Memilih untuk berhijab sepenuhnya bukan mudah. Namun bagi pelakon, Datin Almy Nadia, dia tekad untuk berhijrah kerana merasakan sudah sampai masanya dia berbuat demikian. Malah pula sememangnya dituntut agama.
Menurut perkongsian Almy menerusi Harian Metro, dia tekad berhijrah kerana Allah SWT selepas berbincang dengan suaminya yang juga pelakon, Datuk Fizz Fairuz pada Jun tahun lalu.
“Saya mula berubah secara perlahan-lahan bermula dari segi pakaian.
“Selain memakai baju yang longgar, saya juga mula memakai selendang untuk menutup rambut ketika di luar rumah.
“Saya juga mula berhijab sepenuhnya ketika mengambil anak di sekolah yang berhampiran Masjid Wilayah dan seterusnya ketika terbabit dalam program Majalah Keluarga di Legoland pada tahun lalu,” katanya.
Bahkan kongsi Almy lagi, bagi dirinya sudah tiada apa lagi yang perlu dicari. Tambah pula Fizz tidak menghalang hasratnya untuk berhijab jauh sekali memaksa.
“Fizz cuma bertanya adakah saya benar-benar sudah bersedia berhijab dan dia juga meminta saya betulkan niat berhijrah kerana Allah dan bukan paksaan darinya atau ahli keluarga.
“Ahli keluarga saya dan mentua semuanya berhijab dan mereka juga sangat menyokong penghijrahan ini.
“Terus terang saya juga sudah puas bergaya dengan pelbagai fesyen baju dan rambut ketika zaman anak dara dan bentuk badan langsing dulu dan kini sampai masanya untuk saya berhijrah menjadi isteri, ibu dan hamba Allah yang lebih baik,” katanya.
Wajibkan anak berpuasa penuh
Kini kata Almy, masanya hanya dihabiskan sepenuhnya untuk membesarkan keempat-empat anaknya yang masih kecil malah memberi sepenuh perhatian pada anak bongsunya yang kini masih lagi menyusu badan.
Sempena Ramadan ini juga, akui Almy, ia adalah masa untuknya mendidik anak-anak berpuasa penuh. Malah kata Almy lagi, dia akan memberikan ganjaran buat anaknya sebagai hadiah atas kesungguhkan mereka berpuasa.
“Saya sibuk menguruskan anak-anak di rumah kerana anak yang bongsu, Nur Afrina Aishah masih menyusu badan.
“Saya juga mewajibkan dua anak, Nur Afrina Ariana, 8 dan Nur Afrina Aurora, 7 untuk berpuasa penuh.
“Cuma Nur Afrina Ayra, 5, yang belajar berpuasa pada Sabtu dan Ahad kerana dia belajar di sekolah cina,” katanya.
Pada masa sama, kata Almy, dia juga bagi hadiah untuk menggalakkan anak-anaknya berpuasa penuh, contohnya hadiah mainan pada Ramadan tahun lalu.
“Sebelum ini kami bawa anak-anak menunaikan solat Tarawih berjemaah di masjid, tetapi bila ada anak kecil yang masih menyusu badan, kami hanya buat ibadah di rumah,” katanya.
Terdahulu, Almy dan Fizz mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat anak perempuan iaitu Nur Afrina Ariana, 8, Nur Afrina Aurora 7, Nur Afrina Ayra, 5, Nur Afrina Aishah, satu tahun empat bulan dan anak angkat Nur Afrina Darwisyah, 14.
Menarik: Makan Bulan Nak Jadi Best Friend Balik” Sebaknya Tengok Anak Awal Ashaari Lepas Rindu!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Pa&Ma