Peringkat 3

Pada tahap ini, plasenta berjaya dikeluarkan sepenuhnya.

Wujudkah cara mempercepatkan bukaan rahim?

Sememangnya proses bersalin adalah 1 proses yang berbeza bagi setiap individu. Ada sesetengah wanita hamil melalui proses bukaan rahim yang cepat sehingga prosedur bersalin berlaku dalam tempoh beberapa jam.

Namun, ada juga wanita mengandung yang berdepan tempoh bukaan rahim yang perlahan. Jadi adakah cara mempercepatkan bukaan rahim bagi wanita yang berdepan isu ini?

Sudah pastinya ada tip yang boleh dilakukan bagi membantu mempercepatkan proses bukaan rahim.

Tetapi pastikan dahulu anda mendapatkan nasihat dan pandangan doktor sebelum melakukan sebarang cara mempercepatkan bukaan rahim, okay?

Berikut adalah beberapa cara yang boleh dicuba untuk membantu proses bukaan serviks, antaranya:

Berjalan & bergerak

Banyakkan berjalan dan bergerak, cara ini dikatakan membantu mempercepatkan proses bukaan serviks dengan lancar serta meningkatkan pergerakan aliran darah.

Sebagai pilihan, anda boleh berjalan di dalam rumah atau melakukan pergerakan mudah menggunakan katil atau kerusi.

Semakin banyak anda bergerak akan menambah tekanan pada rahim akibat berat bayi. Jika anda gemar mendengar muzik, anda boleh menari sambil melakukan pergerakan mudah.

Gym ball, mencangkung atau senaman squat

Penggunaan bola angin atau gym ball juga boleh dianggap sebagai 1 petua mudah bersalin yang boleh dicuba. Anda boleh duduk di atas bola tersebut dan lakukan pergerakan ke depan dan ke belakang secara berulang.

Tindakan anda itu dikatakan dapat membantu meluaskan otot pelvik dan dalam masa yang sama memberikan rasa tenang kepada otot tersebut.

Jika tiada gym ball, anda boleh cuba untuk mencangkung atau melakukan senaman squat. Aktiviti ini juga dikatakan dapat memberikan tindak balas yang sama pada otot pelvik.

Tenang dan ketawa

Dalam kerisauan memikirkan proses bersalin nanti pastinya akan menyebabkan anda berada dalam keadaan tertekan. Sudah tentu ia boleh mengakibatkan bukaan rahim menjadi lebih sukar.

Jadi anda perlu belajar untuk bertenang. Lakukan sebarang aktiviti yoga, meditasi atau teknik pernafasan mendalam untuk mencapai ketenangan.

Ketawa juga boleh membantu meringankan tekanan dan ketakutan yang dihadapi. Dapat berasa tenang dan lega walaupun sekejap juga antara cara mempercepatkan bukaan rahim.

Ajaklah pasangan anda untuk bergurau-senda atau anda boleh menonton rancangan komedi yang boleh menyebabkan anda ketawa.

Mandian air panas

Cuba untuk mendapatkan mandian air panas untuk membantu anda lebih bertenang. Dalam keadaan tenang anda akan dapat mencegah ketegangan otot.

Mandi dengan air panas dapat mengurangkan tekanan dan membantu proses bukaan rahim serta kontraksi. Keadaan ini sekali gus menjadikan anda lebih bersedia melalui prosedur bersalin kelak.

Hubungan seks

Bersenggama untuk mempercepatkan bukaan serviks, betul ke? Ini kerana rangsangan seksual bersama pasangan akan membantu merembeskan hormon oxytocin yang membantu proses kontraksi pada rahim.

Selain itu, hormon prostaglandin di dalam air mani juga boleh melembutkan rahim dan menggalakkan bukaan rahim. Keadaan ini sekali gus menjadikan rahim lebih bersedia untuk bersalin.

Urutan lembut

Sekiranya anda berada dalam keadaan tekanan, mintalah pasangan untuk melakukan urutan lembut kepada anda. Ini dapat menjadikan diri anda lebih bertenang.

Situasi ini sudah tentu memberikan manfaat kepada proses bukaan rahim. Kata kunci di sini, anda perlu kekal bertenang, okay?

Memecahkan air ketuban

Jika kesemua cara mempercepatkan bukaan rahim di atas tidak berjaya, doktor mungkin akan mencadangkan untuk memecahkan ketuban bagi mempercepatkan proses kelahiran.

Biasanya prosedur memecahkan ketuban tidak dilakukan pada peringkat awal kelahiran. Kontraksi anda akan bertambah kuat selepas air ketuban dipecahkan, jadi pastikan anda berada dalam keadaan tenang, okay?

Harus sentiasa bertenang

Bersalin bukan 1 proses yang mudah seperti masuk bilik bersalin, terus meneran dan lahirlah si comel.

Hakikatnya ia 1 proses yang memakan masa dan memerlukan wanita hamil untuk sentiasa bertenang dan bersabar.

Jika percubaan petua mudah bersalin di atas tidak membantu, doktor mungkin akan menggunakan kaedah perubatan untuk mempercepatkan proses bukaan rahim.

_

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Pa&Ma BF VIP Eksklusif mengalu-alukan ibu yang sedang hamil dan menyusu anak mendaftar sebagai peserta. Harga promosi pendaftaran peserta hanya RM20 sahaja. Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/pama-bf-vip-eksklusif/

Published by
NuFa